Sabtu, September 12, 2009

Cerpen : Coretan segumpal tanah

Nama Pena : pertama

Perkara 1 : ILMU

1 JAN 2006
Perbezaannya awal tahun ini dengan yang sebelumnya mewujudkan jurang yang teramat luas buat diriku. Ahad yang kurasakan paling menggembirakan dalam sejarah hari Ahad ku. Mulanya tahun ini, aku tidak lagi perlu menyarungkan seragam sekolah, tidak lagi perlu termengah-mengah menyental sepatu putih yang dipakai lima kali seminggu, dan tidak lagi perlu berkejar-kejar menyiapkan tugasan sekolah yang memeningkan. 12 tahun hidupku diabdikan dengan menuntut ilmu sedari tadika hinggalah peringkat menengah.
Kemerdekaan yang ku kecapi ternyata memberi seribu erti bagi hidupku. Aku bukan lagi seorang pelajar sekolah yang wajib mematuhi peraturan dan disiplin bosan yang selama ini merantaiku. Tidak juga perlu bangun di keheningan pagi untuk bersiap-siap ke sekolah kerana itu semua sudah menjadi sejarah yang tinggal menjadi kenangan buat diriku. Azamku tahun ini adalah meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

-xoxo-


1 JAN 2007
Aku menulis bertemankan lampu meja di atas meja kayu usang. Kipas siling di atas kepala ku ternyata yang sudah dijamah usia dan dipenuhi debu dan sawang jelas membuat tubuhku ibarat bermandikan keringat setelah berlari 10 pusingan di padang bola sepak. Meskipun begitu tiga teman sebilikku yang lain sudah lena bertemankan dendangan merdu yang bingit persembahan unggas-unggas yang berpentaskan petak-petak sawah bersebelahan blok asramaku.
Sudah tamat satu semester aku di kolej ini. Kurasakan segala-galanya begitu sukar sekali untuk aku terus terapung daripada kelemasan. Aku tidak mungkin mampu cemerlang dan menyerlah di sini kerana ini bukan bidang ilmu yang aku cintai. Ianya hanyalah jendela bagiku untuk melangkah ke tempat yang lebih tinggi. Berjayakah aku ?

-xoxo-


Perkara 2 : FALSAFAH

1 JAN 2008
Masih lagi bernafas dan siapa sangka kegagalan ku sebelum ini merupakan hikmah dan rezeki buatku hari ini. Selalu aku berpesan kepada diri sendiri, ‘semalam adalah sejarah’. Sejarah itu mungkin dipandang enteng oleh sesetengah pihak namun ianya bukanlah satu perkara yang harus dilupakan dan disimpan selamanya. Sejarah itu satu peradaban dan ianya tidak mungkin sekali-kali akan lenyap meski kita mati sekalipun.
Bagiku, sejarah semalam membentuk diriku hari ini yang jauh lebih baik daripada semalam. Sejarah juga buatku hidup dengan lebih berhati-hati kerana aku tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’. Sejarah itu juga menjadi api semangat bagiku agar hari esok ia dapat menyuluh kegelapanku. Sejarah itu boleh jadi merupakan penggerak kepada firasat dan tindak-tandukku. Hari ini aku boleh berbangga kerana sejarah semalam menjadikan aku seorang mahasiswa universiti.

-xoxo-


1 JAN 2009
Meskipun tidak banyak bezanya dengan tahun sebelum ini, namun perjalanan ilmu ku yang masih belum berpenghujung ini masih menjadi jalan hidupku sebelum tiba ke destinasi yang termaktub buatku. Biarpun dugaan dan konflik tidak henti-henti menguji, namun klimaksnya sentiasa ku pastikan mampu mengukir senyum di bibirku. Qada’ dan Qadar tuhan itu benar ! Siapa yang berusaha pasti dia akan mendapat hasilnya. Meski kita hanya berdoa tanpa usaha, tidak akan membuahkan hasil juga. Setiap usaha itu harus dititipkan dengan doa dan Insyaallah, ianya tidak akan sia-sia.
Umurku bakal menginjak ke angka 21 di pertengahan tahun ini, jika dihitung-hitung serasanya aku sudah terlalu mual untuk menuntut ilmu. Aku sudah jelik dengan nota, kuliah, tugasan, dan aktiviti fakulti. Aku mahu menghasilkan wang buat diriku sendiri tetapi aku tidak tahu bagaimana caranya. Aku mungkin seorang mahasiswa yang cemerlang di setiap semester namun seringkali gagal dalam membuat keputusan tepat buat diriku sendiri. Aku menginginkan ianya diubah, sepertinya ada sesuatu yang mengganggu ketenteraman jiwa dan batinku. Apa salahku?

-xoxo-


Perkara 3: TEWAS

1 JAN 2010
Genap ulang tahun yang ke-5 aku berkongsi kisah perjalanan hidupku bersama kalian. Aku masih lagi aku yang dahulu. Cuma bezanya aku bakal menamatkan pengajian tinggiku tiga bulan dari sekarang. Destinasiku selepas ini bakal ditentukan oleh keputusan pengajianku. Berjayakah aku menjawat tugasan dan posisi tinggi idamanku atau mungkin juga sebaliknya.
Mungkin kalian semua beranggapan aku cukup bertuah kerana dalam usia yang masih muda, aku sudah hampir menggenggam segulung ijazah yang didambakan jutaan insan. Kalian juga pasti berpendapat aku seorang insan yang begitu menitikberatkan solat dan doa dalam kehidupanku sebagai kunci kejayaan. Kalian juga pasti melabelkan aku sebagai seorang manusia yang berkemudikan falsafah dan matlamat hidup yang tinggi bagi menggapai cita-citaku.

Ini caraku mengejar cita-cita ku:
1) Solat itu bukan kewajipan buatku, aku tunaikannya di kala aku menginginkan sesuatu seperti yang dilakukan oleh kalian-kalian juga.
2) Doa itu sering ku panjatkan namun bezanya aku hanya berdoa di saat aku ketakutan, kehilangan sesuatu yang berharga, diselubungi masalah dan sengsara, gagal dalam sesuatu sedangkan tidak sekalipun aku mengucapkan syukur dan ‘Alhamdulillah’ kepada-Nya ketika ku berjaya seperti yang dipraktikkan kalian-kalian juga.
3) Tugasku dilakukan di saat-saat akhir sedangkan di awal-awal kelapangan waktu, aku hanyut dengan kegembiraan dan kelekaan dunia, masa itu terbazir buat diriku seperti yang dialami kalian-kalian juga.
4) Sebatang rokok buatku menjadi tenang, mungkin kadangkala sedikit pil dan dadah memberiku keamanan, seteguk arak pula memulihkan tenaga dan sendi tubuhku, dan kucupan wanita membawaku ke syurga ciptaan aku dan kalian. Ternyata dosa-dosa ini menjadi denyut nadiku buatku terus berbahagia dan berjaya sepertinya kalian-kalian juga.
5) Akhir sekali dengan sedikit usaha yang kadangkala memerlukan beberapa helah dan penipuan mampu membuatku selesa untuk berada di puncak, seperti yang dilakukan kalian-kalian juga.

Nah ! kagumkah kalian terhadapku ? Tidak mungkin kalian terkejut kerana kita semua sama sahaja kerana ini merupakan langkah moden yang kita sama-sama pilih untuk ke destinasi kejayaan. Menyesalkah aku ? Menyesalkah kalian ?

-xoxo-


31 DIS 2010
Esok menjelangnya tahun baru tetapi aku memutuskan untuk membuat coretan sehari lebih awal. Beberapa jam dari sekarang, akan berbunyilah jeritan dan riuh rendah melaungkan ‘Selamat Tahun Baru’. Tahun hadapan pastinya berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Ini kerana aku sudah bersiapa sedia untuk menjadi insan yang lebih matang dan yang paling utama menjadi seorang khalifah yang mulia di sisi-Nya. Sudah ku siapkan segala perisai untuk menentang dan melawan godaan serta hasutan dunia kelam yang mendekatiku. Kalian juga seharusnya membuat perkara yang sama.

Ini kerana, semalam aku bermimpi :

Wahai hamba Allah, bersediakah kau untuk mengembara ke alam destinasi pilihanmu ?’’

Aku ternyata berpeluh-peluh dan terdiam dengan persoalan tersebut. Aku ditanya lagi oleh suara itu dan kali ini suara itu bertambah kuat.

"Wahai hamba Allah, bersediakah kau untuk bertemu penciptamu, yang kau dustakan janjinya dan yang kau tolak kebenarannya?"

Aku merangkak-rangkak dan meraba-raba dalam kegelapan itu, tiada apa-apa di sekelilingku melainkan segumpal tanah yang busuk dan kotor. Kehairanan ku mencapai tahap maksimumnya dan suara itu kembali berdialog.

"Wahai hamba Allah yang lalai, lihatlah segumpal tanah itu, tahukah kau bahawa penciptamu mewujudkan dirimu daripada segumpal tanah yang kotor dan busuk itu? Namun dengan kekuasaan-Nya terhasilnya kau ‘manusia’ yang sempurna. Meskipun aku dijadikan daripada cahaya tetapi sedarkah kau bahawa kau ‘manusia’ merupakan makhluk yang paling dimuliakan oleh-Nya?"

Mendengarkan itu, tahulah aku bahawa suara itu miliknya ‘Malaikat’ yang kembali bersuara,

"Wahai hamba Allah yang alpa, sedarkah kau bahawa penciptamu meletakkan darjat yang tinggi buat kamu semua wahai manusia. Kalian dicipta sebagai khalifah di muka bumi tetapi kalian semua telah menodai tanggungjawab itu! Kau juga salah satu daripada mereka, oleh itu ganjaran setimpal buatmu sedang menunggumu, bersediakah kau?"

Suaranya meninggi dan aku cuba berlari namun tidak ku temui pintu dan cahanya. Aku menangis dan teresak-esak memohon keampunan, ketakutan dan keinsafan berselubung dalam senubariku. Suasana sunyi seketika dan ketika itu jugalah suara itu kembali bersuara namun kali ini ia berbisik betul-betul di telingaku,

"Wahai hamba Allah yang kerdil, pulanglah kau ke jalan-Nya, pulanglah…"

Bisikan itu berulang-ulang hinggalah aku terlihatkan pintu bercahaya yang kemudiannya menjadi jalan keluar buat diriku. Aku tersentak dan terjaga, mimpi aku bukan mainan, ianya benar!

Bukan tujuanku mencoretkan semua ini untuk menasihatkan kalian tetapi sekadar mahu kalian menilai kembali arah dan pegangan hidup kita bersama di saat ini. Sejujurnya, hakikatnya manusia hari ini bertemankan hiburan, bersahabatkan duniawi, berkasihkan wang ringgit, dan mencintai dunia lebihnya daripada mencintai Allah. Sedarkah kalian?

-xoxo-


Perkara 4 : PULANG

1 JAN 2011
Selamat Tahun Baru ku ucapkan buat diriku yang baru, semoga tahun ini menjadikan ku seorang insan yang dimuliakan Allah dan aku memutuskan untuk menjadikan coretanku hari ini sebagai coretan terakhir. Ini kerana aku mula sedar bahawa kejujuran ku juga terbatas dalam mengekspresikan perasaan dan keinginan ku di dalam coretan peribadiku ini. Aku hanya bisa jujur dengan penciptaku dan aku hanya mampu meluahkan segalanya kepada-Nya. Aku sudah temui hidayahku.

Sejenak itu aku konklusikan coretanku ini:

Tuntutan ilmu yang berbelas tahunku tempuhi merupakan intipati yang bermakna buat hidupku. ‘Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad,’ itu satu kenyataan kerana dengan ilmu kita akan mati dengan penuh makna dan tidak sia-sia. Aku sedar dalam menuntut ilmu itu tidak pernah ada noktahnya. Oleh itu tuntutlah ilmu sepanjang hayat kalian kerana ianya merupakan perisai dan benteng kehidupan.
Sejarah dan falsafah yang kujadikan pengemudi hidup juga tidak akan mati kerana, ‘Sejarah akan terus bernyawa meskipun manusia yang menciptakan sejarah itu sendiri itu mati.’ Ini kerana aku insan yang begitu mencintai sejarah. Sampai bila pun sejarah akan sentiasa menjadi penyuluh masa depanku.
Aku sedari, solat itu tiang kepada setiap perkara. Ia satu-satunya perkara yang menjadi nakhoda buat aku dan juga kalian sebagai manusia yang kerdil yang hanya menjadi anak-anak kapal di atas dunia yang sementara ini.

Semoga kalian ketemukan cahaya dan hidayah-Nya. Hakikat yang tidak akan berubah bahawa jangan sesekali lupa bahawa ‘Dari tanah kita dijadikan, kepada tanah juga kita dikembalikan.’

"Ya Allah, jadikanlah cintaku kepada-Mu melebihi cintaku kepada dunia, harta, dan juga wanita…"

-xoxo- Amin…


Karya : Mohd Alif Abu Bakar / ‘suara pertama’
Tarikh : 25 Jun 2009 / 7.01 pm

9 ulasan:

  1. Tanpa Nama13/9/09 7:47 PG

    Slm..coretan di atas kiranya amat menyentuh hati n mmbawa keinsafan. Aku juga seorg ex-student kat IPTA. dulu...aku xsbr sgt nak hbs bljr ni. Yela...tension tgok buku je bertahun2 lamenye. Alhamdulillah..aku bnsb baik. rzki aku mrh, xsampai berbulan mggur, aku keje. Lps keje ni la baru aku rs azabnya dunia sbnr. aku sgt merindui zmn2 aku jd student dulu. ha3. padan muke aku. Tp pnls dah keje ke?

    BalasPadam
  2. hohoh..
    nice job!
    ramai yg ckp cm2..tyme jdi stdnt ne..waktu pleng bes..
    ye ke???
    suffer dowh...tp xpe..nie sume exprnce
    may Allah bless :)

    BalasPadam
  3. wowwww
    i like this
    memberi pengajaran kpd stiap orang yg membacanya
    ayat pun best2...

    BalasPadam
  4. salam...
    betul tu...
    zaman yang paling aku rndui adlh time aku
    bljr IPT...
    x tau la bile lg aku dpt nkmati pkare tu lg...

    BalasPadam
  5. nice..lain dari yang lain..
    sedikit keinsafan dan pengajaran u pmbaca..
    gud job writer..

    BalasPadam
  6. gd job writer...
    byk pengjaran yg aku dpt dri ksh ni.membuatkan yg alpa n leka berada d dunia realiti.dunia hny pnjaman...yg kekal adlh di alm sne.congrate writer...
    idea y mnarik dgn memaparkn kisah2 cam ni.

    BalasPadam
  7. jgn cinta dunia..
    letak dunia kat tgn je..
    paham ke tak??huhu

    BalasPadam
  8. suke cite camni
    tahniah

    BalasPadam
  9. alhamdulillah kerana suka akan karya saya... saya tak sedar pun karya saya disiarkan di sini... saya pun student IPTA... masih lagi belejar di tahun akhir... :P

    BalasPadam

TINGGALKAN ULASAN DAN KOMEN, PADA SETIAP KARYA YANG ANDA BACA Penulis memerlukan ulasan dan komen, bagi memperbaiki penulisan dan memperbetulkan kesilapan. Komen dan ulasan anda akan memberi satu semangat kepada penulis, untuk terus menulis karya dan seterusnya menghasilkan karya yang menarik. Kerjasama & sokongan daripada pembaca amat kami hargai. Sebab itulah kami menyediakan HADIAH, sebagai penghargaan kepada penulis dan juga kepada pembaca yang aktif memberi komen & ulasan