Nama Pena : AuNi SoFeA
Suasana pada petang itu sungguh mendamaikan. Kelihatan kelibat anak-anak kecil berlari riang di tepi sawah bendang. Hilai tawa mereka memecahkan kesunyian desa terpencil itu.
"Tak sabar nak tunggu kak Timah bersalin, bang. Mesti anak abang nanti pun sama comel macam budak-budak tu," Sufian tersenyum sambil memerhatikan gelagat anak-anak kecil itu dari pondok kecil, tempat dia dan Kahar selalu berehat.
"Hmm... abang harap pun begitulah. Meriah sikit kalau rumah kita tu ada budak-budak. Kau pun tak lama lagi nak pergi ke luar negara. Tinggallah abang dengan akak kau ni nanti," balas Kahar.
Sufian terdiam. Dia menundukkan kepala. Ada sesuatu yang menggusarkan jiwa raganya. "Kan saya dah kata, jangan ungkit benda tu lagi," tegas Sufian. Kahar terkesima.
"Pian... bukan senang nak tengok anak muda kampung ni yang dapat peluang belajar kat luar negara tau. Kaulah satu-satunya wakil kampung ni yang dapat pergi ke Amerika Syarikat tu," ujar Kahar, bangga.
"Tapi bang..."
"Tapi apa lagi, Pian? Kau kan dah dapat biasiswa MARA. Kalau tak cukup, tu hah... berelung-relung sawah bendang kita tu boleh dijual. Kau nak risau apa lagi, Pian?"
"Abang... sawah bendang tu untuk anak cucu abang kelak. Pian cuma orang luar je. Pian tak layak terima semua ni." Suara Sufian mula lirih.
"Pian, siapa kata kau orang luar? Ada abang cakap macam tu? Kaulah satu-satunya adik abang. Abang tak nak kau timbulkan lagi soal orang luar tu lagi, faham?!"
Sufian mengeluh. Lelaki di sebelahnya itu benar-benar marah apabila isu itu ditimbulkan semula. Namun, itulah hakikatnya. Sufian hanyalah menumpang kasih setelah ibu bapanya terkorban dalam kebakaran sewaktu dia masih kecil. Keluarga Kahar merupakan jirannya. Mereka berasal daripada golongan berada. Bapa Kahar, Haji Yusuf mengambil Sufian sebagai anak angkat memandangkan dia tiada saudara mara lain. Kahar telah menganggap Sufian sebagai adik kandungnya sendiri.
Fatimah menyuakan sepinggan pisang goreng kepada Kahar sebelum melabuhkan punggungnya di sisi suami tercintanya itu.
"Apa isi surat si Sufian tu, bang? Saya tengok, bukan main meleret lagi abang tersenyum," soal Fatimah, penuh kehairanan.
"Hmm... biasalah. Dia kirim salam pada kita semua. Tak sabar nak balik ke Malaysia katanya. Nak tengok anak buah dia yang bakal lahir ni," ujar Kahar sambil mengusap-usap perut isterinya yang sarat mengandung itu. Sudah hampir 7 bulan Sufian berada di perantauan. Berpucuk-pucuk surat telah dikirimkan olehnya sebagai tanda ingatan.
"Lagi... apa katanya, bang?" soal Fatimah lagi, penuh minat. Kahar terdiam seketika.
"Err... Pian... dia minta kirim duit ke sana. Untuk beli buku rujukan tambahan katanya." Kahar serba salah melihat reaksi isterinya itu. Wajah Fatimah mula mencuka apabila soal duit ditimbulkan.
"Duit, duit, duit. Baru berapa bulan Pian kat sana, dah beribu-ribu ringgit abang habiskan. Sawah bendang kita tu pun makin sikit sebab abang dah jualkan. Pian kan dapat biasiswa, takkanlah tak cukup? Kalau macam ni, tak sempatlah anak saya nak merasa duit daripada abang."
"Awak ni... ke situ pulak. Awak bukan tak tau, Amerika tu bukan macam kampung kita ni. Nak makan ayam, tinggal ambil kat dalam reban. Nak makan sayur, tinggal petik kat kebun. Nak makan ikan? Hah... tangkap aje kat sungai. Dekat Amerika tu, semuanya mahal. Lagipun, Pian nak duit untuk beli buku... bukannya berjoli."
"Huh! Apalah yang awak tahu pasal Amerika tu. Jejak kaki pun tak pernah, pandai-pandai je nak berhujah dengan saya. Mana awak tahu dia guna duit tu untuk beli buku? Entah-entah buat beli benda lain."
"Eeh... yang awak marahkan si Sufian sangat ni kenapa? Dia tu kan adik kesayangan awak jugak?"
"Saya bukan marahkan si Sufian tu. Saya marahkan abang. Asyik fikir pasal Sufian je. Anak kita ni hah, kejap lagi nak lahir. Tapi abang takde pun nak buat apa-apa persiapan."
Nafas Fatimah turun naik menahan marah. Tiba-tiba, dia berasa sakit yang amat sangat.
"Ya Allah, bang. Air tuban saya dah pecah!" Masing-masing panik.
"Itulah awak, asyik nak marah je. Tengok, kan dah nak terberanak dibuatnya. Awak tunggu sini. Saya panggilkan bidan."
Kahar dan Fatimah memasukkan barang-barang ke dalam kereta dengan berhati-hati. Sesekali, mata mereka melilau ke arah sekeliling. Bimbang sekiranya tindakan mereka itu disedari oleh penduduk kampung. Setelah semuanya selesai, Kahar segera menghidupkan enjin kereta dan segera beredar daripada tempat tersebut.
"Kita nak pergi mana ni, bang? Tengah-tengah malam macam ni. Kesian saya tengok si Farid ni." Mastura memandang tepat ke wajah suaminya, meminta kepastian. Kahar memberhentikan keretanya di hadapan sebuah masjid, jauh daripada tempat tinggal mereka.
"Ish... awak diamlah. Kepala saya pun tengah berserabut ni," tegas Kahar.
"Itulah abang. Saya dah cakap jangan jual sawah sebidang tu, tapi abang degil. Konon si Sufian tu tak cukup duit nak beli bukulah, itulah. Abang tengoklah sekarang. Kita kena halau dari tanah sendiri. Lepas tu, terpaksa menyewa di rumah orang lain. Bila dah tak ada duit nak bayar sewa rumah, inilah yang jadi. Terpaksa lari tengah-tengah malam. Saya malu, bang. Saya malu!"
"Abang minta maaf, Timah. Abang pun tak minta hidup kita jadi macam ni. Abang ingatkan, dengan membantu Sufian... hidup kita akan lebih terjamin. Abang betul-betul tak sangka yang Sufian tergamak menipu kita sekeluarga."
"Sudahlah, bang. Jadikanla semua ni sebagai pengajaran. Ini... ambillah. Besok kita pajakkan di kedai. Kita guna duit untuk pulang ke kampung saya di Selangor." Fatimah menyerahkan seutas rantai leher emas kepada suaminya.
"Jangan, Fatimah. Inilah satu-satunya harta kita yang tinggal. Saya nak awak simpan. Soal duit, awak jangan risau. Saya akan usahakan."
"Abang... dah banyak kali abang cakap benda yang sama. Tapi tengoklah nasib kita sekarang, masih sama. Kita pulang saja ke Selangor dan mulakan hidup baru di sana."
Lama Kahar menatap wajah isteri di hadapannya itu. Kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arah Farid yang sedang lena dalam kelekan Fatimah. Akhirnya, dia bersetuju. Fatimah tersenyum lega. Dia berdoa agar nasib mereka sekeluarga terbela kelak.
gud job auni..keep it up..
BalasPadam