Nama Pena : sofi
Maria melangkah masuk ke dalam bilik air yang mewah. Cecair sabun dituang semua ke dalam kolah mandi yang cantik. Secara perlahan-lahan, dia menenggelamkan tubuhnya untuk berendam. Hampir sejam dia merehatkan diri di situ. Bau harum menyegarkan minda. Menenangkan fikiran yang kusut. Mendinginkan hati yang panas!
Terbayang semula kemesraan suaminya dengan wanita itu tadi. Patutlah rumah hanya menjadi persinggahan. Isteri dibiarkan. Kiranya, masa-masa yang berlalu sudah diisi dengan senyuman manis Salina. Mengapa dia tidak menyedari? Sudah dua bulan Hisyam berubah. Mengapa dia leka dan membiarkan suami semakin jauh?
Mungkin kerana dia tidak menyangka bahawa Hisyam akan berubah. Mungkin dia tidak mahu percaya bahawa hati Hisyam boleh berpaling. Dia kira, layanannya selama ini serba lengkap. Dia fikir, dirinya sempurna di mata suami. Rupa-rupanya?
Dalam kebingungan, Maria menjerit sebaik dirinya didakap erat dari belakang. Bila suara Hisyam berbisik lembut di telinga, barulah terasa lega. Namun sekejap sahaja. Dia kemudian meronta-ronta untuk melepaskan diri. Dia tidak mahu dipeluk Hisyam. Dia tidak mahu Hisyam mendekatinya. Malah dia tidak mahu Hisyam berada di sini!
....................
Setelah selesa berpakaian, Maria duduk di atas sofa. Tidak dia menoleh ke arah Hisyam. Dibiarkan sahaja pandangan tajam Hisyam menjelajahi wajahnya.
Hisyam akhirnya bersuara, "Kenapa buat abang macam ni? Bukan ke kita boleh berbincang di rumah?"
Maria terus mendiamkan diri. Dia berpura-pura tidak mendengar kata-kata suaminya.
Hati Hisyam risau melihat tingkah laku Maria. Dengan berhati-hati, dia bertanya, "Lia, apa yang Lia nak abang cakap? Lia nak abang minta maaf? Atau Lia nak penjelasan?"
"Lia cuma nak bersendiri. Itu saja." Balas Maria dingin.
"Betul Lia tak mahu tahu tentang dia? Tentang Salina?" Duga Hisyam.
"Jadi, betullah nama dia Salina? Dialah klien yang selalu menemani abang ke hulu ke hilir sekarang ni, kan! Dialah teman abang untuk makan tengah hari. Perempuan yang abang bawak ke majlis-majlis dinner. Perempuan yang dah mengisi hidup suami Lia sampai makan minum isteri sendiri pun abang tak pernah nak tanya dah! Dah tak peduli!" Perli Maria.
Hisyam semakin hampir, cuba meraih pinggang Maria. "Sayang, bukan macam tu!" Sanggahnya.
"Bukan macam mana pulak?" Maria menyindir. Mengelak bibir yang ingin mencium pipinya.
"Lia, dengar cakap abang ni dulu!" Melihat Maria sudah menghening diri, Hisyam meneruskan, "Lia, kalau abang ada apa-apa dengan dia, abang tak akan berani nak tunjuk muka abang ni pada Lia, tau!"
Maria segera menolak Hisyam supaya menjauh. "Tolonglah! Lia bukan buta. Jangan nak bela diri abang tu. Apa yang Lia nampak tadi dah cukup menyakitkan hati. Wah, bukan main mesra lagi abang dengan dia? Siap pegang-pegang tangan lagi bila hendak melintas jalan! Manjanya!" Marahnya.
"Lia!"
Maria menekup kedua-dua telinga. "Tak payah cakap apa-apa. Lia tak nak dengar! Lia nak tidur. Lia penat. Abang pergi balik ke rumah!" Halaunya.
Hisyam terpana melihat isteri menarik selimut hingga menutupi kepala. Dia ingin menjelaskan namun Maria tidak mahu mendengar! Bagaimana ni? Kerusi ditarik merapati katil. Dia cuba membuka selimut namun Maria tidak membenarkan.
"Lia, jangan berpura-pura. Lia bukan boleh tidur pun. Dengar dulu apa yang abang nak cakap ni."
Dari dalam selimut, Maria berkata, "Kenapa beria-ia nak beritahu Lia sekarang? Kenapa sebelum ni abang diam aje? Dah dua bulan, bang! Dah dua bulan abang biarkan Lia dalam teka teki. Lia cari di mana salah Lia tapi rupa-rupanya abang dah ada perempuan lain!"
"Kenapa Lia ni? Nampak abang dengan Salina, terus ungkit perkara yang tidak-tidak. Terus cemburu tak tentu fasal. Kami cuma kawan, Lia. Kami tak ada apa-apa hubungan! Lia isteri abang? Lia kena percaya pada abang, tahu!" Jerit Hisyam. Dia berang bila Maria mempersoalkan kejujurannya.
Kata-kata Hisyam benar-benar menyentuh perasaan. Memang benar, dia tidak akan dapat tidur selagi masalah ini tidak diselesaikan. Memang benar, mereka perlu menyelesaikan masalah ini sebelum ia berlarutan. Tetapi kata-kata suaminya sebentar tadi menambahkan sakit hatinya.
"Pandai, abang. Lia kena percaya pada abang tapi ada abang percaya pada Lia? Syarikat ada masalah. Pada siapa abang mintak tolong? Pada Salina. Dah dua bulan, Lia tak tahu apa-apa pun. Kalau mami tak cerita tadi, entah bila agaknya rahsia itu akan abang beritahu." Keluh Maria.
"Abang tak mahu Lia risau."
"Lia tak penting pada abang. Itu yang sebenarnya. Bukan sebab abang tak mahu Lia risau." Balas Maria.
"Ini yang abang tak suka. Lia menyuap mulut abang dengan perkataan-perkataan Lia sendiri. Dah lima tahun kita kahwin, Lia. Macam mana Lia boleh tuduh abang begitu?" Marah Hisyam.
"Sebab abang dah banyak berubah. Tengah hari tadi Lia ke rumah mami. Tahu apa yang Lia dengar? Cerita kawan-kawan mami tentang abang. Tentang abang dengan buah hati abang yang bernama Salina tu!" Maria menarik nafas sebelum menyambung, "Dan hari ini, bila di Carrefour, Lia nampak dengan mata kepala Lia sendiri, abang dengan perempuan itu juga! Segala yang pada mulanya Lia anggap hanya gosip, rupa-rupanya satu kenyataan. Suami Lia lebih suka berjalan, bermesra dengan Salina daripada bersama dengan bini dia!"
Tu dia! Terluah sudah apa yang terbuku dalam hati. Kali ini, walau cuba ditahan, air mata mula menitis keluar. Cepat-cepat dia menoleh, marahkan dirinya kerana sungguh lemah bila berhadapan dengan Hisyam!
"Lia sangat istimewa dalam hidup abang!" Hisyam melembutkan suara. Masih ingin memujuk. Tangan Maria dipegang. "Tapi bila dua bulan lepas ada masalah di pejabat, abang risau. Abang tak sampai hati nak beritahu Lia. Abang cuba selesaikan sendiri tapi pada satu tahap, keadaan betul-betul kalut. Kalau tak ada Salina…"
Maria segera menarik tangannya dari genggaman Hisyam. Dia bangun dan pergi berdiri di tepi tingkap.
"Kenapa semuanya rahsia? Sebab Lia tak layak tahu, ke? Sebab kalau abang cerita pada Lia, Lia bukan boleh buat apa-apa, gitu? Tapi, Lia ni isteri abang. Sebagai isteri, Lia nak bersama abang. Waktu senang dan waktu susah. Sama-sama!" bentak Maria.
"Abang tak sangka Lia akan marah macam ni. Lia, abang keluar dengan Salina kerana kami bincang hal kerja. Itu saja, sayang! Tak ada sebab lain!" Hisyam mengelap air mata di pipi. "Sayang, abang tak nak kita gaduh sebab dia. Dia tak bererti apa-apa pada abang. Hanya Lia untuk abang dan abang untuk Lia. Abang……"
"Lia nak balik rumah mak. Tolong izinkan Lia balik. Lia nak tenangkan hati. Lia susah hati sangat sekarang ini!"
Hisyam menarik nafas panjang. "Lia tak dengar ke apa yang abang sedang cakap pada Lia ni? Kenapa nak balik ke rumah mak pulak? Apa nanti yang mak fikir?" Soalnya.
"Lia nak lapangkan fikiran Lia yang sedang berkecamuk ni!" Maria bertegas.
Kemarahan Hisyam kembali. Wajah merona kemerahan. "Lia tak perlu balik sana! Tak perlu nak lapangkan fikiran. Tak ada apa-apa antara abang dengan Salina. Lia kena percaya!" Tegasnya.
"Abang ingat senang ke Lia nak percaya bulat-bulat cakap abang tu? Selama ini, Lia ingat abang balik lambat sebab abang habiskan kerja di pejabat. Selama ni bila abang tak balik rumah makan tengah hari, Lia percaya bila abang kata abang makan dengan klien. Kalau abang dah lupa, malam semalam abang kata abang makan malam dengan kawan! Lia percaya abang. Tak pernah terdetik di hati Lia, abang makan dengan perempuan lain. Tak pernah! Tapi, hari ini, Lia rasa tertipu. Rasa diperbodohkan!"
Hisyam mencelah dengan suara yang tinggi. "Habis tu? Lia nak abang beritahu Lia? Tengoklah keadaan Lia sekarang. Marah. Cemburu. Tak percayakan suami!"
"Tentulah Lia cemburu. Abang suami Lia. Salina nak rampas abang dari Lia. Dengan keadaan Lia yang tak dapat beri abang anak ni, Lia takut dia berjaya. Dua bulan dah abang rapat dengan dia. Mana tahu entah-entah dalam hati abang tu dah ada semula rasa kasih, rasa cinta pada dia!"
Hisyam serta merta menjauh. Dia sendiri sudah naik angin bila penjelasannya dipandang sepi. "Maria, dengar sini baik-baik. Abang dengan Salina tak pernah bercinta. Abang tak pernah jatuh cinta pada dia. Memang dulu dia cintakan abang tapi abang tak pernah membalasnya. Bagi abang, dia hanya seorang kawan baik, itu sahaja!" Tegasnya.
"Pada abang, dia kawan baik tapi macam mana dengan dia? Adakah di hati dia tu pun anggap abang kawan baik dia atau masih macam dulu? Masih cintakan abang tapi disembunyikannya?" Soal Maria.
"Jangan cakap yang bukan-bukan, Maria. Lin bukan begitu orangnya!"
Sakitnya hati Maria mendengar Hisyam membela gadis itu. "Wah! Bukan main lagi abang membela dia? Kalau tak ada apa-apa, takkanlah sampai macam tu sekali pembelaannya, kan?" Perlinya.
Hisyam bungkam. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya lagi. Setiap kali dia ingin bersuara, Maria memotong percakapannya. Jadi, dia mengambil keputusan untuk membisu.
Melihat suami yang kehilangan kata-kata, Maria bertambah sedih. Suaminya sudah tidak tahu cara untuk memujuknya lagi, desis di hati.
...............................................
"Kenapa macam cacing kepanasan aje tu?"
Suara Aisyah mengejutkan Maria yang sedang berjalan mundar-mandir di sisi telefon. Rasa malu bila dirinya dikejutkan begitu oleh ibunya namun dia hanya mendiamkan diri. Soalan ibu tidak dijawab.
"Hah, itulah! Kalau ya pun rindukan mak, tidur semalam pun cukuplah. Lepas tu pergilah balik ke KL semula dengan Hisyam. Ini tidak. Konon nak bermanja-manja dengan mak. Sudahnya sendiri yang makan hati." Ibunya berceloteh. Maria ketawa mendengar usikan itu.
Masuk hari ini sudah tiga hari, dia berada di kampung. Sudah tiga hari dia berpisah dengan Hisyam. Sudah tiga hari mereka berjauhan tanpa hubungan telefon atau SMS. Dia sengaja mematikan telefon bimbitnya dan hatinya sedih kerana Hisyam tidak pula berusaha untuk menelefon talian tetap di rumah.
"Hai, berangan lagilah tu!" Ibunya mengusik lagi.
Maria tersenyum. Sesungguhnya, hari ini, dia sangat merindui Hisyam. Tiba-tiba dia ingin supaya Hisyam berada di sisi, membelai dirinya. Tiba-tiba dia menjadi rindu pada bisikan mesra suaminya.
"Entahlah, mak. Lia ingat Lia boleh berpisah dengan dia. Tapi baru tiga hari, Lia rasa rindu sangat pulak! Bukan kami tak pernah berpisah. Kadang-kadang sampai dua minggu dia ke luar negara. Tak apa pun. Ini baru dua tiga hari…."
"Sebab itu, jangan ikut sangat rasa hati. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, itu pesanan orang tua-tua!" Tingkah ibunya. Wajah anak kesayangannya ditatapi penuh kemesraan. Dia terus menasihati Maria. "Lia, memang beginilah selalunya. Bila kita kelahi dengan suami dan kalau kita yang sengaja mencari fasal, kita diburu rasa bersalah. Itu yang buat apa pun semuanya serba tak kena! Sayang, pertengkaran antara suami isteri perkara biasa, tapi lain kali, janganlah berlarutan sampai lari balik ke rumah mak! Cuba selesaikan baik-baik. Bawak berbincang!"
Maria merenung wajah emaknya. "Macam mana mak tahu kami sedang bertengkar?" Soalnya.
"Kamu ni? Macamlah mak kamu ni tak pernah muda? Cara kamu bercakap dengan Hisyam hari tu, bukan susah mak nak teka. Berkias-kias bahasanya. Tengok muka Hisyam pun kamu tak mahu. Kesian mak tengok dia hari tu, serba tak kena dia kamu buat, tahu tak! Hai, tak baik kamu buat suami macam tu!"
Maria ketawa mendengar kata-kata ibunya. Terdetik di dalam hatinya betapa bertuahnya dia. Ibunya mengetahui tentang pertengkaran mereka suami isteri, namun dia tidak masuk campur. Dia membiarkan dan hanya menasihati supaya mereka berbaik semula.
"Telefonlah dia, suruh dia datang ambil kamu!" Aisyah menyarankan.
"Tak naklah. Nanti dia tahulah yang Lia rindukan dia sangat. Nanti naik lagilah ekornya."
"Hisy kamu ni, ada ke kata kat suami macam tu? Lia, Hisyam tu baik. Dia sayang sangat pada kamu. Janganlah disia-siakan. Biasalah, orang bila dah sayang, kadang-kadang dia lupa nak menunjukkannya. Tapi mak yakin, dia memang setia pada kamu. Kalau sesekali dia tergelincir, maafkan aje. Jangan biarkan rasa cemburu mengatasi rasa sayang kamu pada dia. Jangan sesekali kamu rasa curiga pada dia. Kecuali kalau kamu nampak dia buat yang bukan-bukan depan kamu. Itu lain! Dah, tak payah nak menung-menung. Dah tiga hari kamu berpisah dengan dia, kan? Kejap-kejap lagi, sampailah dia. Percayalah cakap mak ni!"
........................
Maria terjaga daripada tidur apabila dia mendengar azan Subuh yang sayup-sayup berkumandang dari surau kampung itu. Perlahan-lahan, mata dibuka. Pandangan bertembung dengan renungan suami yang redup.
"Good morning, sweet heart." Sapa Hisyam penuh romantis.
Bibir Maria segera mengukir senyuman manis. Hati berbunga riang. "Abang? Bila abang sampai?" Soalnya.
Hisyam ketawa. Wajah yang amat dirindui, yang sudah tiga hari tidak ditemui itu ditatapi sepuas hati. Dia mengambil kesempatan itu untuk mencium pipi isterinya bertalu-talu. "Pukul dua pagi tadi. Lepas bersembang dengan emak sekejap, abang cepat-cepat naik, nak jumpa isteri abang ni. Ingat nak gerak, tapi tak sampai hati. Lia tidur nyenyak sangat."
"Lia memang tunggu abang malam tadi. Lia harap sangat supaya abang datang ambil Lia. Lia rindu." Maria berbisik manja.
"Abang pun rindukan Lia jugak. Rindu sangat!"
Maria tersenyum penuh erti bila suami ingin membuktikan betapa dia amat merindui. Hari ini, seperti kata ibunya, sudah terbukti bahawa Hisyam tidak akan sanggup berpisah lama-lama daripadanya!
best giler cite nie....
BalasPadamcpt2 smbg k,
nak atu apa yg jd pas nie?
klu blh cpt2 lah diaorg dpt ank & salina tak kacau lg....
ada blog tk?
BalasPadambest2....
BalasPadamthumbs up..!!
sedap2sangat
BalasPadam