Nama Pena : sofi
Maria menangis teresak-esak di dalam kereta. Sepanjang perjalanan balik ke rumah, hanya esak tangisnya yang kedengaran. Sebaik sampai, dia terus berlari ke bilik, menghumbankan diri di atas katil. Hatinya terlalu sedih. Terasa diri dikhianati oleh suami sendiri.
Hisyam berdiri di tengah-tengah pintu bilik sambil bercekak pinggang. Dia sangat-sangat marah ketika ini.
"Abang tak sangka sikap Lia begini. Abang ingat Lia dah faham apa yang abang cakap. Abang ingat Lia percaya. Tapi, masya-ALLAH, Lia masih tak percaya pada abang rupa-rupanya." Melihat Maria yang masih menangis, dia bertanya, "Mana Lia dapat alamat rumah Lin tu? Lia pasang spy, ya? Lia intip abang?"
"Sampai hati abang tuduh Lia macam tu. Lia tak intip abang. Memang dia yang suruh Lia datang." Lirih Maria menjawab.
"Wah, sekarang Lia dah pandai menipu jugak! Lia ingat, abang ni bodoh ke apa? Abang kenal Lin tu dari kami kecik, tahu. Abang tahu hati budi dia. Dia tak akan menipu." Herdik Hisyam.
"Lia tak bohong, bang. Memang selama ni…."
"Cukup, Maria! Cukup! Jangan tambah kemarahan abang. Jangan buat abang tampar muka Lia tu lagi." Hisyam menggeleng-gelengkan kepala. Lama dia membisu sebelum dia berkata dengan suara yang lebih perlahan, "Kenapa Lia jadi macam gini? Apa yang Lia takut sangat? Abang betul-betul tak faham! Hari ini, abang macam tengok orang lain. Macam bukan Lia yang ada di hadapan abang sekarang. Mana perginya isteri abang yang lemah lembut? Yang sopan tutur katanya? Mana, Lia?"
Suasana hening seketika. Keheningan itu tiba-tiba diganggu oleh deringan telefon. Maria sudah tahu siapa yang menghubungi. Dia sudah dapat meneka.
Hisyam masuk semula ke dalam bilik tiga minit kemudian. Tanpa disuruh dia memberitahu, "Salina yang telefon. Dia nak tahu keadaan Lia. Dia susah hati sangat. Dia mintak maaf kalau selama ini hubungan dia dengan abang dah Lia anggap lain. Dia cakap dia nak balik ke England. Ke rumah nenek dia. Tapi abang kata jangan. Abang tak kasi dia pergi. Dia tak ada sebab untuk lari hanya kerana sikap bodoh Lia tu."
"Abang sayang dia." Desah Maria. Air mata turun lagi.
"Memang abang sayang dia! Dia kawan baik abang. Dia sentiasa ada di sisi abang bila abang perlukan pertolongan. Kalau tak sebab dia, syarikat kita dah lama bungkus." Jerit Hisyam.
"Habis, Lia ni siapa? Bukan isteri abang ke? Lia tak penting lagi ke dalam hidup abang?"
Hisyam terpana. Isteri dihampiri. "Kenapa tanya abang soalan tu? Lia, untuk siapa abang bertungkus lumus selama ni? Untuk siapa? Untuk kita, tahu tak? Untuk Lia. Untuk anak-anak kita nanti." Dia duduk di birai katil. Memerhati tubuh isteri yang membelakangi dirinya. "Lia, abang malu betul dengan perbuatan Lia tadi. Malu sangat! Lia tahu apa yang abang fikir masa tu? Abah! Perbuatan abah pada emak jadikan Lia berperangai pelik begitu. Tahap kepercayaan Lia pada abang kosong. Dan itu buat abang sedih, tahu tak? Sedih sangat!"
Maria tidak tahan lagi. Asyik-asyik Hisyam meletakkan kesalahan pada dirinya. Marah betul dia. "Habis, apa abang buat di rumah dia tadi? Kerja? Mesyuarat?" Soalnya.
"Abang hantar dia balik sebab dia tak sihat. Tiba-tiba aje dia sakit kepala di pejabat tadi. Sebab itu abang temankan dia. Kan abang dah beritahu tadi?" Hisyam membela diri.
Maria mendengus kasar. "Oh, dia sakit kepala sampai tak boleh berjalan sendiri, gitu? Sudahlah, bang. Lia nampak abang dengan dia tadi. Berpeluk sakan! Melintuk liuk dia letakkan kepala di bahu abang. Memang kawan baik boleh buat macam itu ke? Abang, abang lelaki, Salina tu perempuan. Bukan muhrim! Tapi, apa yang Lia nampak tadi bukan macam hubungan antara kawan baik. Tapi lebih kepada hubungan suami isteri, tahu tak?"
"Astaghfirullahil’azim!"
"Bila Lia cakap, abang tak mahu percaya. Abang kata abang dah kenal dia dari kecik lagi. Tapi Lia isteri abang. Dari kecik, emak tak pernah ajar Lia bohong." Maria mendekatkan dirinya kepada Hisyam. Merenung wajah suami tepat-tepat. "Tengok Lia, bang. Ini wajah seorang isteri yang takut kehilangan suami dia. Isteri yang cuba mempertahankan haknya. Menjaga miliknya. Salahkah? Salahkah Lia mempertahankan apa yang menjadi kesayangan Lia?"
Hisyam benar-benar tidak dapat mempercayai Maria akan mengeluarkan kata-kata itu. "Lia takut kehilangan abang? Pada Salina? Biar betul! Lia tak dengar ke apa dia kata tadi? Dia dah lama mengaku kalah pada Lia! Dia dah lama tahu yang abang tak cintakan dia! Jadi, apa yang perlu Lia pertahankan? Apa yang perlu Lia jaga? Abang memang milik Lia!" Tengkingnya.
Maria akhirnya mengeluh. "Nampaknya abang tak faham. Tak mahu faham." Rungutnya.
Bulat mata Hisyam merenung. Sesungguhnya dia memang tidak memahami. Maria ketakutan? Takut kehilangan dirinya? Oh tidak! Malah dia yang merasa takut sekarang ini. Takut Maria berubah menjadi seorang yang obses. Latar belakang keluarganya, perbuatan ayahnya dahulu, parut yang terdapat di tubuh itu, mungkin semua itu mencetuskan perlakuan pelik Maria kini, fikirnya. Mungkin juga keadaan mereka yang masih belum mempunyai anak, turut menjadi penyebab. Dia bimbang Maria hilang kewarasan.
"Abang tetap tak percaya pada Lia, ya? Bisu abang tu tandanya abang fikir yang Lia sengaja mereka-reka cerita tentang Salina, kan? Sampai hati abang! Agaknya, kalau nanti Salina syorkan abang bawak Lia jumpa psikiatris, pun abang akan buat."
Perlahan-lahan dia bangun menuruni katil. Hari ini, dia rasa jauh dari suaminya. Hari ini, Hisyam meragui kewarasannya. Sedih betul hatinya.
"Lia…."
Dalam linangan air mata, Maria berpaling.
"Abang….."
Kata-kata Hisyam terhenti bila Maria menyambungkan ayat itu.
"Abang menyesal kahwin dengan Lia? Lia tahu." Katanya sambil berlalu menuruni anak tangga menuju bilik jahit di bawah.
"Tidak, Lia! Bukan itu yang abang nak cakap." Desah Hisyam sendirian.
Hisyam kebingungan. Di kanannya Maria. Isteri yang amat dicintai. Disayangi setulus hati. Isteri yang sudah tidak dia kenali. Tidak dia fahami sikapnya. Pada satu ketika, mesra dan manja melayani dirinya. Pada ketika yang lain bagai seorang wanita yang kehilangan arah. Pada satu masa, membelai dan membisik kata-kata cinta dengan penuh berahi tapi di waktu yang lain, menuduh dia berlaku curang dengan Salina.
Ya, Salina di kirinya. Gadis yang pernah mencintai dirinya sepenuh hati. Cinta yang tidak mampu dia balas. Kerana Salina ialah sahabat baiknya. Salina yang ikhlas membantu dia mendapat semula keyakinan pelabur setelah hampir-hampir dimusnahkan oleh Gading Holdings. Salina yang tidak pernah leka membiarkan dia dan syarikatnya dimusnahkan. Salina yang dituduh perampas oleh isterinya sendiri.
Bagaimanakah Maria sanggup menuduh Salina sampai begitu sekali? Bukti apa yang dia ada? Atau siapakah yang sudah menghasutnya?
Walau sudah lima tahun usia perkahwinan mereka, dia belum pernah jemu dengan isterinya. Cuma sejak kebelakangan ini dia jarang memesrai Maria kerana fikiran yang berserabut dengan masalah. Sangkanya, ini perkara yang kecil tapi nampaknya tidak bagi Maria pula.
Hisyam mengeluh lagi.
..........
Setengah jam kemudian dia turun untuk ke dapur sambil mencari kelibat isterinya. Dapur gelap. Bilik yang selalu Maria gunakan untuk menjahit juga gelap. Nasib baik pintu tidak dikunci. Dia melangkah perlahan-lahan ke sisi katil. Dalam kelam lampu tidur yang terpasang, dia merenung wajah isteri yang sedang lena. Hati diserbu perasaan sayu demi melihat setitis air mata yang keluar dari mata yang sudah terpejam. Air mata itu dilap. Dahi isteri dikucupi. Lama dan penuh sendu.
"Abang sayang Lia." Bisiknya penuh perasaan sebelum melangkah keluar.
Titis-titis air mata keluar lagi dari pelupuk mata yang tertutup rapat itu. Mula-mula perlahan, lama kelamaan semakin lebat. Menjadi esakan yang tidak berkesudahan.
Seiring hujan yang turun menyimbah permukaan bumi di luar rumah.
Langit bagai mengerti. Malam bagai mengetahui. Dunia bagai merasai. Bahawa dia sudah kehilangan.
Kau tidak mengerti hatiku,
Kau tidak akan tahu,
Suatu waktu,
Kau akan kehilangan diriku,
Suatu waktu,
Aku akan kehilangan kamu,
Kau sangka aku berbohong,
Kau fikir aku menipu,
Kau menuduh aku,
Kau tidak tahu kesedihanku,
Kau tidak mengerti kedukaanku,
Sehingga satu waktu,
Aku tiada lagi dalam hidupmu!
Permulaan cerita yg agak menarik. Ada kesambungan ke tak? Rasa-rasanya akan menjadi cerita yg menarik. Teruskan berkarya...
BalasPadambaru baca sikit..
BalasPadamhati ni dh teruja
tak sabo nk baca sambungannya
cepat la sambung...
mesti best citer ni...
sedih ye
BalasPadamitu lah kenyataan ..... lelaki oh lelaki...huhuhuhu sedihhh
BalasPadambest citer,,pe kesudahan ea..x sabar ase nak tau kesudahan ea,teruskan berkarya ek
BalasPadamboleh tahan..
BalasPadamcepat2lah smbg, boleh tahu ending die..
jgn meleret sangat tau..
...Fulamak!!!tersentuh nya,gila betul si salina tu...dia ingat boleh buat sesuka hati ke?kejahatan pasti dibalas,sofi tolong buat Happy Ending na.....tak sabar rasanya...ni.
BalasPadambest cite ni. kenapalah hisyam ni slow sgt? kesian maria................
BalasPadamsdhnye....napela llaki sush nk phm ble situasi mcm2...cian maria..pnulis plez cpt smbng!!!
BalasPadamalas!! ada gk n3 bru! huhuhu.. hisyam tak sedar ke yg salina tu saje nk hancurkn rumahtangga dia? bodoh la hisyam ni! writer, tak ada blog ke??
BalasPadam