Nama Pena : cieutnizar
Aku bersolek seadanya, cukuplah dengan meletakkan bedak asas dan gincu bibir. Namun kecantikan yang aku miliki ini tetap terserlah walaupun dengan solekan nipis. Aku memakai kebaya labuh berwarna biru lengkap dengan selendang dan semestinya tudung di atas kepala aku. Semua ini pemberian ibu mertuaku kerana hari ini ada "majlis istimewa".
"Hmm, cantik juga aku ni," sambil berpusing-pusing di hadapan cermin.
Aku tergelak kecil. Perasan pula. Ketika ini aku masih mampu bergelak tawa sedangkan jika wanita lain yang hadapi situasi macam aku ini semestinya sudah menangis, dan mungkin juga meraung. Aku hanya mahu menghiburkan hatiku yang tidak keruan ini. Hanya ini yang mampu aku lakukan.
Saat aku melangkah keluar dari bilik, aku lihat ramai orang yang menantikan kepulangan teruna dan dara yang menjadi raja sehari pada hari ini. Rumah banglo ini juga dihiasi begitu indah sekali. Situasi sekarang sangat meriah. Kebanyakan wajah di dalam rumah ini langsung tidak ku kenal. Aku tersedar dari lamunan setelah terdengar namaku dipanggil berulang kali. Rupa-rupanya Tok, ibu kepada bapa mertuaku memanggil aku duduk di sebelahnya.
"Aishah macam mana? Sihat? Erm cantiknya Aishah hari ini," kata Tok setelah aku duduk di sebelahnya.
" Hari ini je ke Aishah cantik.. sebelum ni x cantik ek?. Aishah sihat, Alhamdulillah…,Tok sihat?" aku cuba berseloroh sambil tersenyum dengan gurauan Tok sebentar tadi.
Apa yang dapat aku rasakan, Tok seolah-olah ingin meneka apa yang tersirat di hatiku sekarang ini. Tok, selamanya Aishah akan simpan dalam hati. Biarlah rahsia. Biarlah Aishah yang tanggung sendiri semua ini. Aishah tidak berhak untuk semua ini terutama untuk memiliki cinta dan kasih sayang daripada insan yang bernama Zaharul Rafiq. Aishah sedar siapa diri Aishah ini…
Paluan kompang dari luar rumah sudah berbunyi menandakan raja sehari sudah tiba. Berdegup kencang jantungku seperti aku menamatkan larian 100 meter. Kalau boleh aku ingin lari, bukan 100 meter tapi beribu kilometer dari sini untuk jauh dari situasi yang menghukum hati aku ini.
"Sabar ye, cu," kata Tok sambil mengurut belakang badanku.
Lidahku kelu namun aku hanya mampu untuk senyum. Ikhlaskah senyumku? Ikhlas tapi jauh. Tetamu-tetamu di dalam banglo ini menuju ke luar untuk melihat pasangan raja sehari. Tegarkah aku untuk keluar dan melihat suamiku, Zaharul Rafiq dan Erny Yusrina, merangkap madu aku di pentas persandingan? Kuatkah aku untuk hadapi situasi ini? \"Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dan ketabahan kepada hamba-Mu ini. Dugaan yang Kau berikan ini sungguh berat, sehingga kadang-kala aku tidak mampu menghadapinya. \"
Aku gagahkan kaki untuk melangkah. Aku terdengar ramai orang memuji pengantin bagai pinang dibelah dua. Saat aku melihat sendiri, aku setuju. Suamiku begitu kacak dan segak dan maduku juga tersangat cantik. Sama cantik sama padan. Bagai langit dengan bumi jika dibandingkan Erny Yusrina dengan aku. Saat itu terlintas di hati aku, Erny seperti pelakon terkenal Hollywood, Keira Knigtley yang cantik, tinggi lampai, kurus, gebu dan seksi walhal aku hanya sekadar ala-ala pelakon yang baru melonjak naik namanya, Tiz Zaqyah Razak. Aku tersenyum nipis. Macam mana boleh terfikir sejauh itu. Nur Amina dalam drama Nur Kasih pula tu. Aku masih berusaha untuk memujuk hati aku ini.
Aku fokuskan kembali mata aku ke arah pelamin. Aku bertentangan mata dengan suamiku. Cepat-cepat aku alihkan pandangan mataku ke tempat lain. Aku tidak sanggup lagi untuk terus menyaksikan pasangan itu dan terus meluru masuk ke dalam rumah. Abang, Aishah doakan abang bahagia. Aku menangis dalam hati…
Aku cemburu. Walaupun aku kahwin dengan abang bukan kerana saling mencintai atau atas dasar suka sama suka tetapi aku mencintainya. Aku jatuh cinta padanya setelah lafaz akad terhadapku dilafazkan. Aku tahu abang tidak pernah mencintai aku dan aku juga tahu tiada secubit pun perasaan sayangnya terhadap aku. Sejak aku kahwin dengan abang, abang tidak pernah melayan aku dengan baik. Ada sahaja yang tidak kena di mata abang.
"Aishah Illyani... apa kau buat tu?" Tinggi nada suara abang mengejutkan ketika aku sedang leka melihat foto-foto di dalam albumnya.
Dengan terketar-ketar, aku menjawab.. "hmm aaa… Aiss… Aishahhh hurmm"
"Aishah apa?!! Nak jawab tu pun lembab.. memang layak laa kau jadi pelacur!!!" katanya yang membuat mataku bergenang. Hampir menitis. Bertahan ya Aishah.
"Aishah.. Aishah kemas barang-barang ni.." masih tersekat-sekat.
"Apa yang aku pesan pada kau?!"
"Hmm jangan sentuh barang-barang dalam bilik ni terutamanya barang abang.." aku masih segala pesanannya pada malam pertama kami. Aku tidak boleh mengganggu privasinya, menyentuh barang-barangnya, tidak boleh campur segala urusannya, dia tidak akan sesekali meyentuh aku dan aku tidak dibenarkan menyentuhnya. Jijik katanya dengan tangan aku ini. Tangan pelacur... Tetapi, kenapa dia yang datang untuk cuba mencabul kehormatan aku... di sini..??
"Habis tu? Apa yang kau buat tadi? Pesanan aku yang mudah macam tu pun, kau tak faham? Dungu sangat ke kau ni haa? Padan laa kau ambil jalan mudah hendak kaya…jadi GRO" Marahnya lagi sambil merenung tajam ke arah aku.
"Mana ada.. Aishah cuma kemas barang-barang ni je laa.. Aishah tengah bersihkan album-album abang daripada habuk..itu je.." lancar. Entah mana datangnya keberanian untuk melawan kata-kata tadi.
"Berani kau melawan ya.." Pangggggg… sekali lagi tamparan kuat tenaga jantan abang hinggap di pipi aku. Aku terjelopok jatuh ke lantai. Darah mengalir di tepi bibirku. Pedih. Air di kelopak mata yang aku tahan tadi, tertumpah juga.
Siapa yang mahu menerima pelacur dalam hidupnya? Tapi itu bukan kehendak aku. Aku diculik untuk dijadikan sebagai pelayan di kelab malam ketika aku sedang berjalan kaki ke pejabat pos untuk menghantar borang permohonan ke universiti. Aku sendiri tidak rela untuk memberi layanan kepada jantan-jantan yang "kehausan" dan bernafsu binatang. Aku sentiasa mengelak semasa bekerja di situ. Aku sering menyembunyikan diri sama ada di dalam tandas atau di dalam bilik. Aku dimaki dan dipukul oleh pemilik kelab malam itu sendiri. Aku rela dimaki, diherdik, dipukul dengan teruk daripada memakai pakaian yang mendedahkan auratku dan melayan lelaki-lelaki durjana di kelab itu. Beberapa kali aku cuba untuk melarikan diri dari kelab malam itu. Kali pertama dan kali kedua gagal menyebabkan aku hampir menemui ajal kerana dipukul oleh belasan orang.
Namun, umur aku masih panjang. Aku melarikan diri sekali lagi dan kali ini aku berjaya. Syukur, kesucian dan \'mahkotaku\' masih terpelihara. Ketika inilah, bapa mertuaku menyelamatkan aku dengan membawa aku ke rumah banglo ini. Aku ceritakan segala-galanya pada mama, papa, Nazirah, adik iparku dan juga Mak Jah, pembantu rumah di rumah ini. Alhamdulillah semua boleh menerima aku seadanya kecuali abang. Sebelum aku dihantar pulang ke Rumah Bakti, sesuatu telah berlaku dan mengubah segalanya.
Tidak pernah aku terfikir untuk berkahwin dalam usia 19 tahun ini. Pada usia sebegini, aku sepatutnya berada di institut pengajian tinggi untuk terus menuntut ilmu atau menikmati usia remaja dan bukannya berada di dalam rumah sambil menunggu kepulangan suami. Abang dipaksa berkahwin dengan aku setelah abang cuba mencabul kehormatan aku di dalam rumah banglo ini. Aku tersepit, hanya redha dengan ketentuan. Perkahwinan ini menyebabkan abang bertambah benci dengan aku. Setelah hampir 2 bulan mengahwini aku, abang membuat keputusan untuk berkahwin lagi dengan pilihannya sendiri..Erny, graduan University of Nottingham merangkap model terkenal sekarang ini. Aku memberi keizinan. Dalam rela, aku terpaksa.
Malam menjelma. Tetamu yang ramai tadi telah beransur-ansur pulang. Aku kurungkan diri dalam bilik Mak Jah. Malam ini abang akan menikmati malam pertamanya sedangkan aku berendam air mata di bilik ini. Aku tidak sanggup berlakon lagi. Berlakon kononnya aku sangat professional untuk menyaksikan persandingan suami sendiri. Sedangkan jika diselami hati aku ini, hanya Allah saja yang tahu. Lakonan aku pun tidaklah sehebat dan semantap lakonan Vanida Imran, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2007.
Aku mula memikirkan perjalanan hidupku selepas ini. Adakah aku akan diceraikan? Kalau aku diceraikan, ke mana hendak aku pergi? Rumah Bakti? Umi, pemilik rumah anak yatim ini sudah haramkan aku untuk jejakkan kaki di rumah yang aku tinggal dari kecil lagi. Semuanya kerana fitnah. Fitnah yang mengatakan aku bekerja sebagai pelayan di kelab malam adalah dengan kehendak diriku sendiri. Aku tidak mampu untuk membela nasibku sendiri di hadapan Umi.
Aku sedih. Aku anggap umi seperti ibu kandungku sendiri. Umi yang tahu sikap dan tingkahlaku aku sebelum ini, sanggup mempercayai kata-kata orang lain. Pada siapa hendak aku bergantung harap? Pada suamiku ini? Jauh sekali. Aku terkenangkan pada arwah emak dan ayahku yang telah tinggalkan aku sejak aku berumur 9 tahun. Kalau mak dan ayah masih ada di dunia ini, mesti nasibku tidak seburuk ini. Aku boleh melanjutkan pelajaranku ke menara gading dan mak, ayah juga yang memilih dan menetapkan jodoh aku. Mak ….ayah…..air mataku mengalir laju.
Aku tidak dapat menahan lagi. Tekanan yang aku terima sudah memuncak dan aku tidak tahu untuk luahkan pada siapa. Hanya Allah tempat aku mengadu nasib. "Ya Allah, hamba redha dengan ketentuan-Mu, jauhilah hamba dari berasa tidak bersyukur ini, cuma hamba mohon pada-Mu ya Allah, berilah hamba kekuatan untuk hamba harungi hari-hari yang mendatang yang penuh dengan dugaan-Mu dan penuhkanlah hati hamba dengan kesabaran yang tidak pernah putus," doa aku dalam hati. La Tahzan, Nur Aishah Illyani...
Semua itu berlaku setahun yang lalu namun masih segar dalam ingatanku.
Kini, aku terlantar di wad hospital. Aku terlantar di hospital bukan seperti wanita yang dinikahi yang lain. Bukan kerana mengandung, melahirkan anak mahupun keguguran. Aku dimasukkan di hospital ini kerana dipukul oleh suamiku sendiri. Aku kehilangan banyak darah dan luka-luka di belakang badanku terasa amat pedih akibat dipukul dengan tali pinggang. Sampai hati Erny menuduh aku mencuri rantai emas putihnya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana rantai itu boleh berada di dalam almari aku. Abang pula memukul aku sebelum sempat aku memberi penjelasan. Sakitnya tidak dapat diungkapkan. Pilu hatiku mengingatkan kejadian itu. Namun, aku tetap bersyukur kerana pada saat ini aku masih tidak "dilepaskan". Inilah yang paling aku takuti kerana aku sebatang kara di dunia ini. Tiada sesiapa. Syukurku juga kerana mama, papa, Nazirah mempercayai aku tidak mencuri rantai itu.
Selepas doktor memeriksa luka di belakang badanku, Nazirah datang melawat aku. Dia datang dengan satu berita. Berita yang mengejutkan. Setelah aku mendengarnya, aku sendiri tidak pasti sama ada berita itu berita baik atau buruk. Aku tidak dapat menipu perasaan aku. Air mataku mengalir perlahan…
Petang itu, abang datang melawat aku. Berdebar-debar jantungku. Hatiku resah. Mungkin abang akan ungkapkan sendiri di hadapanku untuk lebih sah dan sahih. Bergenang air di kelopak mata aku.
"Erm …aaa..bangg", tersangkut bicaraku.
"Maafkan abang", sejuk hati aku mendengar abang membahasakan dirinya abang kepada aku. Mungkin ini kali pertama dan kali terakhir. Aku semakin takut untuk berhadapan dengan realiti.
"Tak ape abang, bukan salah abang, Aishah redha mungkin…".
"Shhhh, jangan sebutkan lagi. Abang akan rasa semakin bersalah", katanya memotong bicaraku. Muka abang yang aku lihat sekarang sangat serius. Semakin serius semakin kacak suami aku ini.
"Nur Aishah Illyani, berikan abang kesempatan untuk merasai ketulusan, kejujuran dan keikhlasan kasih mu?", tiap patah yang keluar dari mulut abang mengejutkan aku. Tanpa ku sedari, air mataku mengalir. Aku terawamg-awang.
Terimbas aku dengan perbualan dengan Nazirah sebentar tadi. Nazirah memberitahu aku, sepanjang ketiadaanku di rumah, abang berasa sangat sukar. Sebelum ini, semua pakaian pejabatnya, makanannya, aku yang sediakan. Malah aku juga yang kejutkan abang dari tidur untuk bersiap ke pejabat. Sedangkan Erny hanya goyang kaki sahaja kerana semua kerja sebagai seorang isteri, aku yang lakukan. Abang mula fikirkan kepentingan aku dalam hidupnya. Tanpa sedar, dia sudah "jatuh sayang" terhadap aku. Semakin dia cuba menidakkan, semakin dia dekat dengan aku.
"Aishah, abang sedar selama ini abang tidak pernah menghargai Aishah malah abang layan Aishah dengan teruk sekali. Tapi sebenarnya, sudah lama abang mencintai Aishah tapi abang cuba menidakkan. Makin abang menidakkan, makin tebal cinta abang pada sayang. Abang tidak sanggup lagi menipu perasaan abang dan abang tidak sanggup untuk kehilangan Aishah. Ampunkan segala dosa abang pada Aishah..", panjang bicaranya setelah melihat aku hanya diam, sepi seribu bahasa.
"Aishah… Aishah sudi, abang…tapi dengan syarat..", kataku lancar.
"Syarat? Apa?"…suamiku dalam kebingungan.
"Abang maafkan segala dosa Erny, abang. Biarlah dia pergi dengan aman." Aku merayu. Mudahan abang tidak berdendam dengan Erny.
"Ya, ya.. abang maafkan segala dosa dia. Alhamdulillah.. isteri abang ni cantik luar dan dalam", puji nya sambil memicit kedua-dua belah pipiku.
"Terima kasih, abang…".
"Kenapa, sayang?", soal abang.
"Terima kasih kerana darah abang yang mengalir dalam tubuh Aishah", kataku yang mengingati cerita Nazirah bahawa abang menderma darahnya pada aku.
Nazirah juga menceritakan abang telah menceraikan Erny kerana Erny berlaku curang dengan meniduri bosnya sendiri. Erny menemui ajal setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas sahaja abang menceraikannya.
"Ya Allah, hamba mohon pada-Mu agar cinta kami kukuh seperti cinta Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan Muhamad dan Khadijah, " doaku dalam hati sambil memegang erat jari-jemari suamiku.
Abang…terimalah seadanya kasih Aishah untuk abang.
TAMAT.
Best juga cerita ni.....Sdh pun ada,tu la org lelaki bila dh kehilangan sesuatu yg berharga br nak cari...gud job utk penulis...
BalasPadamhaa betul2 best juga cite nie...harap penulis dapat menghasilkan citer2 yg baik selepas ini..
BalasPadamnurul 0_^
terima kasih..komen kalian amat diperlukan untuk saya memperbaiki mutu penulisan yang dihasilkan.
BalasPadampenulis Seadanya Kasihku, cieutnizar.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadambest... semoge terus sukses.
BalasPadamtau x pe..wktu de x nk hrgai..i2 lah insn bnme llki
BalasPadambtul, btul, btul..
BalasPadamciter yg ada nilai pengajaran..
fakta ada, moral cerita ada..
tahniah2! :)
part ending tu macam cerita yg br2 ni keluar..pasal suami yg x menghargai isteri gak..
BalasPadamtp ok la cte ni..
=)