Jumaat, Mac 20, 2009

Cerpen : Diari Cinta

Nama Pena : Zahar

Apa yang aku tahu tentang dia? Tidak banyak. Namanya, umurnya, hobinya, dan tempat tinggalnya, mungkin pekerjaannya. Keluarganya? Dari suratnya aku hanya tahu dia punyai seorang kakak (atau adik). Berapakah bilangan adik beradiknya, masih punya ibu dan ayahkah dia? Aku tidak tahu. Dari mana kutahu latarbelakangnya yang sedikit ini? dari lewat warkahnya. Aku boleh untuk tidak mahu percaya pada patah baris ayatnya, kerana dia mempunya satu per dua peluang untuk berbohong. Aku boleh juga untuk percaya kerana dia mempunyai satu per dua peluang untuk tidak berbohong. Akhirnya aku memilih untuk percaya. Siapa pula yang mendesak aku untuk percaya? Tiada siapa. Hati tidak mendesak, fikiran pula tidak memaksa. Selama perkenalan ini, tidak pernah aku berjumpa dengannya. Aku tidak pernah terfikir sekiranya jarak tempat tinggal kami ini boleh di jangkau dengan kereta atau bas, adakah kemungkinan untuk kami mengatur pertemuan. Tidak pernah aku berkhayal sejauh itu kerana aku tahu realiti kehidupan antara aku dan dia, jika dapat dihubungi dengan kapal terbang sekalipun kami tidak mampu menyediakan tambang semata-mata untuk berjumpa. Maka, percintaan kami bermula dengan bajet yang murah, berlatarbelakangkan angan-angan dan impian. Di lokasi tidak serupa tetapi tercantum di alam yang sama. Alam siber.

Apakah kalian yang membaca tulisan ini menganggap aku perempuan murah sekiranya aku yang terlebih dahulu mencanangkan rancangan untuk bercinta. Atau, apakah kalian menganggap aku hilang akal kerana baru sepuluh minit bersua cerita, akulah yang menawarkan diri supaya dijadikan teman wanita.
"kamu ada teman wanita?"
"Tidak ada."
"Mahu jadi teman lelaki saya?"
"Hmm, boleh juga. Kenapa tiba-tiba?"
"Sepi."
"Owh.."
"Kawan-kawan semuanya sibuk dengan teman masing-masing."
"Oh.. jika begitu mulakan dari awal.."
"Boleh berkenalan?"
"Saya Chimi, asal Thimpu, Bhutan.."
Dari situ segalanya bermula.

Sedangkan, selama ini aku begitu menjaga keterbatasan sebagai seorang gadis, gadis yang bercita-cita untuk menghadiahi cinta pertamanya kepada suami. Sebelum ini aku tidak betah menegur mana-mana lelaki walaupun dikelilingi mereka, melainkan atas dasar kerja. Terserah pada kalian untuk menilaiku. Hmm, dia mengisi kekosongan hati, dalam kepalsuan dunia alam siber aku mengambil keputusan untuk mempercayai dia. Lantaran aku seorang gadis yang suka berhadapan dengan cabaran, aku terlebih dahulu berfikir mengenai risiko. Bagaimana jika dia menipuku? Alangkah peritnya nanti. Tetapi aku sedar bahawa percintaan kami ini tidak mempunyai halatuju untuk ke jinjang pelamin. Percintaan ini termaktub atas dasar untuk mengisi kekosongan hati dan menjaga hati masing-masing daripada terjerumus ke lembah cinta yang benar. Seandainya masing-masing mempunyai pilihan, dengan sendirinya ikatan di alam maya ini terputus. Oleh itu tidak menjadi masalah sekiranya peribadi dipalsukan.. aku boleh saja menipu dan dia bebas juga berbuat demikian. Walaupun begitu, aku tidak berbohong selama berhubungan dengannya. Kukatakan yang benar, kukisahkan kebenaran, soal hidupku di sini, cerita hati dan cerita diri sendiri. Dalam merekacipta dunia percintaan yang tidak mencecah alam nyata, kerap kali kami berpesan-pesan supaya tidak mengambil serius kata bicara romantis yang sengaja kami selitkan dicelah-celah baris ayat.
"Dear, baru balik kerja tentu penatkan?"
"Betul la, di sini suhu mencapai negatif darjah celcius..masakkan untuk saya boleh?"
"Boleh saja... tom yam campur panas okey tak?"
"Apa sahaja yang awak buat saya sentiasa okay...tom yam itu apa?"
"Hahaha... Nanti sayang rasa tau."

Namun benarlah kata pujangga, cinta bisa hadir tanpa suara. Aku mula merindui surat-suratnya, aku mula gelisah jika tidak menatap warkah pendeknya. Hati cepat meradang kira sepotong nama tidak muncul di laman sembang, senang bermurung sekiranya warkah lewat tiba, tidak melampau untuk kuakui bahawa aku juga sudah berani menggambarkan keselesaan berada di dalam pelukannya. Aku terjerat. Aku dilanda kerinduan. Adakah dia mempunyai perasaan yang sama? Ah, aku tidak tahu. Walaupun dia tidak berperasaan, tidak dia aku persalahkan. Inikan cuma mainan semata? hanya aku yang gagal mengawal hati sendiri. Walaupun kerap dia melafazkan kerinduan dan kata sayang, itu cuma bicara cinta yang dibuat-buat. Dalam diam aku menyimpulkan, bahawa aku tewas dalam permainan ini, kerap juga aku berdoa dengan serius supaya dia juga merana kerana merinduiku. Aku jahat bukan? Ya, aku tidak tahu sejauh mana orang gunung itu merindui ku sehinggalah empat tahun perkawinanku dengan suami. Empat tahun lalu aku tewas melindungi hati daripada cinta buatanku, aku tewas dengan kata-kata teman lelaki siberku yang romantis dan begitu mengambil berat. Walau tidak pernah bertemu, walau jarak terpisah oleh gunung ganang, ia tidak menghalang cinta dari mekar..dari mana punca benihnya aku tidak tahu tetapi ciri-ciri orang bercinta telah wujud dalam diri buat pertama kali, sejak aku bersamanya.

Seringkali aku melempiaskan kebencian kepada lelaki gunung itu kerana berdiam diri, hilang jejak setelah aku berumah tangga. Aku tidak menipu dan telus pula bercerita bahawa sudah tiba masanya untuk aku berkongsi bumbung dengan lelaki pilihan keluarga. Tidak salah sekiranya dia terus menghubungiku sebagai teman selepas ucapan tahniahnya kepadaku, serta diakhiri dengan sebuah harapan untuk bertemu di alam nyata. Tetapi hilangnya terlalu lama .. terlalu lama sehinggakan tahun demi tahun berlalu. Tiada nilaikah kewujudan aku dalam mengisi ruang hidupnya, walaupun hanya sekadar satu permainan? Bagiku, dia amat bermakna..kerana dia mengisi sejarah seorang aku. Barangkali, permainan ini sekadarnya sahaja baginya, kerana itu dia betah untuk menyepi dan lenyap begitu sahaja. Seringkali tika waktu senggang tiba aku terfikir bagaimanakah keadaannya di sana, masih bernafaskah dia di bumi Tuhan ini atau sedang berbahagiakah dia tanpa pengetahuanku. Walaupun aku terlebih dahulu memulakan langkah pertama ke alam dewasa, dia juga perlu berlaku adil terhadapku dengan mengkhabarkan hari bahagianya. Aku masih berharap akan khabarnya..

Di daerah pergunungan empat tahun kemudian, tanpa diketahui sang wanita, air mata sang lelaki itu mengalir panas mengaliri pipi yang sejuk akibat tempias suhu Himalaya. Dia tidak tahu air mata itu untuk apa. Empat tahun lalu, seorang gadis yang berani menawarkan cinta telah menghangatkan dunia salji Negara Bhutan dengan bunga-bunga cinta yang melata subur di suhu khatulistiwa. Mereka berkhayal tentang dunia serta melayari kehidupan bersama-sama, jua saling meluahkan keletihan di kala hari hampir ke penghujung. Terasa gadis itu prihatin kepadanya dari jauh, dia boleh tidak menuruti kata-kata gadis Malaysia itu tetapi sebaliknya, sketsa ini bukan paksaan. Dari ayat-ayat yang membarisi surat, gadis itu bimbang tentang makan minumnya, sakit peningnya. Dua minggu di hospital cukup membuatkan teman wanita sibernya bimbang. Dari warkah-warkah yang tidak sempat di balas..dia tahu betapa risaunya wanita siber kepadanya. Dalam kepenatan, dia membelek gambar-gambar kiriman, terkenang saat-saat gadis itu ketika menjadi ‘miliknya’..sering sahaja dia mendapat hadiah daripada Malaysia, dan selalu juga dia mengirim poskad serta cenderamata dari pergunungan. Ramai kenalannya di seluruh dunia lantaran pekerjaannya sebagai pemandu trek, tetapi tidak seistimewa gadis siber ini. Saat ikatan mereka terlerai (kerana gadisnya berpindah milik kepada lelaki di alam nyata), terasa sesuatu yang tidak kena pada hatinya. Beberapa minggu lalu selepas empat tahun berdiam diri, gadis itu ada mengutusinya, meminta supaya dikirim kembali gambar-gambarnya, namun dia menolak dengan baik. Terasa jantung disentap tatkala permintaan itu diluahkan. Sekiranya dia mengembalikan kepingan foto itu, tiada lagi penyeri di kamar ini. Ah, alangkah dia juga merindui.. namun tiap lewat bingkisan dia bertindak sebagai seorang lelaki budiman, menasihati supaya gadisnya setia dan patuh kepada suami.

Gadis itu juga pernah bertanya, apakah dia sudah punyai teman wanita..
"Aku tidak ada."
"Ahahaha, gadis sebelah rumahmu bagaimana? setiap hari dia mengintaimu."
"Kamu pandai bergurau. Betul, tidak ada. Minta maaf aku tidak dapat kembalikan gambarmu. Ini kenangan."
"Kenapa tidak berkahwin sahaja, senang hati. Mahu jadi sami?"
"Aku tidak sanggup menukar gambarmu dengan perempuan lain."
"Tipulah..sudah empat tahun."
"Aku rindukan kamu..."
"Jangan berlakon lagi kawan..."
"selepas kamu berkahwin, terasa kehilangan."
"Betul?"
"Ya."
"Mengapa kita serupa."
"Jaga suami sebaiknya."
"Ya.Saya cuba."

sejujurnya, sehingga ke hari ini dia tidak mampu menukar ganti foto yang berada di dalam album mininya, dan juga lambakan perasaan kasih yang bersarang di dalam dirinya kepada orang lain. Gadis Malaysia itu telah memberi kehangatan pada seorang lelaki di bumi beku ini lewat tahun-tahun yang lalu. Dalam diam dia mengiyakan doa gadis itu, bahwa keihklasan dalam persahabatan istimewa ini bakal diakhiri dengan pertemuan. Chimi menutup album, tubuhnya direhatkan ke katil bujang, setelah dua minggu mendaki gunung terasa diri dihambat lelah. Cutinya cuma seminggu dan selepas ini dia perlu mengabdikan diri kepada buddha, bermeditasi di tempat yang hening untuk menjernihkan fikiran dari bayangan dunia. Aktiviti itu sudah sedia maklum oleh kekasih sibernya lewat hubungan mereka, dan wanita itu tidak lagi bimbang membabi buta. Sebaik sahaja selesai melakukan tugas-tugas luar dan kerja-kerja ibadat terus sahaja dia mengutus berita. Lucunya, mungkin saja teman wanitanya sengaja mencipta suasana, mereka-reka cerita mengenai ‘kebimbangannya terhadap sesorang kekasih’ tetapi dia tetap juga percaya. Kerana itu, dia bertindak balas seolah-olah kebimbangan gadis itu bukanlah olok-olok. Sehingga ke hari ini, Chimi percaya teman wanitanya itu mengasihinya seperti mana dia. Sekali pun sekiranya tidak benar, dia tetap juga meyakini. Cinta itu misteri, membenarkan keraguan dan khayalan, cinta itu tenaga yang tidak binasa.

17 ulasan:

  1. sory...i xbp phm la..xdpt nk abiskan bce..pening...pd pndapat i je...org len xtaula...

    BalasPadam
  2. aku xphm sgt cte neh,,
    haisshh...

    BalasPadam
  3. story nie ok... wanita dan chimi tu sbnarnya tak berani meluahkan perasaan masing2. tu jer...

    BalasPadam
  4. ni cite ape sebenanye??
    pening @_@

    (:~D)
    ske komen

    BalasPadam
  5. hehehe...
    bile bace style ayat penulis nie. terasa mcm membace cerpen di dalam dewan masyarakat zaman dulu.
    agak berbunga dan berpuitis..
    muwehehehehhehe~

    p/s: i x bace abeh pun. sebab mcm ayat skema aje~ :p

    BalasPadam
  6. ctew nie ngantoks r.. ayatnyew pajang sgat.. kalo wat mcam gurau2 maybe best ckit...
    anways keep up..
    gud luck..chaiyok

    BalasPadam
  7. betol turr syarimoney!!!!!!!!

    x bleh nak habiskan x faham dng citer ni.....

    saya mohon maaf kalau penulis terasa.....


    usahakan lagi yerkkk

    BalasPadam
  8. nak tanya penulis, u menulis atas dasar pengalaman sendiri atau apa yg terlitas, itu yg u tulis? mula2 baca i ingatkan kisah u. oh what ever... antara lima i bagi 2** je. keep it up!

    yg suka mengomen

    BalasPadam
  9. citer ni mcm best..
    tp pelik cket..
    mmg bhse mcm zman dolu2...
    pening cket la..heheh...
    wlau pepon..truskan brkrya..hehehe..

    BalasPadam
  10. xjadi baca sbb koruk komen cntuuuu.
    dh la aq tgh pening ni...
    next time k aq baca

    BalasPadam
  11. i think this novel is owhkeyh
    larh....not bad...anyway..dont give up owhkeyh

    BalasPadam
  12. dek! x best r

    BalasPadam
  13. Tanpa Nama29/3/09 2:10 PG

    best. mendalam maksudnya

    BalasPadam
  14. setiap perenggan terlalu panjang.... penin nak banyak. tapi best.. keep it up!

    BalasPadam
  15. Tanpa Nama5/4/09 2:03 PG

    muhahaha...aku xpaham...

    BalasPadam
  16. Tanpa Nama7/2/10 5:27 PTG

    ermm...mmg pernah terjadi percintaan ciber walaupon banyak diperkatakan orang ramai bahawa ianya hanya penipuan belaka. Cerpen ni punye ayat pada mula2 nye aku xbape nk paham..agak berbelit n serabut.

    BalasPadam
  17. org yg mengomen kat atas mungkin dr gen Y... cerpen ni mungkin hanya difahami oleh generasi X.. yg belajar bahasa melayu tinggi yg masih belum tercemar.. maaf, tapi bahasa melayu sekarang (yang digunakan oleh gen Y) sangat rendah mutunya.

    BalasPadam

TINGGALKAN ULASAN DAN KOMEN, PADA SETIAP KARYA YANG ANDA BACA Penulis memerlukan ulasan dan komen, bagi memperbaiki penulisan dan memperbetulkan kesilapan. Komen dan ulasan anda akan memberi satu semangat kepada penulis, untuk terus menulis karya dan seterusnya menghasilkan karya yang menarik. Kerjasama & sokongan daripada pembaca amat kami hargai. Sebab itulah kami menyediakan HADIAH, sebagai penghargaan kepada penulis dan juga kepada pembaca yang aktif memberi komen & ulasan