Kehidupan
adalah anugerah utama Illahi. Anugerah kehidupan memberi gambaran
kebesaranNya buat kita manusia, yang wajib kita syukuri dan hargai.
Internet adalah kemudahan buat umat manusia. Justeru itu,
manafaatkan ia untuk kesejahteraan diri kita dan umat sejagat.
Sentiasalah kita beringat, apa yang kita lakukan, akan dipertanggung
jawabkan pada kemudian hari.
Gunakan sebaik-baiknya kurnia Allah swt kepada kita. Halalkan
kegunaan akal, hati dan lidah pada perkara yang bakal membawa
kecemerlangan diri kita dunia dan akhirat. Kita hidup hanya sekali.
Sekali 'pergi' tak kan kembali. Buat baik berpada-pada, dan buat
jahat JANGAN sekali-kali. Kewujudan website penulisan2u dengan blog
sebagai wadah untuk meningkatkan nilai diri. Bermatlamatkan
penyatuan ummah dengan ciri-ciri kemurnian budi dan budaya. Walaupun,
dunia terus maju dengan teknologi, kita akan terus kekal dengan
akhlak dan jati diri insani.
“Mak, mak, mana anak-anak saya mak?” tanya Ifa pada Mak Wan yang sedang membersihkan ruang tamu.
“Mereka ke sekolah pagi ni, kenapa Ifa?” Mak Wan menghampiri aku dan membelai-belai rambut aku. “Kenapa Ifa menangis?” tanya Mak Wan sambil meyeka airmata Ifa yang mengalir deras.
“Ifa sakit Mak Wan,” sambil Ifa menggengam erat tangan Mak Wan. “Sakit, Mak Wan, Ifa tak tahan, tolong Ifa, Mak Wan,” rengek Ifa seakan anak-anak kecil sambil menahan kesakitan di kepala dan di pinggangnya.
“Sabar Ifa, mengucap, ingat ALLAH nak,” pujuk Mak Wan sambil mengusap-usap kepala Ifa. Akhirnya Ifa tertidur dengan kesakitan yang melanda dirinya namun tangannya masih menggenggam tangan Mak Wan. Mak Wan perlahan-lahan mengusap mulus rambut Ifa dan akhirnya tertumpah juga airmata Mak Wan.
Mak Wan mengimbas kembali setahun lepas ketika Mak Wan hendak mengambil wudhu untuk solat Subuh, dia terkejut melihat empat beranak tidur berdakapan dalam kesejukan di dalam bilik mandi Mak Wan. Bilik mandi Mak Wan di bahagian luar rumah. Tidak semena-mena Mak Wan terkejut dan menyebabkan ibu kepada anak-anak itu terkejut dan meminta maaf dan belas dari Mak Wan. Katanya mereka menumpang tidur kerana tidak ada rumah saudara-mara di kawasan itu. Hendak tidur di rumah tumpangan tiada wang. Mak Wan begitu simpati namun dalam simpatinya dia berjaga takut-takut nanti tertipu pula. Mak Wan mempelawa anak-beranak itu masuk kerumah dan membersihkan diri.
Terpisat-pisat kedua-dua budak perempuan itu bila dikejutkan sementara Mak Wan mengendong anak lelaki berusia lingkungan tiga tahun yang masih lagi di buai mimpi dan diletakkan di ruang tamu Mak Wan. Lena sungguh anak kecil itu. Manakala dua lagi anaknya kelihatan takut bila Mak Wan ingin mengusap kepala mereka. Ibu muda yang tidak terurus itu memerhatikan Mak Wan bila Mak Wan mengusap mesra anak-anaknya tiba-tiba sahaja ibu muda itu menerpa dan mencium tangan Mak Wan dan amat berterima kasih kerana menumpangkan mereka anak-beranak. Mak Wan terperanjat dan dengan perlahan Mak Wan mengusap kepalanya. Apabila ibu muda itu memandang muka Mak Wan dilihat oleh Mak Wan terdapat banyak lebam-lebam dan luka di mata, mulut, dahi, pipi, tangan dan kaki ibu muda itu. Ibu muda itu memberitahu namanya Nazifa dan anak-anaknya Najwa, Najla dan Nabil. Anak-anak comel itu dalam lingkungan 6 tahun ke bawah. Ifa hanya mampu mengeluarkan airmata bila Mak Wan bertanyakan kemana ayah anak-anaknya. Ifa menangis teresak-esak menceritakan apa yang telah berlaku. Mak Wan meredakannya dan menyuruhnya berehat. Ifa merehatkan diri bersama anak-anaknya sementara Mak Wan menyediakan sarapan untuk tetamu tidak diundang itu. Ifa terlelap dan terjaga bila anak sulungnya Najwa menggerakkan badan ibunya supaya bangun. Dilihatnya ketiga-tiga anaknya sudah siap mandi dan dilihatnya Mak Wan tersenyum.
“Sapa mandikan Nabil?” tanya Ifa pada anak lelakinya.
“Nenek” jawabnya pendek sambil memandang Mak Wan dan tersenyum.
“Terima kasih Mak Wan,” kata Ifa sambil bangun dan segera menuju ke Mak Wan dan mencium tangan Mak Wan. Mak Wan tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila Ifa mencium tangannya. Mak Wan yang mempunyai dua orang anak tetapi anak-anaknya mengabaikan kehidupan ibu mereka. Mak Wan seolah-olah tidak wujud bagi mereka. Hati Mak Wan sudah lama jauh dari anak-anaknya. Sudah lama dia hidup seorang diri. Kini dengan hadirnya tamu tidak diundang itu sekaligus telah membuatkan hatinya terbuka untuk menerima tetamu itu sebagai anak dan cucu-cucunya walaupun Mak Wan tahu mereka semua bukanlah dari darah dagingnya. Mak Wan mencium Ifa dan memeluk ketiga-tiga anak Ifa dan mengucup bertalu sambil menangis. “Ifa, tinggallah di rumah Mak Wan ye… lagipun Mak Wan duduk seorang… Mak Wan tak der anak jadi Ifalah pengganti anak Mak Wan iyer,” terpancut kata-kata itu yang datangnya dari hati tua yang sekian lama merajuk dengan tindakan anak-anaknya sambil menangis.
“Terima kasih Mak Wan kerana sudi menumpangkan kami anak-beranak di sini. Ifa dan anak-anak janji pada Mak Wan tidak akan menyusahkan Mak Wan lagi,” janji Ifa pada Mak Wan sambil mencium pipi Mak Wan.
“Mak Wan… boleh tak Ifa panggil Mak Wan, Emak” pinta Ifa dari Mak Wan. Mak Wan mengangguk sambil memeluk Ifa. “Terima kasih… mak,” ujar Ifa sayu sambil mencium tangan Mak Wan. Mak Wan membalas dengan sebuah ciuman yang amat berharga dan nikmat yang belum pernah dirasai oleh Ifa.
Mak Wan terkejut apabila belakangnya ditepuk orang sambil kedengaran ketawa kecil. “ALLAH, eh… Najwa, Najla dan Nabil dah balik, bila masuk rumah nenek tak dengar pun,” terkejut Mak Wan bila cucu-cucunya semua sudah balik dari sekolah. Najwa 7 tahun, Najla 6 tahun dan Nabil 5 tahun. Semunya bersekolah pagi. Manakala Najla dan Nabil bersekolah tadika. “Salin pakaian dulu, lepas tu makan ye, sebelum tu pergi jumpa ibu dulu,” suruh Mak Wan kepada cucu-cucunya. Mereka semua menurut perintah neneknya dan menjengok ibu mereka yang sedang terbaring dir uang hadapan.
“Assalamualaikum ibu, kami dah balik bu,” lembut dan tulus suara Najwa sambil mengusap-usap kepala ibunya. Ifa tersenyum dalam kesakitan memandang anak-anaknya
“Ibu sihat hari ni, mari kita makan sama bu,” kata Najwa selepas menukar pakaian lalu memimpin ibunya ke meja makan sementara Najla dan Nabil sudah berada di meja makan.
“Nabil baca doa ye nak,” kata Ifa pada anak lelakinya sambil mengusap kepala anaknya itu. Selepas selesai membaca doa mereka pun makan tengahari bersama sambil gelak ketawa gembira, itulah yang menghiburkan hati Ifa dan juga hati tua Mak Wan. Ifa berehat di kerusi sementara anak-anaknya pergi mengaji. Mak Wan pula sedang berbaring. Sambil Ifa mengelamun teringat akan Ifa suaminya Razlan. Rindu pada suaminya tiba-tiba menerpa hatinya tetapi Ifa tidak sanggup diperlakukan begitu teruk oleh Razlan. Ifa didera, dipukul, diterajang begitu teruk sekali. Ifa mengimbas kembali bagaimana dia boleh sampai ke rumah Mak Wan.
Pada malam dia menyembunyikan dirinya, Razlan telah memarahinya kerana Ifa tidak memberinya wang . Ifa mengatakan wang yang tinggal hanya untuk pembayaran sekolah anak-anak mereka. Tetapi Razlan berkeras untuk menggunakan wang itu dengan alasan membeli barang-barang projek. Ifa berkeras tidak mahu memberinya, Razlan berang lalu menumbuk kepala Ifa. Ifa kesakitan.
“Abang, sakit bang, jangan pukul Ifa lagi bang, kenapa abang ni, mengucap bang,” rayu Ifa pada Razlan sambil menangis. “Sakit bang,” kata Ifa tersesak-esak.
“Korang semua ni menyusahkan aku aje tau, kalau aku tak kawin ngan kau aku dah hidup senang, kau rasakan,” kata Razlan dengan keras.
“Ifa minta maaf bang, ambil wang tu bang tapi abang jangan buat apa-apa pada anak-anak bang, jangan sakiti mereka, abang boleh pukul saya tapi jangan mereka, tolonglah.” Rayu Ifa bila Razlan menarik tangan anak-anaknya yang sedang menangis. Najwa anak sulungnya mendiamkan diri sambil memeluk adik-adiknya namun air matanya menitis laju jatuh membasah bajunya.
“Kau pun nak menangis jugak macam mak kau, kau ingat aku nak pujuk kau, hah, pegi ambil tabung duit korang sekarang, cepat!” kerah Razlan kepada Najwa, anak sulungnya.
“Abang, itu duit tabung mereka bang, mereka simpan duit belanja mereka bang, tolong jangan ambil, ambil segalanya barang saya bang tapi tabung anak janganlah bang, kesian mereka bang,” Ifa memujuk Razlan lagi.
“Aku kata aku nak semuanya tak paham lagi ke, bengap sangat otak kamu ni bebal betul, tak sekolah ker!” Razlan menengking Ifa.
Najwa datang dan memberi tabung mereka pada ayahnya dan terus pergi kepada adik-adiknya yang duduk ketakutan. “Ayah, janganlah ambil duit Nabil dan Najla, ayah boleh ambil duit Najwa,” kata anak sulungnya tergagap-gagap pada ayahnya, Razlan.
“Apa kau ingat duit kau tu banyak sangat ke, nak beli makan minum aku pun tak lepas la” kata Razlan pada anaknya. “Dah aku nak pegi sekarang , ingat jangan beritahu pada sesiapa kalau kau beritahu pada orang sakit korang semua,” ugut Razlan pada Ifa dan anak-anaknya.
“Abang, Ifa dan anak-anak minta maaf pada abang dan halalkanlah makan minum kitaorang semua” Kata Ifa sambil menerkam tangan Razlan dan menciumnya dalam keadaan teresak-esak.
“Isk apa pompuan ni, woi kau dah mabuk ke nyanyok hah!” sergah Razlan menarik tangannya dari Ifa.
“Abang, ingat ALLAH bang, mengucap bang, ingat anak-anak bang, mereka perlu kasih sayang dari abang, kita bina keluarga bahagia bang,” kata Ifa lagi sambil memeluk kaki Razlan dan tiba-tiba Ifa terasa ada benda keras hinggap ke di bahagian pinggang Ifa, Ifa terjatuh dan menahan kesakitan yang amat sangat. Sambil keluar dari rumah Razlan mengutuk-ngutuk Ifa dan anak-anak.
Razlan sudah banyak berubah semenjak Razlan berhenti kerja dan juga wang simpanannya sebanyak sepuluh ribu ringgit telah lenyap ditipu oleh kawan baiknya sendiri. Ini yang membuatkan Razlan runsing dan bertindak di luar batasan. Ifa tidak tahan mendengar itu semua lalu Ifa nekad malam itu Ifa akan meninggalkan rumah. Razlan telah membuka perniagaan tetapi makin lama perniagaannya kurang sambutan dan semakin hari Ifa lihat Razlan semakin terhimpit. Dengan wang tiada, hutang kad beribu-ribu, hutang rumah dan juga hutang kereta tidak dapat dijelaskan. Maka dengan itu Ifalah yang menjadi pak sanggup untuk membantu membayar hutang piutang Razlan. Demi kerana suami tersayang Ifa sanggup membantu membayar hutang piutangnya. Ifa berusaha tetapi apa yang Ifa dapat hanyalah pukulan, cacian, maki hamun dari Razlan. Razlan tidak pernah berterima kasih pada Ifa yang telah menyelamatkan kereta mereka dari ditarik, rumah dari ditarik dan lain-lain lagi. Makan minum, sakit pening anak-anak semuanya di bawah tanggungan Ifa kadang kala Ifa terpaksa mengikat perut untuk tidak membazir wang. Tapi alhamdulillah rezeki anak-anak semuanya tiada masalah dan Ifa mampu menyediakan makan pakai bagi mereka. Anak-anaklah harta Ifa yang paling berharga tapi malang pada mereka mendapat seorang ayah yang tidak bertanggungjawab. Razlan yang dulu adalah seorang yang pelembut, periang dan warak orangnya telah bertukar haluan menjadi seorang kaki pukul, baran dan segala suruhan ALLAH telah hilang dalam dirinya. Segala perbelanjaan rumah, tanggungjawab semuanya Ifa yang uruskan. Razlan hanya meminta itu dan ini. Tapi Ifa redha itu semua kehendak dan ketentuan dari ALLAH, mungkin ada hikmah disebaliknya. Tapi selama mana Ifa sabar akhirnya tembok kesabaran Ifa roboh dan dengan itu Ifa dan anak-anak membawa diri untuk menentukan hidup Ifa anak-beranak tanpa suaminya Razlan.
Ifa ingat lagi pada suatu malam Razlan memarahi Ifa kerana lambat membuka pintu, apabila Ifa buka pintu dia memaki hamun Ifa dan mengatakan Ifa berbuat sesuatu kerana lambat membuka pintu, diherdiknya Ifa sampai anak-anak semua terbangun. Ifa meminta maaf tapi Razlan tidak mempercayai dan terus memukul Ifa, menumbuk muka Ifa. Anak-anak Ifa jadi takut dan menangis, Najwa pula duduk mendiamkan diri dan menangis memandang Ifa yang lebam muka dan berdarah mulut dan hidung. Kasihan sungguh Ifa lihat Najwa, dia seakan-akan memendam rasa. Apabila Najwa menangis Razlan mengherdiknya pula dan berkata semua anak-anaknya sama macam Ifa tidak berguna, menyusahkan dia sahaja dan macam-macam lagi. Tapi Ifa hanya mampu mendiamkan diri dan memeluk anak-anak Ifa. Siksa hidup Ifa dan anak-anak. Razlan memang banyak berubah. Hendak mengadu Ifa tak punya keluarga dan kalau mengadu mati Ifa dikerjakan oleh Razlan.
“Ibu, Ibu kenapa ibu nangis?” tanya Najla pada ibunya sambil menyeka airmata Ifa. Ifa terperanjat dan menyapu air matanya dan memeluk anaknya Najla.
“Kakak dengan Nabil mana” tanya Ifa pada Najla.
“Mereka tolong nenek didapur, nenek goreng pisang,” Najla memberitahu ibunya dan mencium pipi ibunya yang kelihatan amat cengkung. “Ibu, ibu ingat ayah ye, ayah jahatlah bu, dia selalu pukul ibu sampai berdarah-darah, Najla tak mau jumpa ayah, takut la,” luah hati Najla.
Ifa memeluk anaknya dan mencium kepala anaknya. “Isk.. tak baik Najla, itu kan ayah Najla mungkin masa tu ayah ada masalah,” pujuk Ifa pada anaknya supaya tidak menyimpan rasa dendam pada ayahnya. Kasihan mereka. Tapi hati Ifa yakin suatu hari Razlan akan balik ke pangkuan mereka sekeluarga dan setiap kali sembahyang Ifa berdoa agar dilembutkan hati Razlan dan kembali ke pangkuan mereka sekeluarga. Ifa masih menyayangi Razlan dan hati Ifa kuat menyatakan Razlan akan berubah.
“Ifa, Ifa tolong mak cepat ada lelaki pengsan di depan ruah kita nie” jerit Mak Wan dari luar rumah.
“Hah, mak janganlah mak entah-entah orang jahat tak mak,” Ifa mengingatkan Mak Wan.
“Isk kau ni Ifa, tengok ni dia cedera Ifa,” kata Mak Wan lagi.
“Entah-entah dia ni samseng tak mak” kata Ifa lagi tidak percaya akan lelaki yang terbaring lesu tidak bermaya dengan kecederaan yang agak teruk.
“Tak baik macam tu Ifa, dia dalam kesusahan apa salahnya kita tolong, kalau dia jahat terpulanglah pada dia , kita dah jalankan tanggungjawab kita menolong dia, lebih-lebih lagi di hari dan bulan yang baik ni, cepat Ifa” lembut sahaja kata-kata Mak Wan.
“Baiklah mak.” Ifa dan Mak Wan mengheret lelaki itu ke dalam rumah dan dibaringkan di ruang tamu. Mak Wan membersihkan luka-luka lelaki dan membersihkan tubuh badan lelaki itu. Muka lelaki itu dilap kelihatan mukanya penuh dengan lebam-lebam dan darah beku dis ekitar jambang yang tak terurus dan di kepala. “YA ALLAH apalah kenanya dengan budak ni, selamatkan dia,” doa Mak Wan.
Hati Ifa masih kurang percaya pada lelaki itu, takut-takut penjahat ke perompak yang dikehendaki polis. Selepas membersihkan lelaki itu Mak Wan merehatkan diri sambil menonton TV sementara menunggu waktu berbuka pusa. Anak-anak Ifa pula mengelilingi lelaki yang masih belum sedar lagi.
“Ibu, Najwa rasa macam pernah lihat lelaki ni tapi Najwa tak ingatlah,” tiba Najwa bersuara. Ifa yang di dapur menyediakan juadah berbuka tersentak. Azan maghrib telah berkumandang dan mereka semua di meja makan dan meninggalkan lelaki itu. Lelaki itu masih belum sedarkan diri.
“ALLAH, sakitnya, aduh tolonglah.” Tiba-tiba kedengaran suara lelaki misteri itu dan semuanya menyerbu kearah lelaki itu. Mak Wan memanggil perlahan-lahan dan sambil itu Mak Wan menyuakan air minuman. Kelihatan lelaki itu bertenaga tetapi masih lemah. Ketika Ifa memberi bubur pada Mak Wan lelaki itu memandang tepat pada Ifa tanpa berkelip matanya. Ifa jadi takut. Mata lelaki itu seolah meminta simpati dan mengingatkan Ifa pada seseorang … seseorang yang amat dikenalinya tapi tak kanlah… Ifa memendam perasaan.
Sejak kehadiran lelaki itu Ifa rasa ada yang tak kena. Mak Wan pula seakan mesra dan katanya dia merasa seolah anak lelakinya dan katanya lagi nama lelaki itu Lan. Begitulah hati tua yang sentiasa merindui belai kasih anak-anaknya. Lelaki itu semakin pulih dan kelihatan dia rajin mengerjakan suruhan ALLAH dan sopan pada orang tua. Dengan anak-anak Ifa pun dia begitu mesra dan bila malam lelaki misteri itu mengajar anak-anak Ifa mengulangkaji pelajaran. Dan lebih sayu lagi Nabil seakan-akan menagih kasih sayang dan belaian seorang bapa hingga tidur pun dengan lelaki misteri itu.
“Mak, besok dah nak raya, kenapa lelaki tu tak balik ke rumahnya?” tanya Ifa pada Mak Wan yang sedang sibuk merebus ketupat.
“Entahlah Ifa Mak rasa macam dah anak mak aje, baik orangnya lagipun kalau nak harap anak-anak Mak Wan balik susah ler, biarlah dia beraya sama kita, terhibur gak hati budak-budak tu,” kata Mak Wan sambil tersenyum. Jelas terbayang kegembiraan Mak Wan untuk menyambut hari raya bersama lelaki misteri yang dianggapnya sebagai anaknya. Sementara anak-anak Ifa sedang bermain bunga api bersama dengan lelaki misteri setelah selesai solat Tarawih dari surau berdekatan, sekejap-sekejap Ifa menjengok anak-anaknya takut-takut dilarikan lelaki misteri itu.
“Najwa, Najla, Nabil sudah.. pergi basuh tangan dan tidur, esok nak bangun pagi, nak sembahyang raya terlambat pulak,” Ifa memanggil anak-anaknya masuk tidur. Lelaki misteri itu hanya diam dan memerhatikan Ifa dan seakan cuba untuk senyum tapi Ifa lebih awal masuk ke dalam rumah. Lelaki misteri yang berjambang serta rambut panjang itu masih lagi sukar bagi Ifa nak mempercayainya. “YA ALLAH jauhilah keluarga kami dari segala perkara yang tidak diingini,” doa Ifa dalam hatinya.
“Wah, awal lagi cucu nenek dah bangun, dah siap berbaju kurung dan baju melayu, comelnya cucu-cucu nenek niiiii,” puji Mak Wan pada anak-anak Ifa. Kembang hidung anak-anak Ifa bila dipuji begitu dan tersenyum lebar sampai ke telinga. Ifa bangun awal lagi untuk menyediakan makanan pagi sebelum pergi bersembahyang hari raya.
“Mak, mana peginya lelaki tu, dari tadi tak nampak bayang?” tanya Ifa pada Mak Wan. “Mana pulak lelaki ni” hati Ifa tertanya. “Agaknya dia dah keluar awal pagi,” hati Ifa memujuk.
“Ifa jomlah, apalagi yang tercegat tu,” kata Mak Wan melangkah keluar untuk ke masjid. Dalam perjalanan Ifa masih berfikir pasal lelaki itu mana pulak peginya… isk heran betul. Setelah selesai bersembahyang hariraya Mak Wan, Ifa dan anak-anak pulang ke rumah. Sambil menjamu selera tiba-tiba terdengar suara lelaki memberi salam. Mak Wan ke pintu sementara Ifa dan anak-anak masih di meja makan.
“Waalaikumussalam,” Mak Wan membalas salam dan Mak Wan tercegat sambil memerhatikan seorang lelaki berbaju melayu biru laut sepasang, wajah lelaki itu kelihatan amat bersih dan tampan. Sambil tersenyum dia bersalam dan mencium tangan Mak Wan. Mak Wan hairan , nak dikatakan anak-anaknya tidak pulak.
“Mak Wan tak kenal saya ke, saya Lan Mak Wan, lelaki yang pernah Mak Wan tolong tempohari, maafkan saya kerana saya keluar dari rumah Mak Wan awal pagi tadi tanpa memberitahu Mak Wan.
“YA ALLAH, Lan ke ni, kau dah cukur jambang dan potong rambut , syukurlah, mari masuk nak, mari,” jemput Mak Wan. “Ifa, Ifa mari tengok ni Lan datang ni, Najwa, Najla, Nabil mari pak cik Lan ni,” Mak Wan memanggil dengan gembira sekali.
Ifa dan anak-anaknya keluar keruang tamu dan melihat lelaki misteri bernama Lan yang selama ini berserabut serta kusut masai itu berdiri tegak dangan tampannya berbaju melayu biru sepasang. Ifa terkejut melihat lelaki misteri itu menerpa kearahnya dan mencium tangan Ifa bertalu dan memeluk-meluk anak-anak Ifa yang hanya berdiri kaku di samping ibunya.
“Ampunkan abang Ifa, abang banyak bersalah, maafkan abang,” raung lelaki itu dan berlutut di depan Ifa dan anak-anak. Mak Wan terkejut dan hairan. Ifa hanya menangis dan memeluk anak-anaknya, Najwa , Najla dan Nabil hanya memerhatikan ayah mereka yang sedang menangis sambil tangan mereka menggengam erat tangan Ifa. Ifa hanya mendiamkan diri.
“Najwa, Najla, Nabil ayah minta maaf, ayah janji tak buat lagi, ayah akan jaga anak-anak ayah. Percayalah, ampunkan ayah,” kata lelaki misteri itu pada anak-anak Ifa. “Ifa cakaplah sesuatu Ifa pada abang, lama abang mencari Ifa dan anak-anak, abang benar-benar menyesal, ALLAH maha berkuasa dan abang menerima balasannya Ifa, abang menyesal, terimalah abang semula Ifa, kita bina hidup baru, bagi abang peluang Ifa,” rayu Razlan pada Ifa sambil menangis. Ifa terkaku.
“Mak sebenarnya inilah suami Ifa, Razlan, dari hari pertama dia datang Ifa dah dapat rasa tapi Ifa was-was dan dialah ayah kepada anak-anak Ifa,” Ifa memberitahu Mak Wan.
“Alhamdulillah Ifa, berilah dia peluang Ifa, ALLAH maha berkuasa, terimalah dia kembali, kisah lama usah diingat kita bina hidup baru, itulah berkat doa kau setiap malam nak,” kata Mak Wan sambil mengambil tangan Razlan dan tangan Ifa disatukan. “Cucu nenek, salam dan cium tangan ayah,” pujuk Mak Wan pada cucunya.
Najwa, Najla dan Nabil pergi mendapatkan ayahnya lalu mencium tangan ayahnya dan Razlan memeluk erat anak-anaknya sambil mencium anak-anaknya. “Maafkan ayah, ayah janji tak akan menyusahkan kau semua,” kata Razlan sambil mengusap-usap kepala anak-anaknya.
“Mari semua kita makan, syukur pada ALLAH pagi raya yang baik ni kita bina hidup baru dan mak nak Ifa dan Razlan serta anak-anak tinggal bersama dengan mak,” kata Mak Wan perlahan sambil mengusap kepala cucunya. Mereka semua menikmati juadah di pagi raya dengan perasaan yang gembira dan hiba. Anak-anak Ifalah yang paling gembira kerana ayah mereka ke pangkuan semula.
“Ifa, maafkan abang, abang janji tak akan menyakiti Ifa dan anak-anak,” kata Razlan sambil menggenggam erat tangan isterinya.
“Ifa dah lama maafkan abang, dan Ifa sentiasa ingatkan abang,” terang Ifa sambil tersenyum. “Abang, Ifa sayangkan abang, jangan tinggalkan kami lagi,” pinta Ifa pada Razlan.
Tengahari itu Mak Wan membawa anak-anak Ifa keluar berhari raya menziarahi jiran-jiran dan sekaligus memberi peluang bagi Ifa dan Razlan berdua agar dapat berbincang. “Abang kita bina hidup baru seperti yang kita rancang pada awal perkahwinan kita, lagipun anak-anak kita semakin membesar, mereka perlu sokongan ibu bapa mereka dan Ifa harap abang tak sia-siakan kami semua,” kata Ifa lembut serta perlahan pada Razlan.
“Ifa, abang berjanji dan untuk pengetahuan Ifa sebenarnya abang dah dapat kerja di kawasan ni tapi abang dihantui oleh bayang-bayang Ifa dan anak-anak dan itu yang menyebabkan abang jadi tak tentu arah mencari Ifa dan anak-anak merata-rata dan pada malam itu abang telah dipukul oleh budak-budak samseng habis semua barang abang mereka samun, abang cuba melawan tapi mereka pukul abang teruk dan secara kebetulan abang pengsan di depan rumah Mak Wan,” cerita Razlan sambil memandang tepat ke wajah Ifa tanpa berkelip.
“Apa abang ni pandang Ifa cam tu.” Ifa malu bila Razlan memandang tepat pada wajahnya sambil tersenyum.
“Dah lama abang tak pandang wajah isteri abang, tak boleh ke, abang rindu pada belaian Ifa,” ucap Razlan sambil mencium dahi Ifa dengan lembut dan mulus.
“Abang, Mak Wan banyak bantu Ifa dan anak-anak dan juga abang, jadi Ifa harap abang tak keberatan kalau kita tinggal bersamanya, Ifa dah anggap dia macam emak Ifa sendiri,” kata Ifa pada Razlan.
“No problem janji abang dapat bersama Ifa, anak-anak dan…” bicara Razlan terhenti.
“Dan…apa bang, cakaplah pada Ifa,” desak Ifa pada Razlan.
“Dan abang harap abang tak kan tidur di ruang tamu lagi,” usik Razlan pada Ifa sambil memeluk Ifa. Terasa kebahagiaan menjenguk kembali diri Ifa dan Razlan. YA ALLAH, KAU telah kembalikan sinar kebahagian pada diriku dan anak-anakku... sesungguhnya KAUlah yang amat mengetahui. SYUKUR alhamdulillah.
Wajahku yang comot dek basah dengan air mata, telah diperelokkan kembali oleh mak andam. Dia membebel kepadaku kerana merosakkan hasil tangannya tadi. Aku hanya berwajah selamba. Aku kembali tenang setelah dipujuk oleh Lisa. Kalau Lisa tiada, entah apa akan terjadi pada diriku.
“Pengantin lelaki dah sampai. Handsome tau!” Bisik Lisa lembut di telingaku. Aku hanya tersenyum tawar. Terasa semangat telah dibawa terbang ketika Hairi meluahkan perasaannya terhadapku tadi.
Tidak lama kemudian, tok kadi masuk ke bilikku. Entah apa yang tok kadi katakan pun aku tidak pasti. Sedar tak sedar, aku sudahpun menandatangani satu kertas. Aku tidak tahu apa yang tertulis di atas kertas itu. Di telingaku masih terngiang-ngiang suara Hairi.
“Dah selamat. Kau sekarang bergelar Puan Fitriah.” Ucap Lisa lalu mengucup lembut pipiku. “Sekejap lagi suami kau akan masuk untuk membatalkan air sembahyang.” Sambung Lisa lagi.
Hatiku berdebar tiba-tiba. Bagaimana agaknya harus aku lakukan sewaktu berhadapan dengan suamiku nanti. Perlukah aku senyum atau hanya berlagak biasa saja?
Aku menundukkan wajahku sewaktu suamiku masuk ke kamar untuk membatalkan air sembahyang. Terdengar suaranya memberi salam. Aku menjawabnya di dalam hati.
“Apa khabar isteri abang?” Lembut suara itu menyapa gegendang telingaku. Seperti pernah aku dengar suara garau itu. Perlahan-lahan aku mengangkat wajahku. Mulutku terlopong.
“Jangan luas sangat buka mulut tu, nanti masuk lalat.” Katanya lagi lalu tersenyum manis.
“Hairi??” Betulkah apa yang aku lihat ini? Benarkah Hairi yang menjadi suamiku?
“Hah, apa lagi yang terlopong tu? Habis semua pinangan orang ditolaknya semata-mata menungggu ‘orang sebelah’ ini masuk meminang.” Suara emak kedengaran di celah-celah keramaian. Kemudian terdengar suara ketawa. Aku memandang ke arah Lisa.
“Puas hati kau? Dapat juga kahwin dengan ‘orang sebelah’!” Usik Lisa lalu ketawa kecil.
Perlahan-lahan aku mengorak senyuman gembira. Alhamdulillah… akhirnya bersatu juga cintaku walaupun terdapat salah faham pada awalnya. Buat rugi air mata aku saja menangis tadi.
“Tadi kenapa menangis?” Bisik Hairi sewaktu menyarungkan cincin ke jari manisku.
“Sebab ingatkan kena kahwin dengan orang lain…” Jawabku sambil tersipu-sipu malu.
“Lain kali ambil tahu sikit tentang majlis walaupun hati tak mahu. Nasib baik dapat kahwin dengan ‘orang sebelah’ nie, kalau kena kahwin dengan orang sebelah laut sana… bagaimana agaknya ya?” Bisiknya lagi. Aku hanya tersenyum manis lalu tunduk mengucup lembut tangannya.
Semenjak itu, aku menjadi seorang yang pendiam. Aku lebih menumpukan perhatian pada kerjaku. Ramai rakan-rakan hairan dengan perubahan mendadak yang berlaku pada diriku. Ahh… biarkan apa orang nak kata. Yang pastinya hidup aku sudah tidak bermakna lagi. Segala-galanya sudah diaturkan.
Sudah genap tiga bulan aku bergelar tunangan orang yang aku sendiri tidak kenal siapa tunangan aku. Biarlah tiba hari pernikahan saja aku menatap wajah bakal suaminya untuk kali pertama. Aku sudah tidak mempedulikan semuanya. Malah sejak diri ini menjadi tunangan orang, aku menolak untuk berjumpa dengan Hairi. Aku tahu dia mungkin hairan dengan diriku. Biarkanlah… bukankah itu lebih baik untuk diriku dan dirinya. Demi emak dan abah, aku rela melepaskan perasaan yang satu ini. Aku rela asalkan emak dan abah gembira. Akan aku cuba untuk menyayangi suamiku. Bercinta tak semestinya bersatu. Tambahan pula aku yang tidak pernah bercinta dengan Hairi. Entahlah…
Apa agaknya perasaan Hairi apabila mengetahui yang aku akan menjadi milik orang lain. Kecewakan dia dengan pernikahan aku ini? Eh? Mengapa pula aku memikirkan semua itu? Mungkin benar kata Lisa, perasaan aku ini belum tentunya berbalas. Mengapa aku terlalu mengharapkan pada sesuatu yang tak pasti? Mungkin tiada jodoh antara aku dan Hairi. Aku redha!
Kadang kala terlintas di fikiranku untuk menyoal sendiri pada Hairi tentang perasaannya padaku. Dan pernah juga terlintas di fikiranku untuk berterus-terang kepada Hairi tentang perasaanku terhadapnya. Namun apabila memikirkan jikalau perasaan aku ini ditolak, alangkah malunya rasa di hati. Mana mungkin aku sanggup untuk menatap wajahnya lagi.
Biarlah… aku sudah menetapkan hatiku untuk menerima pilihan emak dan abah. Antara aku dan Hairi hanya sebuah mimpi indah yang pernah aku lalui. Biarkan ianya berlalu di bawa angin bayu.
Rumah peninggalan arwah nenek begitu meriah. Tiga buah khemah besar dipasang di halaman rumah. Saudara mara begitu ramai memenuhi rumah aku dan rumah Mak Ngah. Rumah aku dan rumah Mak Ngah hanya dipisahkan oleh laman yang luas. Jaraknya tak sampai seratus meter.
Mak andam begitu sibuk ‘mewarnakan’ wajahku. Awal-awal lagi aku memberi amaran padanya agar tidak menyolekkan aku dengan tebal. Aku mahu semuanya natural. Tak perlu menempek banyak alat solekan sebab ianya takkan mengubah wajahku yang tidak ceria. Beberapa kali juga aku dimarahi oleh mak andam kerana berwajah sedih. Habis tu, aku mahu buat macam mana lagi. Takkan aku mahu tersenyum sedangkan di dalam hati aku menangis.
Tidak sampai dua jam lagi aku akan diijabkabulkan. Bila memikirkan detik itu, hatiku berdebar dengan kencang. Dapatkah aku berlagak seperti merelai pernikahan ini sedangkan hati aku sedang memberontak. Percaya atau tidak, aku hanya pulang ke kampung pada tengah malam semalam. Itupun, setelah puas aku bercuti menenangkan fikiran selama seminggu di Langkawi. Semua persiapan perkahwinan, aku serahkan bulat-bulat pada emak untuk menguruskannya. Biarlah emak buat semuanya. Biar emak tahu yang aku tidak merelai perkahwinan ini. Semuanya sudah diaturkan. Tak guna aku menolaknya. Perkahwinan ini akan tetap berlangsung walaupun aku membantah. Hampir gila aku jadinya!!!
Sedang aku menatap wajahku yang sudah siap disolek oleh mak andam di cermin, telefon rumahku berbunyi. Terdengar suara Lisa menjawab panggilan tersebut. Seketika kemudian, dia menjenguk aku di bilik.
“Ada panggilan untuk kau.” Beritahunya dan kemudiannya berlalu. Agaknya masih ada kerja yang belum dibereskan. Lisa sudah sampai dua hari awal sedangkan aku pengantin masih bersenang lenang di Langkawi. Gila agaknya aku nie??
“Hello…” Lembut suaraku menyapa.
“Hello Fitriah. Apa khabar? Apa rasanya hendak menjadi pengantin hari ini?” Suara garau itu menerpa ke telingaku.
Hairi?? Oh tidak… mengapa kau menghubungiku pada saat aku bakal diijabkabulkan dengan lelaki lain?
“Hairi…” Lirih suaraku memanggil namanya. Airmata sudah bergenang di kelopak mata.
“Fitriah, saya ada sesuatu yang ingin saya katakan pada awak. Saya tahu walaupun ianya sudah terlambat kerana majlis pernikahan bakal diadakan bila-bila masa saja lagi, namun saya tetap ingin luahkan pada awak. Saya sebenarnya mencintai awak Fitriah. Terlalu mencintai awak dan saya tak sanggup kehilangan awak.” Hairi meluahkannya dengan penuh perasaan. Hatiku semakin digamit rasa pilu. Air mata sudah berderai di pipi. Aku tidak memperdulikannya.
“Hairi… mengapa sekarang baru awak luahkannya. Memang ianya sudah terlambat. Saya bakal menjadi isteri orang. Saya akan menjadi milik lelaki lain. Kalau awak luahkannya sebelum ini, semua ini takkan terjadi. Saya takkan bersanding dengan lelaki lain. Awak kejam Hairi. Sanggup awak meluahkan perasaan awak pada saya pada hari pernikahan saya. Mengapa tidak sebelum ini? Awak sengaja mahu saya menderita, kan? Awak memang kejam… awak kejamm!!!” Jeritku tanpa mempedulikan orang ramai yang sedang memenuhi ruang rumahku. Lisa bergegas mendapatkan aku yang sudah terjelepuk di atas lantai.
“Fitriah… kenapa nie? Saya tak faham? Kenapa awak kata begitu pada saya? Saya ikhlas mencintai awak…” Terdengar suara Hairi yang masih mempertahankan cintanya padaku.
“Sudahlah… tak guna awak kata cintakan saya. Awak sendiri tahu yang saya bakal menjadi isteri orang hari ini. Hari ini hari pernikahan saya, awak tahu tak? “
“Saya tahu…”
“Kalau tahu, mengapa awak buat saya begini? Sampai hati awak, Hairi… sampai hati…” Ucapku lalu meletakkan ganggang telefon. Aku memeluk Lisa yang berada di sebelahku.
“Lisa, dia baru kata dia cintakan aku. Tapi, dah terlambat. Aku akan dinikahkan dengan orang lain. Aku rasa macam nak mati!!!” Aku sudah tidak tahu apa yang aku ucapkan. Aku terasa bagaikan hilang akal apabila Hairi meluahkan perasaannya kepadaku.
“Fitriah… jangan begini. Ramai orang tengok kau. Tak elok. Jaga air muka emak dan abah kau. Mari kita masuk ke dalam bilik.” Lantas Lisa memapahku masuk ke dalam bilik pengantin. Aku masih tersedu-sedu
”Diam saja? Tak suka saya datang jumpa awak lagi?” Suara garau milik Hairi bergema di corong telingaku. Aku memandang wajahnya sekilas. Tika ini kami sedang berada di taman KLCC.
“Tak adalah… saya suka awak datang.” Balasku mendatar. Aku cuba tersenyum, namun senyumanku nampak janggal. Seperti dipaksa-paksa.
“Saya dengar awak kena pinang lagi.”
Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk. Sekali.
“Kenapa awak tolak?” Soalan Hairi aku biarkan berlalu begitu saja. Takkanlah aku mahu katakan yang aku menolak pinangan itu dan pinangan-pinangan sebelum ini kerana dia. Malu jika perasaanku ini tidak berbalas.
“Awak dah ada boyfriend ya! Sebab itu awak reject!” Aku ketawa kecil mendengar perkataan ‘reject’ yang keluar dari ulas bibirnya.
“Saya nie bukannya baik sangat nak reject orang sesuka hati. Cuma saya tak bersedia nak memikul tanggujawab sebagai isteri.” Aku rasa setiap kali soalan mengapa aku menolak pinangan orang, jawapan inilah yang aku berikan; belum bersedia. Bila agaknya aku akan bersedia? Mungkin betul kata emak. Aku hanya akan bersedia apabila Hairi yang datang meminangku. Aku tersenyum sendiri.
“Hei… kenapa senyum seorang nie? Betullah awak dah ada boyfriend. Nanti dah tak bolehlah saya jumpa dengan awak begini. Yelah, nanti boyfriend marah pula.” Suaranya tiba-tiba saja tidak bersemangat. Wajahnya juga murung. Kenapa pula?
“Kalau saya dah ada boyfriend, takkanlah saya dapat jumpa dengan awak dan kita berdua dapat duduk bersama macam nie.” Balasku berkias. Aku memandang wajahnya untuk menantikan reaksinya. Ternyata wajahnya kembali ceria. Aku yakin, dia juga sukakan aku! Hatiku turut berlagu riang.
“Agaknya bila awak akan bersedia?” Sekali lagi aku biarkan persoalan itu berlalu. Aku cuma menjawab di dalam hati. Saya akan bersedia bila awak datang meminang saya, Hairi. Aku mengulum senyum.
“Senyum lagi… ada apa nie? Mesti awak rahsiakan sesuatu pada saya, betul tak?” Hairi menduga. Dia memaut lenganku dengan kuat.
“Tak ada apa-apa, betul…” Jawabku sambil menyembunyikan tawa. Dia tidak berpuas hati lalu mencubit pipiku lembut. Aku terpana seketika. Tak pernah dia melakukan begitu sebelum ini. Aku mula keliru.
Aku mengusap pipiku yang dicubitnya sebentar tadi. Pipiku merona merah. Malu. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Pantas aku menyelongkar tas tanganku. Sebaik sahaja telefon bimbitku berada di tanganku, tertera nombor telefon rumah di kampung. Aku terus menekan butang untuk menjawab panggilan.
“Assalamualaikum…” Kataku perlahan. Aku bangun menjarakkan diri dari Hairi.
“Waalaikummussalam. Hah Fitriah, mak bercakap nie.” Terdengar suara emak sayup-sayup di corong telingaku.
“Ya mak… mak apa khabar? Ada apahal mak telefon Fitriah?” Soalku bertalu-talu.
“Alhamdulillah, sihat. Mak telefon kau nie hendak maklumkan pada Fitriah yang semalam ada orang masuk meminang Fitriah. Dan emak sudah pun menerima lamaran mereka itu.”
“Emak!!! Kenapa mak tak tanya Fitriah dulu? Kenapa mak terus terima lamaran tu?” Alangkah terkejutnya aku apabila diberitahu tentang hal itu. Kenapa emak begitu kejam? Aku tak mahu… aku tak mahu…
“Bukankah mak dah katakan dulu. Kalau ada yang masuk meminang kau selepas ini, mak terima saja. Kalau tanya kau, alamatnya tak merasalah mak nak tengok kau naik pelamin. Mak dah tua Fitriah. Entah esok entah lupa nak mati. Sementara nyawa masih dikandung badan, mak teringin nak lihat kau naik pelamin. Lagipun tinggal kau saja yang belum berkahwin. Sudah, jangan cakap apa-apa lagi. Bersedia saja. Dan untuk pengetahuan Fitriah, hari ini sudah rasmi Fitriah bergelar tunangan orang. Mungkin sebulan dua lagi, Fitriah akan naik pelamin. Bersiap-sedialah.” Belum sempat aku membalas kata-kata emak, emak terus meletakkan ganggang telefon.
Emak… kenapa begitu kejam pada Fitriah? Fitriah tak mahu kahwin dengan orang lain. Fitriah cuma cintakan Hairi…
Tanpaku sedari airmata mengalir laju menuruni pipiku.
Aku bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di ibukota. Memang amat jarang aku pulang ke kampung. Cuma apabila cuti sekolah saja aku menjengukkan diri ke kampung. Lagipun aku runsing dengan pertanyaan-pertanyaan saudaraku. Semuanya seakan mendesak aku menamatkan zaman bujangku.
Aku mengurut dahiku yang terasa berdenyut-denyut. Mungkin terlalu memikirkan tentang emak. Aku mengeluh perlahan sambil mataku menatap buku kerja anak muridku.
“Hai… banyak hutangkah Fitriah? Sampai berkerut-kerut dahi.” Kedengaran suara Cikgu Sabri menyapaku dari belakang.
“Tak adalah cikgu, kepala sakit sikit. Agaknya tak cukup tidur…” Balasku tanpa berpaling kepada Cikgu Sabri.
“Aik? Apa kau buat sampai tak cukup tidur? Nak kata ada suami, masih bujang. Nak kata ada anak, tak nampak pula kau mengandung!” Sinis sekali sindiran Cikgu Sabri. Telingaku terasa panas. Hish… dia nie. Semenjak aku tolak pinangan dia dua tahun lalu, asyik nak mengenakan aku saja. Pergilah cari perempuan lain. Bukan aku seorang perempuan kat Malaysia nie!!
“Cikgu Sabri, tak semestinya orang yang tidur lewat ada anak dan suami. Kenapa, orang bujang macam saya tak boleh tidur lewat?” Suaraku sedikit meninggi. Ketika itu hanya ada beberapa orang guru sahaja di dalam bilik guru itu.
“Bukan begitu…”
Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, aku cepat memintas.
“Haa… jadi, cikgu jangan nak menyibuk hal saya. Ikut suka sayalah nak tidur lewat ke… tidur awal ke… atau tak tidur langsung. Lagipun tak baik jaga tepi kain orang sedang kain sendiri koyak rabak.” Aku menghempaskan pen dan kemudian mengambil buku lalu terus bangun dan beredar menuju ke kelas.
Puas hati aku dapat mengenakan dia. semenjak aku menolak pinangannya, dia seolah-olah menganggap aku sebagai musuhnya. Sejak dia masuk ke sekolah ini, aku tahu dia menaruh perasaan padaku. Tetapi, aku cuba melayannya sebiasa yang mungkin. Entah bagaimana dia boleh menyalah tafsirkan layanan aku terhadapnya. Ish… susahnya bila ada orang yang cepat perasan!!!
*****
“Lisa, aku rasa mak aku marahkan akulah.” Rungutku pada satu petang sewaktu kami sedang berjoging di sekitar taman perumahan tempat kami menyewa.
“Kenapa pula?” Soal Lisa kehairanan.
“Dua bulan lepas, ada orang masuk meminang aku. Aku tolak. Mak aku marah sampai dia hempaskan telefon.” Aku berterus-terang dengan Lisa tentang masalah aku. Aku akui, aku tidak pernah rasa bersalah sebegini sebelum ini. Walaupun peristiwa itu sudah dua bulan berlalu, namun ianya masih menghantui hingga kini. Entahlah!
“Hai… lakunya kau ye! Masuk nie kalau tak silap aku, dah lima kali kena pinang tapi semuanya kau tolak. Kau nak tunggu siapa? Kau nak tunggu putera raja datang meminang kau?” Gurau Lisa lalu ketawa besar. Aku turut sama ketawa.
“Eh, kalau betul putera raja datang meminang aku… kau pun untung juga.”
“Kenapa pula?”
“Aku akan ambil kau jadi pengapit aku. Kemudian kenduri kahwin mesti 40 hari 40 malam. Kalau nasib kau baik, manalah tahu ada adik putera raja tu berkenan pada kau, haa… berbiraslah kita nanti.” Aku ketawa besar melihat wajah masam Lisa kerana dipermainkan oleh aku.
“Perasan!!” Cebik Lisa kepadaku. Aku hanya tersengih.
Kami berhenti berlari lalu melepaskan lelah di bangku. Aku mengesat peluh yang membasahi wajahku. Lisa pula sedang melakukan senaman ringan di hadapanku. Aku sudah tidak mampu untuk berlari walau semeter lagipun. Memang aku jarang bersenam. Tambahan hari minggu begini, aku lebih suka menghabiskan waktu dengan tidur.
“Tak baik kau asyik menolak hajat orang Fitriah. Apa lagi yang kau tunggu? Orang sebelah rumah kau tu?” Lisa pun tahu mengenai Hairi. Antara aku dan dia memang tiada rahsia. Kami memang rapat sejak zaman belajar di maktab lagi. Untungnya selepas habis belajar, kami ditempatkan di sekolah yang sama.
“Habis tu, takkan kau nak aku terima semua hajat orang. Teruklah aku. Aku bukannya lelaki, yang boleh kahwin sampai empat.”
“Aku tak kata begitu. Cuma, sikap kau yang selalu sangat menghampakan harapan orang, itu yang aku kurang gemar.”
“Kahwin sekali seumur hidup Lisa. Kalau boleh aku mahu hidup bersama dengan orang yang aku cinta. Aku tahu, cinta dan kasih itu akan hadir selepas berkahwin tapi masalahnya sekarang hati aku sudah dimiliki oleh lelaki lain. Mana mungkin aku dapat menerima lelaki lain dalam hidup aku. Kau bayangkan aku kahwin dengan lelaki lain dan lelaki yang aku sayang pula berada di sebelah rumah aku saja. Hah, aku mungkin akan hilang akal bila tiba masa bernikah nanti. Silap haribulan, aku lari time majlis pernikahan itu nanti.” Begitu panjang lebar aku meluahkan rasa yang terpendam di hati sekian lama ini.
“Betul juga kata kau. Tapi, kau fikirkanlah tentang emak dan abah kau. Sanggup kau lukakan hati mereka semata-mata mempertahan kasih dan sayang kau yang belum pasti berbalas pada Hairi tu?”
Pertanyaan Lisa seakan menyentapkan jantungku. Lidahku kelu.
“Mak… tolonglah jangan paksa Fitriah. Fitriah tak mahu!!” Bentakku dengan wajah masam mencuka. Ganggang telefon yang melekap di telinga, kurasakan begitu panas. Aku menumbuk-numbuk dinding bersebelahan dengan meja kecil yang mana telefon terletak di atasnya.
“Bila lagi? Nak tunggu apa lagi? Umur kau pun dah dekat tiga puluh tahun. Masuk nie, dah lima kali. Malu mak nanti!!” Emak membebal panjang. Aku mengeluh perlahan. Aku menggaru-garu lenganku.
“Fitriah…” Ayatku mati di situ.
“Apa? Kau tunggu orang sebelah rumah kita nie lagi?” Soalan emak menyentak jantungku. Aku tersengih sumbing. Kali ini aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.
Di mataku terbayang wajah Hairi, jiran sebelah rumahku di kampung. Dulu kami pernah rapat, namun belum pun sempat janji diikat ianya sudah terputus. Walaupun begitu, kami tetap mesra. Tiada kata yang pernah diluahkan kerana masing-masing tahu perasaan sendiri. Hanya sendiri yang memahami maksud yang tersirat di dalam hati masing-masing.
Teringat lagi aku sewaktu berbual-bual kosong dengan emak lima tahun yang lalu. Gara-gara majlis perkahwinan sepupuku, aku juga turut terkena tempiasnya. Semua orang sibuk bertanya bila aku hendak naik pelamin.
“Fitriah, kalau nak cari suami… carilah lelaki yang baik, sayang pada Fitriah, taat pada ALLAH dan sentiasa ambil berat pada orang tua.” Ucap emak sewaktu aku sedang sibuk memasukkan telur rebus ke dalam kotak-kotak kecil yang bakal diberikan kepada tetamu-tetamu esok.
“InsyaALLAH mak…” Balasku tersipu-sipu malu.
“Fitriah dah ada calon? Kalau ada, kenalkanlah pada mak.” Emak seperti mengumpan aku. Aku pula tidak menjawab, sebaliknya hanya tersengih.
“Nie senyum-senyum nie, mesti dah ada…” Usik emak kepadaku. Di fikiranku terbayang wajah Hairi yang baru kutemui sebentar tadi. Waktu sekarang mungkin dia sedang sibuk membantu mengacau lauk di dalam kawah atau menggodak gulai. Dia turut sama menyumbang keringat dalam majlis perkahwinan sepupuku ini. Adat orang hidup sekampung. Bila ada kenduri-kendara, saling tolong-menolong. Tambahan pula rumah kami bukannya jauh, sebelah rumah saja.
“Ish… tak adalah.” Jawabku perlahan. Pipiku sudah merah menahan malu. Kukilas ke wajah emak di sebelahku. Dia hanya tersenyum.
Suasana senyap seketika. Aku pula tekun menyiapkan kerjaku.
“Ermm… mak!” Panggilku sambil memandang tepat ke wajahnya.
“Ada apa?” Emak menyoal aku.
“Kalau Fitriah kawan dengan orang sebelah tu… mak suka tak?” Takut-takut aku mengeluarkan kata-kata. Aku melihat matanya terbeliak besar. Seperti terkejutkan hantu.
“Orang sebelah? Siapa?” Nada suara emak bertukar. Tegas!
“Orang sebelah…” Jawabku sambil memuncungkan bibirku ke sebelah kiri, ke arah rumah Hairi.
Emak mendengus tiba-tiba. Aku mula cuak. Mengapa pula nie?
“Hairi yang Fitriah maksudkan?” Soal emak tidak puas hati. Aku mengangguk cepat.
“Mak bukan tak sukakan Hairi tu. Dia baik, cuma mak tak berapa suka dengan perangai emak dia. Fitriah sendiri tahukan perangai mak si Hairi tu. Suka sangat membangga-banggakan anak dia. Lepas tu suka sangat menyibuk hal orang lain.” Emak mengeluh perlahan. Hatiku tiba-tiba saja menjadi sayu. Nampaknya tak ada harapanlah aku ingin bersama dengan Hairi. Awal-awal lagi emak dah reject.
Dan sejak hari itu, aku cuba melupakan tentang perasaan aku terhadap Hairi. Tetapi aku tak berjaya. Aku semakin sayang padanya. Namun begitu, aku yakin bahawa kami masih mempunyai peluang untuk bersama iaitu dengan bersabar. Walaupun begitu aku lebih mengutamakan keluarga. Biarlah aku korbankan kasih sayang aku pada Hairi untuk sementara waktu asalkan itu memuaskan hati mereka dan aku tidak mahu ‘dicap’ sebagai anak derhaka.
Walaupun antara aku dan Hairi, tiada ada apa yang pasti dalam perhubungan kami, aku seakan yakin dengan hati ini. Aku yakin, dia turut merasakan apa yang aku rasa. Cuma masing-masing tidak meluahkan perasaan itu. Aku mengatakan begitu kerana Hairi memang amat rapat dengan diriku. Walaupun kami berjauhan namun sebulan sekali, dia sanggup turun ke ibukota semata-mata untuk berjumpa denganku. Bilaku tanya mengapa dia sanggup bersusah-payah begitu, dengan senyuman dia akan berkata, “Rindu…” Hai… terasa cair perasaan aku apabila dia mengungkapkan kata ‘rindu’ itu.
Tapi, aku bukannya mahu mengalah begitu saja. Aku seakan membalas dendam pada emak secara halus. Masuk kali ini sudah lima kali rombongan peminangan dihantar ke rumah. Namun, semuanya aku tolak dengan alasan belum bersedia. Padahal dalam hati aku, Hairi tetap menjadi pilihan. Hmmm… emak pun seakan faham mengapa aku menolak semua peminangan tersebut. Semuanya kerana ‘orang sebelah’. Aku ketawa kecil.
“Hah! Apa yang kau ketawakan tu?” Suara emak yang menerpa ke corong telingaku, menyentakkan aku dari lamunan panjang.
“Tak ada apa-apa. Mak… cakap saja Fitriah tak bersedia lagi.”
“Fitriah… Fitriah… sampai bila kau nak bersedia? Bila ‘orang sebelah’ tu yang datang meminang?” Sekali lagi emak menyindirku. Aku mula bosan. Aku hanya mendiamkan diri. Malas mahu membalas kata-kata emak. Jika boleh aku mahu menamatkan panggilan itu sekarang juga, namun tidak mahu dikata anak kurang ajar.
“Baiklah… kalau dah tak mahu, nak buat apa? Bukan mak yang nak kahwin, kau juga! Ini kali terakhir mak ikut cakap kau Fitriah. Lepas nie, kalau ada siapa-siapa yang masuk meminang kau… mak terima saja!” Ugut emak dan serentak dengan itu emak meletakkan ganggang dan talian telefon terputus begitu saja. Aku terkedu sendirian…
“Handsomelah, Arin. Tapi, kan… kenapa dia langsung tak serupa bapak dia? Bapak dia hidung bunga. Tapi dia, hidung mancung! Betul-betul macam pelakon mat salleh tu!” Terkekeh-kekeh Fatini ketawa. Sedap benar mulutnya mengutuk big boss kami. Malah, siap membanding-bandingkan pula antara anak dengan bapak.
“Kau ni, pasal mengutuk nombor satu!”
Fatini tersengih mendengar kataku itu. Aku tahu, Fatini jadi tidak keruan setiap kali Rizz, anak big boss kami yang baru balik dari England itu datang mencari ayahnya. Berbeza dengan aku. Rasa kurang senang dan meluat tumbuh mekar dalam dada melihatkan keegoan yang jelas terpamer pada wajahnya. Bagiku, walau setampan dan sekacak manapun seseorang lelaki itu kalau perangainya semacam aku pun tak nak pandang. Menyampah tu, adalah!
“Siapa yang paling laku dalam opis ni?”
Tiba-tiba saja Rizz bertanya, entah pada siapa-siapa. Tapi matanya tajam memandang aku sambil tersenyum sinis. Aku tidak mengerti. Terus ku palingkan mata ke dada meja. Dadaku berdebar-debar.
“Saya tahu, awak tentu paling ramai peminat kat sini, betul tak?”
Bagiku soalan Rizz itu seperti soalan bodoh. Entah, apa mimpinya malam tadi. Tidak ada sesiapa yang mengarahkan dia berdiri tepat-tepat di depanku. Malah, dengan selamba dia menarik kerusi kosong di sebelah dan terus duduk di depanku tanpa permisi. Aku menjadi metah meluat. Ketidakselesaan menyelubungiku ketika itu. Mata Fatini, mata Ayub, mata Liza dan semua mata yang ada di situ masing-masing menghulurkan pandangan dengan makna yang maha sukar aku tafsirkan. Dan seperti biasa mata Shahrul yang paling tajam menjeling padaku berbanding mata-mata yang ada. Aku apa peduli!
“Hai, awak! Tak hormat dengan anak Pengarah nampaknya!?” Rizz meninggikan suaranya. Tidak semena-mena, dia merampas pen di tanganku.
Aku rasa geram yang metah. “Encik Rizz, saya tahulah awak ni anak Pengarah. Tapi, sikap awak ni dah melampau!” Bersuara juga aku akhirnya. Geramku tidak dapat dibendung lagi.
“Oh, saya ingatkan awak ni bisu! Tapi, rupanya tak. Syukurlah…” Rizz tertawa sinis.
Makin robek hatiku dibuatnya. Dia berlalu dengan satu renungan yang menusuk ke sukma. Aku tidak tahu apa maksudnya. Yang aku tahu, bermula pada ketika itu aku tidak mahu lagi melihatnya!
***
“Mengapa agaknya Johan dah lama tak datang ke rumah? Rindu mama nak bersembang dengannya…”
Johan Datuk Khalid! Huh, mendengus aku mendengar nama itu. Tunang jenis apa begitu? Kaki perempuan! Bukan sekali dua aku terserempak dengannya dikepit perempuan lain, malah beratus kali. Bahkan, bukan aku seorang yang nampak. Kawan-kawan aku pun pernah nampak Johan keluar masuk disko. Paling teruk lagi, ke hotel! Aku hanya menunggu masa yang sesuai untuk bersuara.
“Lebih baik dia tak datang… Aman rasanya dunia ini…”
“Dia tu tunang Arin. Bukan orang lain…”
“Sapa nak lelaki macam tu? Betina keliling pinggang. Dah tak kenal dosa pahala!” Meletus juga rasa tidak puas hatiku terhadap Johan. Anehnya, mama sentiasa menyebelahi lelaki itu.
“Macam manalah dia tak keluar dengan perempuan lain, kalau dia ajak Arin date… Arin asyik menolak…”
Mama sengaja menambah kelukaan di hati ku yang sedia parah ini. “Mama… bukan prinsip Arin keluar berdua dengan lelaki meskipun lelaki itu tunang Arin sendiri. Lainlah suami…”
“Alah… lambat laun Johan tu jadi suami Arin jugak!” Mama mencebik bibir.
Aku mendengus. Mama tidak kenal lagi siapa lelaki yang bernama Johan itu. Lelaki buaya yang bertopengkan lelaki budiman. Konon!
“Mama tak faham…” Hanya ayat itu yang terkeluar dari mulutku.
***
“Wah! Banyaknya bunga. Cantiknya bunga! Sapa yang bagi bunga-bunga ni, Arin?”
Seingat aku sudah lebih sepuluh kali soalan seumpama itu meluru keluar dari mulut teman-teman sepejabat. Aku hanya menjungkit bahu. Tidak tahu. Jambak mawar merah segar itu aku letakkan saja di sudut meja. Aku tidak kisah sangat pasal jambak mawar merah itu. Walau siapa pun pengirimnya, aku malas hendak persoalkan.
“Banyak dapat bunga! Maklumlah… orang ada buah hati tercinta…” Sinis sindiran Shahrul itu. Dibelek-beleknya kuntuman mawar itu tanpa malu-malu. Aku tahu apa yang dicarinya. “Aku tak sangka, Arin. Rupanya taste engkau orang kaya. Al maklum sajalah, aku ni… apa yang ada…” Memang berbau sindiran kata-kata itu. Sedangkan aku memang tidak tahu siapa pengirim bunga itu.
“Jangan cakap tak guna otak, Shahrul! Jangan main serkap jarang!” Tinggi nada suaraku menggamit Fatini ke sisi. Wajahnya jelas meminta pengertian. Belum sempat hendak bersuara, Rizz muncul dengan senyum manisnya yang entah dari mana datangnya. Shahrul mendengus cemburu dan berlalu.
“Hai, sayang! Suka tak dengan bunga tu?”
Terpana aku mendengar ayat itu. Merah mukaku menahan malu. Manakan tidak! Depan teman-teman dipanggilnya aku ‘sayang’! Sah, memang dah gila budak ini nampaknya. Aku senyum tawar cuma.
“Encik yang beri? Terima kasihlah…”
“Awak suka tak, sayang?”
Panas telingaku mendengar istilah ‘sayang’ itu. Terselit juga rasa geli geleman. Teman-teman lain pura-pura khusyuk, sedangkan telinga pasang dengar! Shahrul berdehem.
“Encik Rizz… apa maksud awak?”
“Bagus awak tanya. Hmmm…” Rizz merenung lagi. Dia langsung tidak peduli pada mata-mata yang memandang. Pada telinga-telinga yang mendengar. Dan renungan itu… sama seperti renungan semalam. Tajam dan menusuk jauh ke sukma. Aku tewas.
“Mudah saja. I nak ajak you keluar, boleh?”
Sekali lagi aku terkejut. Makin naik lemak nampaknya anak Pengarah ini. Tadi siap panggil orang ‘sayang’. Sekarang, sudah ber I, you pulak! Melampau sungguh! “Saya rasa tak sesuai keluar dengan Encik Rizz!” Jawabku tegas.
“Why not?”
“Sebab, keluar dengan lelaki bukan muhrim bukan prinsip saya. Harap awak hormati prinsip saya, Encik Rizz!”
Tercetus tawa dari mulutnya. “Oh, kalau begitu… I akan kahwin dengan you lah baru dapat dating? Hahahaha…!”
Aku hanya diam. Aku sedar, jika aku terus berkata-kata pasti suasana makin tegang. Aku tidak mahu itu terjadi.
“Selama ini, I dapat tahu you tak pernah keluar dengan mana-mana lelaki. Benarlah kata orang yang you ni… jual mahal!”
“Encik Rizz! Kalau awak datang ke mari hanya untuk mengganggu saya dan yang lain dari tugas-tugas kami, baik awak pergi saja dari sini. Kalau tidak, saya akan buat aduan kepada Pengarah. Saya tak peduli awak siapa…” Begitu lancar mulutku berkata-kata. Yang nyata api amarahku sudah menyala-nyala. Biar! Biar dia tahu siapa aku.
“You cuba nak ugut I, cik Adrina? Okaylah… I don’t want to disturb you at this moment. But, I will be waiting for you… Muah! ” Rizz beredar pergi dengan wajah yang tetap ceria. Bagaikan kata-kata serta sikapku tidak menyinggung langsung perasaannya.
Aku berasa amat lega. Fatini segera mendapatkan ku. “Arin… maafkan aku. Aku telah ceritakan pada Rizz semua tentang kau…”
“Apa? Kau, Fatini?!”
Fatini tertunduk. Aku terduduk lesu di kusyen empuk.
***
Dua minggu berlalu. Sepanjang masa itu jugalah Rizz tidak jemu-jemu mengirimkan kuntuman bunga padaku. Yang amat memeranjatkan aku, dia turut meluahkan perasaannya. Luahan perasaan itu dituliskan pada setiap kad yang mengiringi kiriman kuntuman bunga itu. Ah, lelaki! Sukar untuk aku percaya. Sekalipun Rizz menggunakan Fatini sebagai posmennya, aku tetap tawar hati.
“Kau ni gila ke, Fatini? Mengapa kau beriya-iya sangat nakkan aku terima cinta anak Pengarah mabuk tu? Bukan aku yang sepatutnya kejar dia, tapi kau tu!”
“Eh… Apa maksud kau, Arin?”
“Kau yang tergila-gilakan dia selama ini, bukan?! Apa, kau dah lupa ke aku ni tunangan orang?”
“Tunangan orang? Tunang pada lelaki yang kau sendiri tak cinta? Pada lelaki buaya seperti Johan itu?!”
Aku terdiam. Fatini mendengus. “Dulu, aku memang ada hati pada Rizz. Tapi, nak buat macam mana kalau dia tergila-gilakan kau? Sebagai kawan, aku rela korbankan cintaku…”
“Gila kau! Aku tak cintakan dia! Jangan paksa aku!”
“Tapi dia cintakan kau, Arin.”
“Apa buktinya? Kalau dia lelaki sejati, cakaplah sendiri depan mata aku. Bukan melalui perantaraan!”
***
“Sekarang aku datang berdepan dengan mu. Aku ingin buktikan bahawa aku memang lelaki sejati. Lelaki sejati yang mendambakan sekeping hati seorang gadis milikmu…”
Aku diam. Mataku berpaling ke arah lain. Sikap dan tingkah laku Rizz berubah sama sekali. Kata-katanya juga. Makin meruntun perasaan. Makin romantik! Ah, sukarnya meramal dirimu, wahai anak Pengarah!
“Aku pernah jatuh cinta sebelum ini… tapi semuanya berpaksikan material semata-mata. Kerana harta… kerana rupa… Tapi, Rina… sejak bertemu mu, aku dapat rasakan… aku dah temui cinta sejati yang aku cari-cari selama ini…”
Aku tersenyum sinis. Bagai hendak ketawa aku mendengarnya. Terasa amat lucu bunyinya. Inilah kali pertama orang memanggil aku ‘Rina’. “Encik Rizz. Saya dah banyak kali dengar yang lelaki seperti awak ni playboy. Awak loaded. Perempuan mana yang tak masuk dalam perangkap awak? But, don’t be mistaken! I am not the one…”
“Itu dulu. Ya, aku mengaku. Sekarang… tidak lagi… Kerana kau telah mengubah definisi cinta ku kepada cinta yang sebenarnya…”
“Awak memang pandai berkata-kata, Encik Rizz! Maklumlah, bakal peguam!”
“Percayalah pada ku, Rina. Aku memang cintakan mu dengan seikhlasnya. Kalau aku tak dapat secara baik, aku akan dapatkan secara paksa!”
“Eh, awak ugut saya ke? Apa hak awak nak paksa saya?!”
“Bukan mengugut, tapi itulah kenyataannya! Aku tak akan berganjak selagi apa yang dihajati tidak menjadi kenyataan!”
“Nonsense!” Aku cuba hendak beredar. Bagiku kata-kata Rizz itu hanya merapu. Waima ada rasa terkejut dan tidak disangka, perasaan benciku padanya masih utuh dan teguh. Seteguh Gunung Kinabalu.
“Rina, percaya padaku!” Tanpa dijangka, Rizz merentap tanganku. Aku menepis. Pegangan itu terlepas.
“Rina… aku cintakan kau…”
“Encik Rizz, kalau awak benar-benar cintakan saya, datang ke rumah saya secara beradat. Masa tu, baru awak dapat tahu sama ada saya terima cinta awak, atau tidak!”
Aku meninggalkan Rizz dengan setitik air mata yang jatuh ke pipiku. Entahlah, aku tiba-tiba rasa terharu. Seumur hidupku, inilah kali pertama seorang lelaki berani meluahkan cintanya. Malangnya, lelaki itu adalah Rizz!
Baru saja aku hendak membuka daun pintu Lexus merah metalik milikku, sesuatu yang amat menyengat baunya menekup pernafasanku. Aku meronta dan menjerit. Seketika pandangan ku kelam. Aku tidak sedar apa-apa lagi selepas itu.
***
Mataku samar-samar menangkap bayang tubuh yang sedang membelakangiku. Seorang lelaki. Aku diculik? Tidak! Perasaan takut menyelinap ke seluruh urat sarafku. Ya Allah! Selamatkanlah hamba-Mu ini…
“Hei, kenapa kau bawa aku ke mari, hah? Mentang-mentanglah aku tak terima cinta kau… tak pernah penuhi permintaan kau untuk keluar lunch atau dinner… cara kotor ini yang kau buat pulak?!” Rasa hormatku sudah tidak ada lagi. Hilang serta merta. Aku yakin, Rizz yang punya angkara!
“Percayalah pada ku, Rina. Aku memang cintakan mu dengan seikhlasnya. Kalau aku tak dapat secara baik, aku akan dapatkan secara paksa!”
“Eh, awak ugut saya ke? Apa hak awak nak paksa saya?!”
“Bukan mengugut, tapi itulah kenyataannya! Aku tak akan berganjak selagi apa yang dihajati tidak menjadi kenyataan!”
“Baguslah kau dah sedar, sayang! Hahahahahahah…”
Mendengarkan suara itu bulu romaku meremang.
“Selama ini… amat sukar untuk merebut hatimu. Kau terlalu jual mahal, sayang… Tapi, kalau dengan orang lain… kau layan! Siap hantar bunga berdozen-dozen lagi…”
“Cara ku lain, sayang… bukan dengan bunga aku memujuk mu. Aku akan membuatkan kau jatuh cinta padaku dan akan ingat aku sampai bila-bila. Ya, dengan caraku sendiri. Kerana aku mencintai mu sejak dahulu lagi, sayang! Sebelum si perampas berlagak itu muncul dalam hidupmu. Malah, sebelum si buaya tembaga yang satu lagi itu bergelar tunangan mu!”
“Kau…” Bibirku ditutupnya segera dengan jarinya sebelum sempat ayat ku habiskan.
“Aku tahu kau cam aku… kan? Hahahahah… baguslah, sayang… aku akan buka topeng ini sekarang juga…”
Aku terkejut. Tidak percaya.
“Aku tidak mahukan apa-apa dari kau, sayang, kecuali satu. Selepas aku dapat yang satu itu, aku akan segera pulangkan kau ke pangkuan Datuk Jamaluddin dan Datin Rosmaria. Hahahahah…”
Aku meronta sepenuh tenaga berjuang mempertahankan diri. Namun, apalah dayaku. Aku hanya seorang wanita yang lemah. Dunia ku rasakan kian kelam dan gelap. Kolam mataku banjir air mata. Tuhan, aku tidak berdaya lagi!
***
Ketukan pintu kamar tidak ku peduli. Aku tidak peduli sesiapa lagi. Walau sesiapa. Sesiapa pun!
“Arin… Fatini datang… Rizz juga ada…”
Aku menekup muka menahan malu yang metah dan tangis yang hendak meletus ke kerongkongku. Mama mengusapi wajahku. Mengucupi dahiku penuh kasih sayang. Aku malu menatap wajah Rizz. Aku perempuan yang telah ternoda. Tuhan, mengapalah nasibku semalang ini!
“Maafkan Joe, uncle, auntie. Joe tak dapat terima hakikat that she’s not virgin anymore! Joe tahu, bukan salah Arin… tapi, Joe terpaksa putuskan pertunangan ini demi masa depan Joe…”
Kata-kata itu bagaikan satu tamparan yang mega hebat ke pipi ku. Bukan aku kecewa dan patah hati kerana Johan bertindak memutuskan pertunangan kami. Tapi kerana diriku sudah tidak suci lagi! Hinanya aku…
“Kalau Johan tidak sanggup, izinkan saya mengambil Adrina sebagai isteri. Saya rela menerima dirinya walapun selepas peristiwa hitam itu… Saya akan menjaganya sampai akhir hayat saya…”
Aku jatuh pengsan mendengarnya. Bila aku terjaga, Rizz masih sabar menunggu di ruang tamu bersama papa. Aku menitiskan air mata untuk yang ke sekian kalinya tatkala Rizz mengucupi dahiku. Semuanya ibarat mimpi indah. Kilau cincin permata di jari manisku memancar terang, seolah-olah ingin menyatakan padaku begitulah cinta Rizz terhadapku. Cinta yang setulusnya. Cinta yang seikhlasnya.
Pagi esoknya kami ke pusara seorang teman yang menjadi mangsa kemalangan ngeri jalan raya. Mungkin juga itu balasan Tuhan atas perbuatan kejamnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Walaupun kau telah merampas yang bukan hakmu, kau tetap kudoakan mendapatkan keampunan dari-Nya, Shahrul! Amin…
Abang sudah mengerti sebab aku datang berjumpanya tergesa-gesa petang itu. Nasib baik abang sudah selesai membuat kerja sekolah. Aku terus duduk di sampingnya selepas dia mempersilakan aku masuk. Bilik abang tetap kemas. Tersusun. Teratur. Cuma mejanya berselerak. Buku-buku telah lari dari rak masing-masing. Gumpal-gumpal kertas juga banyak. Sisa-sisa pensil diraut turut masuk senarai. Kotornya meja abang!
“Bolehlah bang… tolong Balkis, kali ni aje. Tapi, kan… lain kali bolehlah minta tolong abang lagi. Heheheh….”
“Nampaknya abang ni asyik kena tolong Balkis ajelah seumur hidup ye? Amboi-amboi…!” Hidungku dicuitnya. Gamat suasana seketika. Akhirnya, abang mengangkat ikrar akan menolongku. Sebelum aku keluar bilik, aku sempat mengemas meja abang yang berselerak. Sebagai tanda terima kasih sebenarnya!
***
Saat yang dinanti telah jelma. Sebelum senja, aku dan abang sudah terpacak di pondok usang tempat Karl dan gengnya melepak. Aku bermonolog sendiri. Biasanya, budak seekor bermata kuyu itu sering melepak di sini dengan kunco-kunconya. Di sinilah juga dia mencurahkan isi hati dan perasaannya terhadapku sambil disaksikan oleh semua sekutunya. Bahkan bangku buruk, pokok rambutan tua dan pondok usang ini juga turut sama menyaksikan cerekarama itu. Mukaku entah, semerah warna darah barangkali ketika itu! Manakan tidak, semua yang ada di situ melihat dan mendengar dengan jelas dan terang ayat dan kalimah yang terluah dari bibir nipis Karl itu!
“Saya suka kat awak, Balkis. Dah lama saya asyik perhatikan awak. Dari dulu-dulu lagi!”
“Gila! Mana awak kenal saya sebelum ni? Saya pun tak pernah nampak awak!”
“Saya gila sebab awaklah, Balkis. Tolonglah… terimalah cinta saya ini..”
“Cis! Ingat saya ni apa? Senang-senang je nak terima cinta awak! Eh, excuse me… Mana awak tahu nama saya?”
“Itu… rahsia!”
“Woi, bebeh! Mana budak tu? Tak nampak-nampak pun!”
Lamunanku yang kejap tadi hilang bercemperana. Abang tanya aku ke?
“Alamak, kejap lagilah bang! Hari ini agaknya diorang lambat sikit. Kita jalan-jalanlah dulu…”
Abang aku cuma mengangguk. Begitulah dia. Sikapnya yang tidak banyak karenah itu membuatkan aku amat sayang padanya. Tambahan pula, hanya dia saudara sedarah dan sedagingku di dunia ini. Aku tak punyai kakak dan adik. Dan dia pula, hanya ada aku sebagai adik. Tiba-tiba telinga ini menangkap bunyi batuk-batuk kecil serta deheman yang memang dibuat-buat. Bersama batuk-batuk dan deheman itu, selang seli bunyi petikan gitar yang merdu dari jemari kiri Karl. Semua bunyi-bunyian itu datang dari arah belakang kami. Aku mengangkat kening ke arah abangku. Dia faham. Lantas, kami berjalan seiringan sambil berpegangan tangan.
“Aik, baru semalam kena tackle, hari ni dah dapat balak lain? Melepaslah kau nampaknya, Karl…” Pijol yang kulitnya gelap ala mamak itu tersenyum kambing ke arahku. Masing-masing menilik abang aku dari atas, ke bawah. Macam nampak hantu lagaknya. Karl tenang sahaja. Mereka terus mengambil tempat di pondok usang dekat simpang tiga itu.
“Cakap baik-baik sikit, Pijol. Ini bukan sapa-sapa. Ini tunang saya, faham?!” Aku menegaskan dengan bangga.
“Tunang?!” Semua mereka berkata serentak.
Peliknya! Karl masih buat selamba. Terus memetik-metik gitarnya.
“Ooo… koranglah yang selalu kacau tunang saya ya? Sapa yang samseng sangat tu, berani kacau tunang saya ni?” Abang berlakon dengan hebat. Rasa lucu di sudut hati aku matikan. Aku ketepikan. Balik ke rumah, lain cerita.
“Saya. Mengapa?” Karl menjawab, berani tetapi masih tenang sambil memetik gitarnya. Sesekali, matanya memandang aku dan abang, silih berganti.
“Ohooo…. Awak! Tak ada perempuan lain lagi ke awak nak ngurat, emm? Balkis tunang saya… Kalau nak, carilah perempuan lain!”
“Perempuan lain?” Karl tersenyum sinis, tiba-tiba. “Sudahlah, brother! Selagi Balkis belum diisyhtiarkan jadi isteri awak, saya ada hak. Orang lain pun ada hak!”
Aku dan abang berpandangan. Telingaku berdesing. Geram. Berani sungguh mulutnya itu berkata sedemikian. Celupar sangat. Dia belum kenal siapa abang aku!
“Berani awak! Saya kerjakan awak nanti kalau ada apa-apa terjadi pada Balkis. Jaga awak!” Abang menggamit tanganku pergi. Aku sempat berpaling. Karl senyum. Dia kenyit mata. Hah?! Malunya aku! Kurang asam!
***
Seminggu berlalu. Aku tidak melihat kelibat Karl lagi di pondok usang itu. Ke mana dia? Kawan-kawannya- Pijol, Amat, Akin dan Lan saja yang masih setia terpacak di situ. Seperti dulu juga, setiap kali aku lalu di situ mereka akan mengusik aku. Tapi sekarang, aku tidak memperdulikan lagi usikan mereka. Aku diamkan saja. Hati bagai digamit-gamit, ditarik-tarik hendak bertanyakan Karl. Namun, malu mengatasi segalanya. Aku pendamkan saja nawaitu ku itu.
Hari ini aku berkemas hendak ke kolej. Abang menghantarku hingga ke pintu pagar kolej. Besok, Isnin. Bermulalah Minggu Pendaftaran bagi IPT ini. Hati ini berdebar-debar.
Esoknya, aku ke dewan dengan hati yang masih berdebar sakan. Sudah agak ramai freshie yang datang menunggu giliran. Aku mengambil nombor. Tempat dudukku paling hujung, berdekatan kaunter Kewangan. Lama juga menanti nomborku dipanggil. Macam banduan pula! Aku atasi kebosanan dengan menghantar sms kepada abang. Aku tergelak, tersenyum sendiri macam orang bodoh. Lucu benar sms yang abang kirimkan!
“Nombor 177!”
Tiga kali nombor itu disebut, barulah aku angkat punggung. Sengaja. Aku ke meja pertama, khas untuk pendaftaran. Masamnya muka kakak senior itu.
“Hai, sampai tiga kali kena panggil baru muncul ye? Dah berapa kurun tak korek lombong tu?” Kakak senior itu tersenyum sinis. Aku membalas dengan senyuman pahit cuma.
Kakak senior itu menanyaku macam-macam. “Dulu SPM dapat berapa? PMR?”
Sabar ajelah aku. “Kat dalam fail ni ada semua. SPM, PMR UPSR, tadika pun ada….” Aku menyuakan fail hijauku kepadanya dengan geram yang amat. Dia sedikit tersentak. Padan muka! Hampir lima belas minit berlalu, barulah aku dilepaskan.
“Terus ke meja kewangan. Bayar yuran!” Ujarnya, sambil tersenyum.
Meluat aku. Aku hampiri meja kewangan yang dari tadi aku duduk berjiran itu.
“Nombor matrik?”
“4690.”
“Nama?”
“Amiera Balkis Mohammed Iskandar.”
Senyap sejenak. “Aik, datang seorang saja ke? Mana tunang awak?”
“Tunang?!” Aku angkat muka. Pandang betul-betul. Tiba-tiba aku hampir nak pengsan!
***
Abang hanya ketawa besar-besar mendengar aduanku di telefon malam itu. “Oh, ya! Minggu depan balik tak? Temankan abang ke majlis kahwin kakak salah sorang kawan abang, boleh?”
“Tengok dululah kalau tak sibuk.”
Aku meletakkan gagang setelah berkirim salam dengan papa dan mama serta mengucapkan salam. Rasa lapang dan lega di hati. Aku risau sungguh. Semenjak bertemu Karl di sini, wajahnya sering terbayang di ruang mataku. Entahlah! Kalau aku bagitahu abang, mesti dia juga gelak besar!
***
Minggu Orientasi dilalui dengan cekal dan tabah. Seminggu kami diberi cuti selepas MO. Aku pulang ke rumah. Janji abang hendak membawa aku ke majlis kahwin salah seorang kakak kawan abang. Kawan-kawan abang yang aku kenal cuma Jali, Adam, Farhan, dan ramai lagi. Itu yang memang selalu datang ke rumah mencari abang.
“Mengapa nak balik rumah? Cuti cuma seminggu… Bukannya sebulan, dua…”
“Suka hatilah!” cebikku, menyampah. Karl tersenyum saja. Akupun tidak tahu dan tidak faham. Mengapa dia turut menyibuk di sin i- di perhentian bas ini. Namun, jauh di sudut hatiku…
“Balkis, ada seorang senior, kawan saya… minat kat awak. Katanya, awak cute macam anak patung. Tapi, saya kata kat dia, Balkis tu garang macam singa… Baik tak payah la…”
Spontan, aku menampar lengannya. Geram. Meletus tawanya. Sudah pandai bergurau dengan aku nampaknya! “Kejap lagi tunang saya sampai. Jaga awak…”
“Tunang konon…” Karl senyum mengejek.
“Mestilah! Ingat saya main-main ke?”
“Yalah tu! Tunang awak… Kenapa tak cakap, suami awak?”
“Awak?!!!” Sekali lagi lengannya menjadi sasaran.
***
Walaupun abang membawa aku sama ke majlis perkahwinan itu, aku turut mengajak sahabat karibku pergi. Aku tidak biasa bergaul dengan orang ramai yang amat asing bagiku. Biarlah ada Farah. Boleh juga aku berloyar buruk kalau abang aku kena ‘pinjam’ oleh kawan-kawannya. Kalau ada apa-apa terjadi kelak, Farah ada.
“Ops, Balkis! Kawan abang nak kenal ngan Balkis. Lama dah dia nak kenalan dengan adik abang yang sorang ni…”
“Sapa, bang? Tak pernah tahu pun!”
“Alaa… dulu pernah abang cakap, ingat tak? Kawan abang yang menulis dengan tangan kidal tu. Kalau dia menyanyi, suara dia merdu. Ali XPDC pun tabik!”
“He’elleh!” Sejurus, aku mula teringat akan kebenaran kata-kata abang itu. Memang ada abang bercerita dulu. Tapi, dah lama. Akupun ingat-ingat lupa. Aku dengan Farah masih rancak berbual. Tidak sedar, abang menghampiri kami dengan lima orang kawannya dan salah seorang daripada mereka bercermin mata. Eh?!
Menikmati senyum mentari dari celah-celah batu angin di dalam ruang sempit itu sudah cukup membahagiakan aku. Biar tidak lagi berpeluang menatap senyuman sang suria dan menikmati kesegaran bening pagi, aku tetap bersyukur. Aku puas kerana dapat menikmati erti bebas. Memang pada pandangan dasarnya aku terkurung dan tersisih dari dunia luar namun pada hakikatnya aku bebas sebebasnya.
Kamar sempit dan suram ini ibarat syurga buatku. Tembok tinggi dan jeriji-jeriji besi yang menggerunkan pandangan mata bagaikan sudah sebati dengan jiwaku. Tidak pernah ada kalimah kesal dalam kamus hidupku meskipun terpaksa menghabiskan sisa usia ini di dalam dunia serba terkongkong. Aku benar-benar mengecapi erti kedamaian yang selama ini kudambakan. Biar apa orang kata, persetan kepada mereka........... aku tidak peduli. Yang penting hatiku puas, ya puas sekali. Walau dituduh perempuan kejam, aku terima. Biarpun dikata sadis, juga aku rela. Segunung cacian, selaut makian atau selangit kutukan pun sanggup aku kendong, aku redha atas ketentuan itu. Bagiku, apapun umpat keji dan tuduhan umat Adam terhadapku, semuanya tidak penting. Yang merasa, yang menanggung, yang merintih dan menggalas segala beban keperitan itu adalah diriku sendiri. Tika aku memerlukan perlindungan, tiada siapa yang menghiraukan. Aku terkial-kial sendiri menongkah onak dan duri mencari jalan keluar sendiri. Masyarakat hanya tahu menuding jari bila aku melakukan kesalahan, pun tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya tersirat di sebalik tembok kehidupanku selama ini.
Perlahan-lahan aku bangkit, berkeriut bunyi katil besi yang sudah separa usang itu. Kuhayunkan kedua belah tangan ke depan dan ke belakang berulang kali. Matanku terhenti pada parut-parut luka yang menghiasi kedua belah lengan yang terdedah. Tiba-tiba hati ini dipagut pilu, jiwaku bagai disayat sembilu. Waima senakal manapun semasa kecil dahulu, tidak pernah sekalipun aku menerima tanda-tanda seperti itu sebagai hukuman. Tidak menduga tidak menyangka, lafaz ijab dan kabul yang penuh keramat itu adalah permulaan sumpah jahanam kehidupanku. Kaca-kaca jernih mula bergenang di tubir mata....... biar rasa terkilan, pun tiada maknanya ketika ini.
Kuhenyakkan semula punggung di birai katil. Terasa ada gerakan-gerakan kecil dari dalam perutku. Pantas tanganku mengurut lembut perut yang semakin memboyot.
"Sudah suratan nasibmu begini nak. Maafkan mama...." bisikku sendiri.
Pipiku sudah dicemari air jernih yang turun semakin laju. Terlepas juga esak yang terhenti-henti dari kedua belah bibirku yang kering merekah. Argh!! Aku tidak akan menyerah kalah begitu mudah. Aku harus kuat dan berani menghadapi hari-hari yang bakal mendatang biarpun ia tidak menjanjikan apa-apa. Demi anak yang bakal lahir ini, aku perlu terus mempertahankan hak yang telah lama dirampas dan dipijak oleh seorang lelaki bergelar suami. Mungkin orang tidak percaya yang segala bekas luka dan parut ditubuh ini adalah hasil tangan Shakir. Tapi itulah kenyataannya.
Tiga tahun aku terseksa, selama itu aku merana..... memang bukan jangkamasa yang pendek. Sepanjang itulah aku menerima apa saja buah tangan dari lelaki durjana bernama Ahmad Shakir, lelaki yang tidak layak menjawat gelaran suci seorang "suami". Kerana ketaksuban abah kepada pangkat dan harta kekayaan Syakir, aku menjadi mangsa. Abah khayal diulit timbunan duit dan kesenangan yang dicurahkan Syakir hingga sanggup menutup mata, hati dan fikirannya dari menilai peribadi sebenar Syakir. Bukan abah tidak tahu siapa Ahmad Syakir Bin Dato Jamaludin, kaki perempuan, kaki botol dan entah kaki-kaki apa lagi. Bagi abah wang dan kekayaan adalah segala-galanya hingga sanggup menukar ganti dengan satu-satunya zuriat keturunannya. Bukan aku tidak mahu melawan. Tapi aku tidak sanggup bergelar anak derhaka sedangkan tiada lagi payung kasihku di dunia ini selain abah. Aku tidak tegar untuk menolak kemahuan abah meskipun hati ini remuk tidak terkira. Menerima jodoh yang di atur abah bermakna aku mengecewakan dua jiwa. Tapi apalah dayaku.........
**********************************
"Abah dah terima pinangan dari Dato Jamal. Abah dah suruh mak long buat persiapan apa yang patut," keras bicara abah pada suatu petang sekembalinya aku dari kerja.
Belum lagi kering peluh yang merecik di dahi ini, kata-kata abah bagaikan halilintar menyambar tangkai jantungku.
"Kenapa abah buat keputusan terburu-buru? Kenapa abah tak tanya Rin dulu...?" soalku agak kecewa.
"Sejak bila pula abah perlu minta izin dari kau. Apa yang kau nak tunggu lagi...? Nak harap pada budak Hisyam tu, jangan mimpilah!! Nak beli alas kaki aku pun tak cukup!" jerkah abah dengan mata membuntang.
"Kenapa abah nak hina Hisyam? Walaupun dia miskin, tapi dia lebih baik dari anak Dato Jamal tu. Rin tak mahu suami seperti Syakir tu abah, tolonglah....." aku merayu lagi.
"Apa yang engkau gila sangat pada si Hisyam tu hah? Apa yang dia boleh beri pada kau? Satu habuk pun tak de. Raziz lebih kaya, engkau tak perlu bersusah payah kerja bila dah kahwin nanti. Semuanya cukup. Aku pun boleh menumpang senang." Abah menegakkan pendapatnya.
"Kaya saja tak cukup abah....."
Belum sempat aku meneruskan kata-kata, satu tamparan kuat hinggap di pipi kirinya. Cecair pekat merah keluar dari celah bibir.
"Engkau jangan nak tunjuk pandai dengan aku. Aku mahu engkau kahwin dengan Raziz, noktah. Kalau aku tau kau berhubung lagi dengan budak Hisyam keparat tu, nahas aku kerjakan kau dua orang!!" jerit abah sambil menumbuk meja.
Aku terus lari ke biliknya. Dadanya benar-benar sesak. Fikirannya sarat dengan pelbagai kemungkinan. Airmatanya berhamburan mengenangkan sikap abah yang tidak berhati perut. Ya Allah, berilah aku petunjuk agar bisa menghadapi dugaanmu ini.
"Maafkan aku, Syam..."
**********************************
Di awal perkahwinan, Syakir menunjukkan kebaikannya. Ahmad Syakir Dato Jamaludin seolah-olah baru dilahirkan ke dunia. Dia romantik, berbudi bahasa dan lembut melayanku. Biar hati ini hancur, aku cuba untuk menerima Syakir seadanya. Aku pasrah pada takdir jodohnya. Pun, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Perubahan Syakir tidak lama, masuk bulan ketiga segalanya bertukar wajah. Syakir mula liar semula, acapkali pulang lewat malam beserta mulut berbau arak dan bekas gincu beraneka warna melekap di baju. Pantang ditanya, maka penampar dan terajang menjadi jawapannya. Lantas kubiarkan saja Syakir menari bersama alunan muzik hidupnya. Kesepian dan kekosongan semakin menggigit mencengkam jiwaku. Aku terkurung di dalam sangkar emas yang penuh dengan kesakitan. Setelah sekian lama menanti, aku disahkan mengandung. Tentunya ia satu rahmat kurniaan yang tidak ternilai bagiku, pun bukan bagi Syakir. Dia tidak mahu menerima benih yang semakin membesar di dalam rahimku. Dia mahu aku menggugurkan kandungan ini dengan alasan dia masih terlalu muda untuk bergelar ayah. Aahh!! Suami apa itu?? Setelah kemanisannya engkau teguk, tapi hasilnya mahu kau buang bagai barang tidak berharga! Aku benar-benar buntu dan hilang punca. Pun kubulatkan tekad biar apapun yang terjadi, anak ini berhak untuk hidup meskipun tanpa seorang ayah. Kerana kedegilan itu, bermulalah episod-episod sedih dalam hidupku. Hari-hari yang kulalui dihidangkan dengan kata cerca, dibelai dengan tampar terajang Syakir, dilayan bagai perempuan jalang layaknya. Kerana tidak tertahan lagi dek perbuatan Syakir, aku melarikan diri ke rumah abah. Namun kepulanganku kerumah abah disambut dengan sumpah seranah dan maki hamun. Kata abah aku hanya memalukan keluarga dan keturunannya.
Fitnah dan hasutan Syakir memenuhi ruang minda abah hingga tidak dapat membezakan mana yang salah dan mana yang benar. Aku dipaksa kembali semula ke rumah neraka itu. Semakin galaklah perlakuan ganas Syakir terhadapku. Aku seolah-olah boneka yang dijadikan tempat melepaskan geram dan marahnya yang tidak bertepi. Pun kesabaranku ada batasnya. Hinggalah pada suatu malam, Syakir yang seperti dirasuk syaitan membelasahku hanya kerana ada orang menyampaikan padanya aku menjalinkan hubungan dengan Hisyam. Memang aku akui ada bertemu dengan Hisyam tetapi itupun secara kebetulan kerana Hisyam bertugas di hospital tempat aku menjalani pemeriksaan kandungan. Sungguh mati aku tidak tahu Hisyam bertugas di situ. Syakir menendang-nendang perutku sambil menjerit-jerit mengatakan bahawa anak itu adalah hasil mukahku bersama Hisyam.
Astaghfirullah...... sehingga begitu sekali hinanya aku di mata Syakir? Entah dari mana kekuatan untuk melawan itu datang, aku sendiri tidak pasti. Sekelip mata gunting di atas meja berada di dalam genggaman. Dan tanpa sedar, perut Syakir bocor kutusuk dengan gunting berulang kali. Bukan niatku untuk bertindak demikian namun Syakir yang sengaja mengocak kolam kesabaranku yang sudak sekian lama pecah melimpah. Tiada setitis pun airmataku yang tumpah tatkala melihat Syakir meraung kesakitan. Usah kata ketakutan hatta simpatipun tidak terbit dari perasaanku. Tuhan maha berkuasa..... umur Syakir masih panjang. Tapi dia lumpuh separuh badan, pergerakannya terpaksa bergantung kepada kerusi roda. Dan aku di sini mejalani hukuman duniawi. Pun aku bersyukur ke hadrat Allah kerana dikurniakan kudrat mempertahankan hakku yang satu ini......
Sekiranya ku mendapat pengganti Ku harapkan insan sepertimu oh kasih Banyak menbantu dan mendorongku Menjadi hamba yang taat kepadaNYA
Gemersik alunan lagu ‘Inspirasi hati‘ nyanyian nasyid ‘DeHearty‘ yang berkumandang sayup di corong radio mencoretkan satu bingkisan memori lalu. Faizal berpaling dari meja komputer dan menghampiri sudut rak buku berhampiran. ‘Rahmat Disebalik Dugaan‘ Spontan, satu naskhah buku motivasi agama ditarik dan diselak satu-persatu muka halaman. Membaca seimbas. Dia tersenyum hambar dan merenung syiling dengan pandangan kosong. "Julia.." Bibirnya bergerak perlahan melafazkan kalimah nama itu lantas mengutus ingatan padanya. Faizal redha!
"Dia tak mahu makan ubat. Dah puas kami nasihatkan.."Julia meletakkan rekod kesihatan yang ditanda lalu mengalihkan pandangan pada lelaki dihadapannya. "Biarlah Lili, tinggalkan saja bekas tu atas meja.."arah Julia. Selepas pemeriksaan darah dan nadi dilakukan, jururawat itu beredar meninggalkan bilik wad itu. "Mana doktor Azim?" Julia sedikit tersentak.Buku laporan yang memuatkan lampiran pengesahan pakar dan dialisis perubatan ditutup kemas. "Saya akan gantikan tempatnya sementara waktu.." "Kenapa?" "Dia ke Kanada hadiri kursus perubatan selama dua bulan.." Faizal memberikan reaksi bersahaja sambil membuang pandang ke arah jendela.Langsung tidak menghiraukan sesiapa biarpun doktor atau jururawat yang memeriksa. Lawatan keluarga juga diendahkan sekadar tidak acuh. "Doktor..?" Kata-katanya terhenti disitu. "Panggil saja saya Julia. Lagipun semua nurse kat sini panggil saya dengan nama biasa saja. Oklah, awak rehat dulu.." Pintu wad dikuak perlahan dan pandangan Faizal menyusuli langkah doktor muda itu berlalu.
------
"Faizal.. tak baik ikutkan perasaan. Kalau awak tak mahu makan ubat pun, jamahlah sikit makanan. Kalau berterusan begini, macam mana nak sembuh..." Hampa. Faizal terus diam seribu bahasa. Nasihat doktor Julia dipandang sepi tanpa memberikan respon. Sekejap tubuhnya beralih kekiri, seketika merubah posisi kekanan pula. Pasti tidak selesa terkurung di hospital. Sejak menghidap penyakit Leukemia yang dikesan baru-baru ini, hidup Faizal terpenjara. Tambah derita saat mendapat tahu keadaan kesihatannya kian kritikal dan tiada tanda-tanda positif untuk pulih. Rawatan demi rawatan berjadual seperti kebiasaan di Hospital Kuala Lumpur, tapi jiwanya sudah mati untuk menyambung hayat yang menghampiri penghujung usia. Argh..mengapa begitu mendadak suratan yang menimpa? Faizal meraup mukanya yang semakin cengkung ekoran kesan ubat dan rawatan kemoterapi bersilih-ganti dengan terapi radiasi yang dijalani. "Dan dari penelitian kami, peluang untuk sembuh mungkin tipis.."Jelas. Pengakuan doktor Azim dua minggu lalu umpama meragut dengupan jantungnya yang hampir terhenti berfungsi. "Dia cakap kat awak macam tu?"soal Julia suatu hari. Faizal mengangguk lemah dan menghela nafas perlahan. Buat pertama kalinya, dia berterus-terang meluahkan perasaan dan dilema yang terbuku dalam hati. Entah! Mungkin keterbukaan Julia merawat pesakit bukan setakat dari sudut luaran malah berinteraksi secara psikologi membuatkan Faizal makin selesa. Setiap hari, tak putus kata-kata motivasi yang dititipkan dan hanya itulah penawar bagi Faizal untuk memulihkan semangat hidupnya yang menjelang pudar. "Takpe, nanti kalau saya jumpa doktor Azim, saya akan marahkan dia sebab cakap awak cam tu!" Sekadar mengusik, Julia menuntaskan lalu disambut jelingan tajam dari hujung mata Faizal. Tak lama itu, lelaki itu tergelak kecil. "Oo..awak ingat saya budak-budak ya?" "Ha, macam ni kan elok! Ceria saja.. Dahlah tu, jangan difikirkan sangat. Paling penting awak ikut prosedur dan rehat yang cukup. Insya ALLAH, segalanya akan berjalan lancar. Bawa banyak bersabar dan berdoa ya.."nasihat Julia sambil melakukan pemeriksaan. Mak Cik Zainab hanya memerhati gerak-geri doktor yang merawati anak lelakinya. Di kesempatan itu, Faizal tak lepas memandang raut wajah gadis yang begitu tenang menjalankan tugas. Jururawat yang mengiringi sekadar membantu apa yang perlu. Dengan bersarung tangan, Julia menyuntik cecair antibiotik dilengan Faizal dan mengambil sampel darah dengan berhati-hati. Alat Steteskop kemudian ditekap didada Faizal sambil menundukkan perhatian pada jam tangan dilengannya.Sejurus Mak Cik Zainab beredar ke surau menunaikan solat Zohor, doktor Julia masih tak berganjak di wad itu. "Julia.." Perlahan Faizal bersuara namun nadanya cukup jelas kedengaran ditelinga. Julia terkesima. Buat pertama kali namanya diseru lelaki ini. "Maafkan saya..."Tergantung disitu kata-kata yang terzahir. Julia mengangkat kening tidak mengerti maksud Faizal. Bangku disebelah dirapatkan menghampiri katil dan Julia melabuhkan pinggul diatasnya. Satu-persatu episod cerita lalu diluahkan. "Hei, doktor tak nampak ke keadaan saya macam mana.. Dah lah bercucuk wayar sini sana, nak suruh solat pulak?.." Pernah Faizal membentak kasar sewaktu Julia bertanya tentang sembahyang. "Err..kalau nakkan baju persalinan, nanti saya minta jururawat sediakan.."Dalam kegugupan, Julia menegur sambil memandang baju Faizal yang kelihatan sedikit kotor dicemari tompokan darah. "Tak payah! Please..kalau dah abis kerja, boleh tak tolong keluar!" Malas ambil peduli, Faizal lantas menghenyak kasar tubuh atas bantal. Sememang, sikap moody dan panas barannya menyebabkan segelintir jururawat tak acuh melayan. Menyedari hal itu, Julia rajin meluangkan kelapangan masa untuk meredakan tegangan emosi yang dihadapi. "Maaf, kalau dulu saya selalu berkelakuan kasar.." Tersentak Julia dari lamunan dan menoleh Faizal yang sugul disisinya. Dia tersenyum mesra dan bingkas bangun tatkala menyedari terlalu lama menemani. "Oh ya, pemindahan transplant sum-sum tulang akan dijalankan dalam bulan depan dan doktor Shamsul akan ketuai pembedahan nanti.." Faizal mengangguk dan sedia maklum ibunya bakal menjadi penderma. Sungguh kasih ibu membawa ke syurga. Sepi, Faizal berdialog dalam hati dan mula insaf kerana terlalu cepat berputus harap. "Awak rasa pembedahan akan berjaya tak?" "Insya ALLAH.. bertawakal banyak-banyak. Minta supaya ALLAH mudahkan segalanya.."ujar Julia sebelum melangkah keluar. Baru beberapa saat menapak, Julia berpusing kembali. Renungan mereka bersatu. "Faizal, minggu depan saya ambik cuti sampai hari pembedahan awak nanti. Jadi, jika tak berkesempatan berjumpa, saya minta maaf banyak-banyak kalau ada perkara yang menyinggung perasaan awak sepanjang ini..." Tersenyum manis, Julia menuturkan. Terasa kelainan dari nada suara yang dilafazkan. Faizal terkedu sejenak. "Kenapa cuti?" "Aaa..sebab masalah peribadi. Tak apalah, nanti bila awak sembuh akan saya ceritakan.." Sejurus salam Julia dijawab dalam hati, Faizal merebahkan tubuhnya semula. Buku agama pemberian Julia yang terletak atas meja disisinya digapai lalu menyelak satu persatu halaman. Tumpuannya terfokus pada satu baris ayat yang tercetak. ‘...Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya, tiada yang berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir..‘ -Surah Yusuf ayat 12
----------
Selepas pembedahan, kesihatan Faizal beransur pulih dari semasa ke semasa.Dua bulan berikutnya, dia mula bekerja semula dan menjalani kehidupan seperti sediakala. Cuma kudratnya tidak segagah dulu dan masih perlu berulang-alik ke hospital setiap dua kali sebulan untuk pemeriksaan lanjut. Di samping itu, Faizal tak putus dari mengambil selingan ubat-ubatan yang dinasihatkan oleh pakar. "Faizal.." Renungan doktor Shamsul terpalit pada wajah pesakitnya yang sedari tadi leka mengelamun. Lengan baju kembali dilabuhkan setelah selesai diperiksa denyutan nadi. "Sham..err berapa lama doktor Julia cuti? Tak pernah-pernah aku nampak dia kat hospital sekarang.."soal Faizal. Pernah dia bertanya kepada seorang jururawat selepas hari pembedahan dulu dan diberitahu Julia menyambung cutinya lagi. Kenapa terlalu drastik! Dulu, Julia pernah berjanji untuk bertemu setelah pembedahan selesai namun hampa. Hari-hari yang ditunggu terus menyisih sepi tanpa khabar dari insan itu. "Sham.. doktor Julia masih kerja kat sini ke?"tanya Faizal lagi masih tidak puas hati. Kerjayanya yang terbengkalai hampir empat bulan menyebabkan Faizal ralit dengan kesibukan tugas lantas tak berkesempatan berhubung dengan pihak hospital. "Tak.." "Hah?" Shamsul menarik nafas dalam-dalam dan melepaskan desah nafasnya perlahan.Seminit kemudian dia bersuara. "Sepatutnya doktor Julia ada kat UK sekarang. Tapi, memandangkan kesihatannya makin tak stabil kebelakangan ni, terus ibunya bawa pulang ke kampung. Berehat kat sana.." Faizal mengerut dahi.Tidak difahami hujung pangkal cerita. "Kesihatan apa?" "Kau tak tahu, doktor Julia ada kanser otak?" Membulat mata Faizal seakan tidak percaya. Shamsul terus menjelaskan hal sebenar. "Dah dua tahun dia kena kanser. Pertengahan tahun lalu, dah dibedah sekali keluarkan tumor tu tapi awal tahun ni, ketumbuhan otak membiak balik..dan tarikh 12 Julai kemarin sepatutnya dia jalani pembedahan di England tapi tak jadi pergi.."doktor Shamsul menanggalkan cermin matanya dan mengelap guna sehelai sapu tangan. Dia menghela nafas kemudian lalu menunjukkan laporan perubatan doktor Julia pada Faizal. Astaghfirullah.. Faizal meraup muka sambil beristighfar. Tak tahu-menahu langsung Julia menderita sakit barah otak. "Petang ni, aku ingat nak pergi lawat dia. Kau ikut sekali ya?"pelawaan Shamsul dibalas anggukan lemah.
----------
Julia membuka mata perlahan. Terasa ubun-ubunnya disentuh lembut. "Mak.." Mak Som tersenyum tawar dan mengelus tangan Julia penuh kasih. Satu kucupan singgah disitu. "Tengok siapa datang sayang.."Lambat-lambat seorang lelaki menghampirinya dan duduk disisi katil bertentangan Mak Som. Terkebil-kebil Julia memandang. Sejak akhir-akhir ini penglihatannya seringkali kabur diikuti sakit kepala yang berulang-ulang. "Julia, Faizal ni..kenal tak?"Faizal merapati. Julia menghela nafas lemah dan mengangguk perlahan. Dengan mata cengkung dan terpelosok sedikit kedalam menzahirkan derita yang ditanggung. Shamsul dan Lili yang duduk disatu sudut bilik menahan sebak. "Faizal.."Julia mengamati jejaka yang berkemeja biru itu. Faizal tersenyum menyiakan tika namanya disebut. Tanpa menyedari, empangan matanya mula pecah berkaca-kaca. "Jaga.. diri baik-baik... Jaga..kesihatan.."Dengan tersekat-sekat, Julia melafazkan. Linangan air mata tak henti mengalir dari kelopak matanya melihat Faizal; pesakitnya yang kian pulih. Matanya dipejam rapat dan dibuka sesaat kemudian melahirkan rasa puas dan syukur kerana termakbul doanya yang selama ini disisipkan. "Boleh tak Faizal bacakan...."Nafas Julia seakan tak mampu meneruskan kata-kata lalu mengerdipkan kelopak matanya memandang Faizal disisi. Bagai menangkap maksud yang tidak terzahir, spontan Faizal bergegas ke bilik air mengambil wuduk. Tak lama beberapa minit berlalu, kedengaran sayup alunan Yasin dihening malam. Julia mengikut kalimah ayat yang terungkap dalam hati. Pautan tangan Mak Som terungkai perlahan-lahan dan sehembus nafas Syahadah, Julia mengakhiri hayatnya dipangkuan ibu dan disisi Faizal. ------------------
‘...Walau kita tiada sebarang ikatan, namun kita masih bersaudara dunia dan akhirat. Muhammad Faizal.., saya amat menyayangimu!‘ ikhlas, Julia.
Faizal menatap baris-baris ayat terakhir dan melipat kertas kajang itu kembali. Betapa teguhnya hatimu menyisipkan harapan dan kasih itu disaat-saat terakhir berpaut pada kudrat. Doktor Julia..kau inspirasi hatiku!
Bila sendirian fikiranku buntu Mengingati dirimu Dikau tiada lagi disisiku Hatiku sayu bertambah pilu
Kasih kau inspirasiku Kau mengajarku erti kehidupan ini Takkan ku lupakan nasihatmu Kerna ianya berguna untukku
Seringkali aku berdoa padaNYA Agar tabah menyusuri hidup ini YA ALLAH berilahku kekuatan Untuk tempuhi dugaan yang mencabar
Sekiranya ku mendapat penganti Ku harapkan insan sepertimu oh kasih Banyak membantu dan mendorongku Menjadi hamba yang taat kepadaNYA
Walau dirimu tiada lagi Namun hatiku tetap kepadamu Kenangan bersamamu subur mewangi Takkan luput dari ingatanku..
--------------------------------------------------------------------- -SEKIAN: ‘Inspirasi Hati‘ (adaptasi lagu nasyid DeHearty)-
Tersentak aku dari pembacaan. Aku menoleh ke sisi mencari sapaan suara yang menegurku. Haikal? Terasa melayang tubuhku saat memandang raut wajah lelaki itu. Belum pernah-pernah kami bersua berduaan seperti ini.
Selalunya, pertemuan kami hanya berselisih lalu di rumah Umi. Kini, tiada olakan angin siang atau ribut malam melanda. Mimpi apa pula agaknya dia menemui aku? Dengan seribu tanda tanya menerjah fikiran, aku mengangkat kening seumpama tidak memahami tujuan Haikal hadir ke perpustakaan UM tengah hari ini.
Spontan, sebuah diari biru dihulurkan kepadaku. Astaghfirullah.. Istighfar aku dalam keharuan menghujani kalbu perasaan. Alpa melayani tingkah diri. Bagaimana diari itu boleh tercicir di rumah Umi? Setahu aku, selepas pengajian Al-Quran petang semalam, segala buku-buku telahpun selamat dimasukkan dalam beg kuliah.
Sungguh, diari itu banyak mencoretkan serba satu kisah perjalanan hidupku. Disebalik itu, nama Haikal turut terukir di segenap helaian kertas putih tanpa diketahui pemilik tuannya. Muhammad Haikal Aiman bin Muhammad Hairil. Nama indah seindah nur iman bercahaya diwajahnya. Kehadiran Haikal bagaikan satu suratan dalam kebetulan. Itupun setelah aku mengenali ibunya, Umi Kalsum. Insan yang banyak membimbing aku ke jalan Allah. Jalan Islam yang sememangnya terbentang luas di ruangan mata namun kabus pandangan naluri hati telah mengaburi segala-galanya.
"Maafkan saya sebab membaca catatan awak tanpa meminta izin!" tenang raut muka Haikal mengungkapkan kata maaf.
Aku termati kata-kata lantas mengambil diari biru yang dihulurkan. "Saya pergi dulu, Haikal. Ada kuliah sekarang!" Sejurus kemudian, aku bingkas meninggalkan Haikal di situ dengan sepatah ucapan salam.
Sukar untuk aku berdepan dengan Haikal walau sedetik. Apatah lagi untuk berbicara soal hati dengan lelaki ini. Tidak menduga terpapar akhirnya luahan rasa di mata Haikal yang sebelum ini terselindung dibalik lipatan kamus semalam. Aku pasrah! ---
"Ain boleh aku masuk?" jenguk Intan di ambang pintu bilik. Aku tersenyum mengangguk perlahan. Bingkas aku bangun melipat sejadah dan kain telekung. Sejurus itu, aku beralih duduk dibirai katil menghampiri Intan. "Ada tak Haikal pulangkan diari kau?" "Kenapa?"soalku balik. Keliru dengan pertanyaan yang tidak diduga. Dari raut wajah Intan, dia kelihatan seumpama serba salah. "Maafkan, aku Ain. Sebenarnya aku yang berikan diari kau pada Haikal!"
Meruap mukaku mendengar penjelasan Intan. Tergamam aku seketika untuk bersuara lanjut. "Ain, kau tak seharusnya memendam perasaan sejauh begini. Kenapa tak berterus-terang yang kau menaruh hati pada Haikal? Mati-mati aku tak sedar hal ini kalau tak selak diari kau kemarin." Sungguh telah sekian lama aku mengintai cinta Haikal dalam diam. Namun, apakan kudratku untuk memulakan jalinan dua hati sedangkan aku dan Haikal di pagari sempadan yang sekilas tidak kelihatan. Seperti mana rintihan pungguk merindui cahaya bulan, seumpama itu kasih Haikal menjenguk ibarat angin lalu. Tatkala cahaya mentari mula menerangi bumi, maka biasan cinta semalaman gugur bersama seimbas memori hampa. Aku keliru. Terlalu dalam jurang dunia yang memisahkan kami. Biar seribu tahun hadir melahirkan sinar harapan baru, namun igauan garis-garis hitam telah menyisih sepi diri ini untuk mendekati Haikal.
Terlayar kembali kesilapan masa lalu yang meragut istilah kesucian seorang gadis timur. Entah bagaimana, aku telah terjerat dalam sepi fatamorgana yang memaut sunyi noda cinta. Cinta insani yang berlandaskan perangkap nafsu semata tanpa setitis limpahan kasih keredhaan Allah. Aku alpa mengekori langkah diri yang cuma mengapai bayangan mimpi kala siang hari.
Ternyata, Azrul yang aku kenal bukanlah insan luhur budi pekerti. Tidak menduga dia sanggup mempertaruhkan aku sebagai galang penguasa nafsu lelaki miliknya. Aku terlalu percaya pada janji-janji kasih seorang kekasih lantas menyahut seruan Azrul dan menjerumuskan diri ini pada kesesatan dunia. Mengadaikan maruah diri demi harga murah lelongan sebuah kesetiaan.Ya Allah.. Ya Ghafur! Tidak sanggup rasa mengimbau sejarah lalu pada hamparan memori duka. "Sudahlah Intan. Aku tak pernah mengharap apa-apa selain belajar agama di rumah Umi. Lagipun, aku sayangkan Haikal seperti saudara Islamku. Bukankah umat Islam itu bersaudara?"Aku sekadar berhujah kosong. Menyimpan rahsia hati yang terselindung. Sungguh anak bongsu Umi itu telah mencuri hati ini dalam diam. Tidak terzahir ungkapan kasihku kepadanya sedangkan aku perlu akui tujuan asal yang hanya berniat tumpang belajar agama di rumah Umi. Tidak mahu berlebih-lebihan akan perihal cinta yang fana. Tapi, entah mengapa, semakin aku tekad melupakan wajah lelaki itu, semakin dia hadir menemani mimpi-mimpi di malam waktu. Ya Allah.. apa lagi yang aku cari sebenarnya!
"Aku akui kebenaran ukhwah persaudaraan dalam Islam.Tapi, kau tak boleh berdalih soal fitrah hidup manusia.Alangkah lebih baik seandainya perasaan kau terhadap Haikal disalurkan pada jalan yang diredhai Allah. Dirikan pernikahan dengannya, Nurain!"saran Intan mematikan lamunan aku sejenak.
"Mana mungkin.Aku tak layak meraih cinta dia.." tegasku perlahan meletakkan kepastian yang pasti. Terlalu besar pahit maung yang melingkari kekerdilan diri. Tiada lagi tadahan impian menanti hari esok. Biarlah detik-detik berlalu terus menyisir pergi bersama bayangan Azrul yang hanya tinggal serpihan kenangan. Retak seribu perasaan aku saat Azrul melangkah ke UK empat tahun lalu kerana menyambung perniagaan keluarga dan membiarkan diri ini terkapai-kapai keseorangan. Sungguh dengan nama Allah.. Ya Basith! Maha Meluas kasih dan sayangNya. Masih ada jalan yang dititipkan buat landasan HambaNya ini. Mujur, Intan selaku teman sekuliah sanggup berlapang dada mendengar rintihan hati ini. Tanpa berfikir lama, aku akur pada nasihat seorang sahabat yang selama ini aku endahkan.
Sejurus minggu berikutnya, Intan membawa aku menemui Umi Kalsum. Ibu saudaranya yang berkerjaya sebagai guru agama di sebuah sekolah menengah Shah Alam. Dari situlah aku mula menghayati pendekatan Islam. Belajar kelas Fardu Ain yang diselang-selikan dengan pengajian Al-Quran. Kalam Allah yang sudah lama aku tinggalkan pembacaan ayat yang terungkap bersama himpunan petunjuk bahtera duniawi. Pedoman meniti hari-hari mendatang sebagai mukmin sejati. Sesekali kelibat Haikal menyinggahi ruang kediaman ketika balik dari cuti pengajiannya di UIAM. Tanpa diduga, pertemuan sekian lama telah memaut perasaan ini pada ketertiban peribadi akhlak seorang lelaki.
"Kenapa nak fikir sangat perkara yang lepas sedangkan kau boleh mulakan hidup baru, Ain.." nasihat Intan seolah dapat membaca dilema yang mengusuti ruang fikiran. "Soalnya, aku sudah banyak menyimpang jauh. Tak sanggup rasanya mempertaruhkan insan semulia Haikal menanggung dosa-dosa aku sebelum ini. Dia lelaki yang beriman dan sewajarnya berdamping dengan perempuan yang baik-baik. Wanita solehah yang mampu melebarkan jalan buat Haikal ke syurga.." terluah akhirnya kata-kata aku menitipkan seribu impian untuk Haikal. Impian yang aku sentiasa sisipkan bersama tulus doa kehadrat Illahi. Berharap Haikal bertemu jodoh pada insan yang istimewa di sisi Allah. Seistimewa Siti Khadijah binti Khuwalid yang menjadi pelengkap kehidupan baginda Rasulullah s.a.w.
"Tak baik menghukum diri sendiri Ain.Bukankah, setiap taubat yang diterima Allah, bermakna diri kau bersih sesempurna bayi yang baru dilahirkan?"Tidak putus-putus Intan memberikan aku sinar harapan baru melewati usia dewasaku kini.Sungguh aku akui, dia sememangnya teman menangisku yang abadi. "Kau tak mengerti Intan. Hakikatnya, keimanan aku masih rapuh lagi. Bagaimana aku berupaya bimbing zuriat Haikal kelak?" tanya aku seolah masih ragu-ragu kemampuan diri.
"Insya Allah, perkara yang baik sentiasa dipermudahkan Allah. Sedangkan Nabi Muhammad tidak pernah menyisihkan umatnya, begitulah harapan Umi yang sentiasa menanti kehadiran kau sebagai menantu.." "Harapan Umi?"
-------
Aku memerhatikan rimbun pepohon kemboja yang meliar tumbuh di kawasan padang. Damai puputan bayu petang menenggelamkan aku bersama khayalan cinta sedekad lalu. Bayangan Azrul kian menghilang dimata dan terus lenyap namanya dihati ini buat selama-lamanya.
"Jauhnya mengelamun!"Aku tersentak.Mendongak memandang Haikal yang tersenyum simpul. "Eh,abang rupanya.Ingatkan siapa tadi!"Serentak itu, Haikal duduk bersebelahan sambil memaut erat pinggangku. Sepenuh kasih, aku menyandarkan kepala dibahunya sambil merenung jauh redupan awan yang memayungi biasan mentari petang. Dari kejauhan hamparan hijau Taman Reaksi Bukit Kiara, kulihat Hardina dan Hafiz saling berkejaran riang bermain.Kedua-dua permata hati aku dan Haikal yang kian membesar meniti alam persekolahan tadika.
"Terima kasih abang.." lembut kata-kata aku membisik sayup di telinga Haikal. "Untuk apa?"Haikal menoleh dengan kerutan di muka. Aku tersenyum hambar mengenangkan tulus ikhlas kasih lelaki ini terhadap diriku. Sanggup menerima cinta insan yang pernah tergadai harga diri.
"Sebab tak pernah sia-siakan Ain walaupun Ain sudah.." Aku tiba-tiba teresak menitiskan air mata keharuan. "Syh.. tak baik mengungkit Ain. Abang sudah lama melupakan kisah silam Ain bermula dari saat perkahwinan kita dulu. Abang tak pernah kisah siapa Ain sebelum ini. Paling penting, Ain yang abang kenal adalah sebaik-baik wanita muslimah." pujuk Haikal menyingsing pergi segala resah yang bertaut jiwa.
"Tapi Ain.." Belum sempat aku ulangi kalimah ‘kesucian diri‘, pintas Haikal meletakkan jari telunjuknya dibibirku. "Ain, tahu tak, sebaik-baik manusia di sisi Allah adalah orang yang berbuat kesilapan, lantas dia segera bertaubat dan berazam tidak mengulangi dosanya lagi. Anggaplah apa yang berlaku dulu adalah satu ujian daripada Allah. Ujian bagi mendekatkan diri sesesorang hamba kepada PenciptaNya." Aku termangu mencari kesungguhan kata-kata Haikal.
Benar apa yang dituturkan suami aku. Aku kini sudah banyak berubah. Andainya, dugaan hebat itu tidak hadir mengetuk pintu sejarah lalu, sudah pasti tika ini aku masih lagi dibelenggu kejahilan sosial remaja yang bertentangan dari landasan Islam sebenar.
"Ain sayangkan abang dunia dan akhirat!" utusku penuh bermakna. Haikal tersenyum melemparkan pandangan ke arahku sambil memangku Hardina yang kelihatan ceria bermanja. Hafiz yang menyusul selangkah kemudian, berlari-lari anak menghampiri aku. Spontan, aku merangkul mesra anak lelaki tunggal kami. Desiran angin senja melambai pergi seharian hari ini saat kami beriringan menuju ke kereta. Tinggallah derita, pergilah duka. Ikrarku memanjatkan rasa syukur pada kebahagiaan yang mekar bersemi kini!
"Dia
hidup bukan kerana cinta. Dia hidup kerana
kehadiran Prince Charming yang menyelamatkannya.
Semuanya gara-gara dia mengoyak Carta Prince
Charming—carta misteri yang tiada sesiapa tahu
dari mana datangnya. Yang pasti, memang dia
langsung tidak percaya dengan sumpahan yang
dikatakan berkaitan dengan Carta Prince
Charming.
"Sumpahan puteri? Kau ingat ini cerita dongeng
ke? Puteri apa yang nak sumpah aku ni? Puteri
bunian? Puteri lindungan bulan?”
Desakan daripada Sofea membawanya ke Kelab Bola
Sepak. Di situlah Prince Charming berkumpul.
Tetapi hanya seorang sahaja Prince Charming yang
dicari-carinya. Namun, untuk mencari Prince
Charming bukanlah mudah, namun dia yakin, antara
mereka, pasti salah seorang adalah penyelamatnya.
Orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa orang,
tak reti-reti ke nak munculkan diri? Bukan ke
lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan
cakap, Sayalah yang selamatkan awak daripada
kena langgar semalam. Finish! Tak adalah nak
panjangkan cerita sampai beratus muka surat
semata-mata nak cari Prince Charming!
Tajuk:
Prince Charming
Penulis: Ratu Bulan
Terbitan: Fajar Pakeer
Harga:
RM19.90
Ulasan:
NOVEL
HANGAT DIPASARAN
Pertemuan
pertama memberi impak yang berbeza kepada dua insan. Maria
malu mengenang, sedang Hisyam mahu mendekat. Maria semakin
resah apabila Hisyam terus-terusan mendesak. Dalam benci
ada rindu. Bijak Hisyam memujuk, mereka akhirnya disatukan.
Salina hadir menjadi duri dalam daging. Bagi Hisyam, gadis
itu ialah sahabatnya yang terbaik. Insan paling dipercayai.
Namun, dalam diam, Salina meracuni hubungan mereka. Salina
ada agenda yang tersendiri.
Semakin hari, semakin nipis rasa percaya Maria terhadap
Hisyam. Namun, dia tidak mungkin menghindar rasa kasih
yang sudah menebal. Demi menunaikan permintaan Maria,
Hisyam tega melamar Salina walau ada luka di hati.
Sanggupkah Hisyam menduakan Maria yang pernah dicintai
sepenuh hati? Dan, Maria, mampukah membiarkan suami
tersayang jatuh ke tangan Salina? Atau, Mariakah orang
ketiga yang tidak lagi diperlukan kehadirannya oleh Hisyam?
Penulisan2u
sedang
berkerjasama dengan Penerbit Novel bagi memberi peluang kepada penulis-penulis berbakat dan karya yang menarik.
Antara novel yang sudah di terbitkan
2 Pengulas paling AKTIF dengan memberi komen yang ikhlas dan
membina, pada setiap karya cerpen / novel di penulisan2u akan
menerima hadiah sebuah NOVEL.
•
Creative Enterprise Sdn. Bhd., sedang mencari manuskrip kanak-kanak atau remaja. Ini kerana pihak kami ingin memperluaskan dan memperbanyakkan bahan bacaan untuk kanak-kanak dan remaja. Di samping itu kami juga ingin memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
( klik disini
)
•Karyaseni Enterprise ingin memaklumankan
kepada anda yang berminat untuk menghantar manuskrip
anda kepada KS untuk penilaian, sila email kan
sinopsis dan tiga bab awal ke alamat email berikut:
Manuskrip@karyaseni.my
•KarnaDya Solutions Sdn
Bhd. Anda minat menulis? anda berbakat, anda ada cerita
yang menarik, Anda Ada Karya Yang Ingin Diterbitkan?
hantarkan karya anda. Sebelum anda menghantarkan
manuskrip anda, sila hantarkan butiran berikut terlebih
dahulu melalui emel/pos. untuk maklumat lanjut (
klik disini )
•NB Kara Sdn Bhd dengan berbesar hati
menjemput mana-mana penulis yang merasakan diri mereka
layak menjadi penulis yang versatil, menghantar
manuskrip mereka kepada NB Kara Sdn Bhd. Tulisan anda
terlebih dahulu akan dinilai oleh penulis prolifik
Norhayati Berahim dan juga beberapa panel editor sebelum
diluluskan untuk terbitan.
(
klik disini )
•Jemari Seni Publishing. Anda minat menulis? anda berbakat, anda ada cerita
yang menarik, Anda Ada Karya Yang Ingin Diterbitkan?
Untuk tujuan pengiriman manuskrip, JEMARI SENI telah
menggariskan panduan kepada penulis-penulisnya. untuk maklumat lanjut (
klik disini )
•
Alaf 21 Sdn Bhd. Tahun 2008 bakal menjanjikan sinar
kecemerlangan seandainya karya anda terpilih untuk
diterbitkan oleh Alaf 21, penerbit novel tersohor di
Malaysia.
Jika
anda mempunyai salah satu manuskrip tersebut, kami ingin
menatap dan menilainya. Sekiranya sesuai, pihak kami
ingin menerbitkannya di bawah jenama ALAF21.
( klik disini)
•
tip kehidupan, zodiak, horoskop, petua, tip, puisi,
pantun, sajak, dan pelbagai artikel menarik layari di
http://istimewa2u.blogspot.com
•
Blog Berkaitan agama, topik-topik tazkirah, audio, video
ceramah, mendengar 114 surah Al-quran secara online,
radio-radio dakwah, layari di
http://dakwah2u.blogspot.com
•
Blog Media, Tv streaming online, radio streaming online,
surat khabar, rakaman drama, radio era, hot.fm, tv1,
tv2,tv3 dan lain-lain. layari di
http://mymedia2u.blogspot.com
•
Blog Koleksi cerita lawak, lucu, kelakar dan video lawak,
lucu dan kelakar. layari di laman
http://kelakar2u.blogspot.com
•
Laman web
syarikat penerbit novel Creative
Enterprise Sdn Bhd (CESB). Untuk melihat novel-novel
terbaru yang berada di pasaran, layari di
http://www.cesb.net.my
•
Laman web
syarikat penerbit
Kaki Novel
Enterprise. Untuk melihat novel-novel
terbaru yang berada di pasaran, layari di
http://www.kakinovel.com
•
Laman web
syarikat penerbit NB kara Sdn Bhd.
Dimiliki oleh penulis terkenal Norhayati Berahim, Untuk melihat novel-novel
terbaru yang berada di pasaran, layari di
http://www.nbkara.com.my
•
Laman web
syarikat penerbit Buku Prima Sdn Bhd.
Untuk melihat novel-novel
terbaru yang berada di pasaran, layari di
http://www.bukuprima.com.my
•
Laman web
syarikat penerbit novel
jemari Seni Publishing (JS Publishing). Untuk melihat novel-novel
terbaru yang berada di pasaran, layari di
http://www.jemariseni.com
•
Laman web syarikat penerbit novel Alaf21 Sdn Bhd
(alaf21). Untuk melihat novel-novel terbaru dari Alaf21
layari di
http://www.alaf21.com.my
•
Laman web syarikat penerbit novel Fajar Pakeer Sdn Bhd). Untuk melihat novel-novel terbaru layari di
laman
http://www.fajarnovels.com.my
Kata Kunci
koleksi novel, koleksi novel
cinta, novel, novel online, novel melayu, novel malaysia, novel terbaik,
novel cinta, novel masyarakat, cerpen, koleksi cerpen, koleksi cerpen
cinta, koleksi cerpen cinta remaja, cerpen baru, koleksi cerpen terbaru,
teratak cerpen, cerpen cinta, cerpen online, cerpen terbaik, cerpen
melayu, koleksi cerpen cinta malaysia, cerpen malaysia, cerita seram,
cerita, cerita cinta, cerita pendek, cerita melayu, cerita online
Malaysia Group
Blog
Koleksi
Cerpen & Novel proudly powered by Blogger. Best display view 1024x768.
Google Inc
Koleksi Cerpen
& Novel dari Malaysia, Indonesia, Singapore & Brunei