Nama Pena : Ridhwan Zainudin
ENTAH mengapa aku rasakan hari itu aku begitu bersemangat untuk mencuba sesuatu yang jarang aku lakukan. Masuk ke dapur. Ya, dapur merupakan salah satu ruang di dalam rumah yang ingin aku hindari kecuali ketika waktu makan tiba. Bukan apa, bila ke dapur, ada sahaja yang akan ibu minta tolong. Kupas bawanglah, basuh pingganlah, lap mejalah dan banyak lagi. Seboleh mungkin jika ibu ada di dapur, aku akan cuba kurangkan melangkah ke sana.
Hari itu hujan turun renyai-renyai. Langit gelap dilitupi mega rona kelabu. Sekali-sekala bayu berhembus, menghantar sedikit kedinginan dalam tubuh. Ibu berada di dapur, sedang leka memotong buah mangga muda untuk dimasukkan ke dalam peti ais. Mangga muda memang kesukaan ibu. Apatah lagi bila dimakan bersama kicap dan gula. Enak!
Perlahan-lahan aku menghampiri ibu. Anak mata ibu sedikit mencerlung memandang aku. Pelik barangkali melihat bayang tubuhku di dapur ini. Ibu terus bertanyakan tujuanku dengan kiasan.
"Mimpi apa malam tadi sampai sanggup singgah ke sini? Mimpi dipinang anak raja?" perli ibu.
Aku tersipu malu apabila mendengar usikan ibu. Ah, ibu bila sesekali menyindir, memang menusuk tepat ke kalbu. Pedih dan perit. Lantas, tanpa banyak soal, aku menyatakan keinginan yang membuak-buak dalam hatiku ini.
Ibu terpana sebentar setelah aku memberitahu hasrat hatiku padanya. Jelas kelihatan riak terkejut pada wajah ibu. Namun perlahan-lahan dia mengukir senyum. Sebuah senyuman yang kutafsir sebagai satu persetujuan.
Ibu terus bangun lalu berjalan menuju ke almari kayu dua tingkat yang terletak bersebelahan dengan peti ais. Salah sebuah laci yang terdapat di dalam almari itu diselak. Sebuah buku tulis ibu keluarkan dan ibu melangkah semula menuju ke arahku. Ibu melabuhkan punggung di kerusi yang didudukinya tadi lalu helaian demi helaian buku itu dibuka.
Beberapa saat kemudian, tangan ibu berhenti dari meneruskan selakan. Ibu menyerahkan muka surat yang bertulis dengan tinta biru itu padaku. Tulisan ibu bulat-bulat hurufnya. Cantik dan jelas. Tidak seperti tulisanku yang berkerawit macam cacing.
Mataku seakan bersinar membaca isi kandungan helaian itu. Ibu bangun semula sementara aku meneruskan pembacaan. Buku resepi ibu ini mengandungi banyak resipi masakan dan aneka kek serta biskut. Mungkin ibu boleh menerbitkan sebuah buku masakan di kemudian hari, fikirku.
Telingaku menangkap bunyi pinggan mangkuk yang ibu keluarkan dari rak. Almari yang menyimpan bahan-bahan masakan turut ibu kuak. Seketika membaca, aku melepaskan keluhan. Berat pada pendengaran ibu.
"Kenapa?" tanya ibu.
"Macam susah je bu... tak jadilah," jawabku.
Ibu mengukir senyum sekali lagi. Ibu memang suka senyum. Sebab itu aku suka menatap wajah ibu. Tenang dan mendamaikan. Aku terasa bahuku dipegang lembut. Ibu seakan menyalurkan sedikit semangat padaku. Ibu kata, belum cuba belum tahu. Jangan terlalu cepat mengalah. Anak ibu semuanya kuat semangat. Lantas, aku mengangukkan kepala dan turut tersenyum, segera menyingkirkan gundah dalam jiwa.
Sebenarnya sudah lama aku ingin belajar membuat kek coklat. Kek coklat ibu adalah yang paling enak yang pernah aku rasai. Ibu suka letak coklat banyak-banyak, tidak seperti yang dijual di kedai. Sewaktu menyuarakan hasrat hati tadi, takut juga aku andai ibu menolak. Selebihnya, aku ingin belajar membuat kek coklat kerana seseorang. Seseorang yang membuatkan hatiku bergetar hebat ketika bersama denganya. Ah, aku tidak mahu berbicara tentang itu saat ini. Lebih baik aku fokus pada kek coklat yang bakal aku hasilkan sebentar lagi.
Aku lihat ibu sudah menyediakan bahan-bahan untuk membuat kek coklat di atas meja. Ada krim pekat, coklat masakan, mentega, gula pasir halus, kuning telur. putih telur, tepung gandum dan serbuk coklat. Semuanya ibu letak di dalam mangkuk yang berasingan.
Lantas ibu memulakan sesi pengajaran. Semua bahan-bahan kecuali kuning telur dan putih telur disukat mengikut gram. Ibu mengarahkan aku menimbangnya sendiri. Terkial-kial juga aku membuatnya. Maklumlah, liat ke dapur. Hai, sapalah yang bertuah dapat jadi suami aku nanti? Dapat isteri yang jarang ke dapur.
Usai menimbang, ibu meminta aku menyiapkan sebuah loyang pembakar. Loyang tersebut dilapis dengan kertas minyak lalu disapukan dengan mentega hingga rata. Sedikit tepung gandum ditabur dan turut diratakan. Kata ibu, supaya kek mudah ditanggalkan apabila masak nanti. Loyang pembakar itu kuletakkan ke tepi.
Ibu menyuruh aku memasukan krim pekat ke dalam mangkuk. Krim pekat itu dimasak menggunakan api yang kecil. Krim tersebut haruslah sentiasa dikacau agar tidak berketul, pesan ibu. Selepas itu, coklat masakan dimasukkan bersama-sama krim pekat tadi dan dikacau hingga sebati. Beberapa minit kemudian, sebatian itu diangkat dan diketepikan sebentar.
Tiba ke bahagian yang aku kurang gemari. Memukul tepung gandum. Aku meminta untuk menggunakan mesin pemukul tetapi kata ibu, memukul dengan tangan akan menghasilkan kek yang lebih sedap. Aku tidak pasti mengapa, malas untuk bertanya lanjut. Mentega dan gula pasir dipukul sehingga kembang. Kemudian, kuning telur dan putih telur dimasukkan sedikit demi sedikit sambil terus memukul adunan tadi.
Tepung gandum dan serbuk coklat dimasukan secara bergilir-gilir sambil terus memukul sehingga sebati. Sudah tentu tanganku lenguh. Mujur aku tidak berminat untuk membuat kuih bahulu. Pasti nanti tanganku seakan mahu tercabut dari badan.
Adunan krim pekat beserta coklat masakan tadi turut dimasukkan ke dalam adunan tepung gandum dan dikacau perlahan-lahan agar sebati dan halus teksturnya apabila siap dibakar nanti. Beberapa minit kemudian, adunan tadi dimasukkan ke dalam loyang pembakar dan diratakan.
Ibu membantu aku memasukkan loyang pembakar ke dalam ketuhar dan adunan kek tersebut dibakar selama lebih kurang 45 minit dengan suhu 180 darjah celcius lebih tinggi dari takat didih iaitu 100 darjah celcius. Sempat pula aku teringat istilah sains kala ini.
Setelah masak, adunan tersebut dikeluarkan dari loyang pembakar. Ibu bertanyakan cara untuk aku menghias kek coklat tersebut. Kataku, aku ingin menghiasnya dengan krim putih. Ibu mengeluarkan sebuah botol tin krim dari peti ais lalu diserahkan padaku. Aku, apalagi, mula menghiasnya sesuka hati.
Ibu menepuk bahuku perlahan-lahan dan mengucapkan tahniah padaku. Dapat kurasa mukaku merona merah. Nampak dari luar, cantik sekali kek coklat yang kubuat namun rasanya, biarlah ibu yang tentukan. Sudah pasti berbeza dengan air tangan ibu.
Aku mencapai pisau berdekatan dengan sinki lalu kupotong kecil sebahagian dari kek coklat itu. Aku suakan pada ibu dan dengan ibu menerimanya dengan senang hati. Sewaktu ibu memasukkan kek coklat itu dalam mulutnya, ada gelisah yang menerpa. Bimbang jika kek coklatku hangus atau pahit.
Menunggu ulasan dari ibu amat meresahkan. Ibu pula bagai sengaja mengujiku dengan mengunyah kek coklat itu perlahan-lahan. Sesudah menelannya, raut wajah ibu berubah. Kelat, mungkin kerana kek coklatku pahit. Ah, mengapa ada hiba yang menjalar dalam hatiku melihat wajah ibu yang seakan tidak gembira itu? Aku telah gagal dalam percubaan pertamaku.
Itulah, ibu suruh ke dapur selalu, aku tak nak. Degil kata ibu. Orang perempuan harus pandai memasak. Baru suami sentiasa sayang. Kata orang, hendak memikat hati suami, haruslah melalui masakan. Entah betul entah tidak, aku tidak tahu. Perlahan-lahan wajahku ditundukkan.
"Sedap!"
Mataku membulat mendengar ucapan yang keluar dari mulut ibu tadi. Serasa tidak percaya lantas kepalaku diangkat, merenung wajah ibu sambil mencari kebenaran dalam kata-katanya tadi. Nyata, ibu tidak berbohong. Pantas aku mencuit sedikit cebisan kek coklat tersebut.
Benar, walau tidak sesedap kek coklat buatan ibu, tetapi masih boleh dimakan. Manik-manik putih mula berladung di kolam mata. Segera aku seka dengan jemariku. Lantas, aku menerpa ke arah ibu lalu menghadiahkan sebuah kucupan di pipinya.
"Terima kasih ibu!" ucapku, gembira.
"Sama-sama. Hah, kamu tu bukannya tak pandai memasak, cuma malas saja. Lain kali, rajin-rajin ke dapur," ujar ibu.
Ah, sempat lagi ibu menyindir... Baiklah ibu, selepas ini aku akan selalu berada di dapur, bisikku dalam hati lalu tersenyum, girang!
membosan kanlah...rupa2 nya citer tergantung.
BalasPadamciter ape ni...nak mengajar cara-cara membuat kek coklat ehh...dan memberi kite kesedaran bahawa org pompuan mesti slalu pergi dapur ehhh...papepown okey laa..teruskan usaha
BalasPadamnurul 0_^
kenape cter dyer camni??la..inagtkan best td,,tajuk punyalah gempak..tak best lah,,
BalasPadamermmm bg la idea yg bernas... nape trgantung... ilangh mud nk bace :(
BalasPadamentahlah. ceritanya macam budak2 je. cara penggunaan ayat agak lambat. kalau macam ni lah cerita baik tulis dlm buku masakan. tapi boleh la. teruskan usaha anda .semoga berjaya. lain kali bt cerita yg lebih bagus drp yg ni.
BalasPadamkorang ni tak reti baca ke apa? ini cerpen naratif. x perlu dialog. mane ade t'gantung. bentuk cerpen ni mmang macm ni. aish, korang ni banyak sngat disogok ngan citer cinta, ni lah jadinyer.
BalasPadamto writer, congratz coz berani cuba bentuk tulisan begini. teruskan menulis! -fifi-
boleh thn...lame2 okla 2...
BalasPadambukan hilang mood, bukan tergantung...cume korg tuh bodoh...dah name cerpen nih kek coklat mesti la pasal kek coklat isinye...cerpen nih bukannye Cinta Kek Coklat....mangkuk btol pembace2 nih (jz a few)..
BalasPadambagus citer ni....
BalasPadambg pengajaran kt org pompuan...
zmn skrg tak ramai perempuan yg pandai buat kek...