Jumaat, Oktober 16, 2009

Novel : Penjara Rindu 30

Nama Pena : Nia Arissa

Farisya melangkah perlahan. Masih terlalu awal untuk dirinya terkocoh-kocoh. Langkah diatur dengan berhati-hati. Ruang pejabat Perwaja Berhad masih lagi lengang. Hari Isnin merupakan hari yang paling tidak digemari oleh para warga kerja kerana terpaksa menghadap longgokan baki kerja yang tidak selesai pada hari Sabtu.

Farisya menanti pintu lif terbuka, sambil matanya terarah ke bawah. Cuba mengemaskan diri. Dengan hanya berbaju kurung, sudah cukup untuk menaikkan keserian wajah milik Farisya. Ketika pintu lif terbuka, Farisya terus saja melangkah tanpa menoleh.

Bukk!!
Farisya merasakan kepalanya sedikit berpinar. Dirinya terlanggar seseorang yang ingin keluar dari lif berkenaan.
"Han ok ke?" suara itu kedengaran lagi. Farisya mendongak.
"Eh..er…Han ok…," Farisya cuba berlagak biasa. Tidak mampu untuk bertentangan mata. ‘Apasal aku cuai sangat ni…tak pasal-pasal dahi aku yang cantik ni dah kena cium dengan dagu dia…’ marah Farisya pada diri sendiri.

"Betul ni?" Farisya cuba melepaskan pegangan Aswad di lengannya. Tidak manis andai ada orang lain yang melihat. Mungkin akan mendatangkan musibah kepada dirinya kelak.
"Ermm… Maaf, Han tak perasaan ada orang dalam lif tadi,"
"It’s ok. As pun nak minta maaf sebab As pun salah juga," Farisya melirik wajah Aswad hanya dengan ekor matanya. Menanti pintu lif terbuka sekali lagi.

"Awal sampai? Selalu macam ni ke?" Aswad masih berada di sisi Farisya.
‘Ehh..bukan dia yang nak turun tadi ke?...kenapa masih tercegat lagi kat sini…’ Farisya berdoa agar Aswad cepat-cepat beredar.
"Er..awal ke? Biasa je kot," Farisya tidak mahu berterusan berbual bersama Aswad. Lidahnya kaku.
"Dah breakfast?" Farisya mengangguk. Bibirnya terkunci rapat. Dirinya merasakan lif begitu lambat sekali bergerak.
"Ohh..ingatkan nak ajak Han breakfast sekali. Kalau macam tu tak pe la. Nak kirim apa-apa?" Aswad cuba mengajak Farisya berbual. Dirinya sedar yang Farisya bukan lagi menjadi miliknya, namun tidak salah seandainya mereka masih terus berkawan.

"Tak payah la susah-susah. Saya pergi dulu," Farisya pantas mengambil kesempatan apabila ternampak pintu lif terbuka. Aswad hanya mampu tersenyum. Perangai Farisya memang sudah jauh berubah. Tetapi hati kecilnya terdetik. Mengapa Farisya cuba menjauhi dirinya? Hatinya berteka-teki.

Farisya menyandarkan tubuhnya diatas kerusi empuk. Cermin kecil diambil lalu dihalakan ke wajah. Dahinya kelihatan sedikit merah. Mungkin kesan dari perlanggaran tadi. Kerana terlalu cuai, dahinya juga yang menjadi mangsa. Diletakkan kembali cermin kecil ke dalam laci. Terpaksa akur dengan keputusan pihak pengurusan yang mahukan khidmat dari Aswad.

Farisya membuka emailnya namun tiada satu pun emailnya dibalas oleh Anisa. Sudah agak lama Anisa menyepikan diri. Farisya beralih ke meja sisi. Beberapa helaian dokumen di susun dengan rapi. Kertas cadangan dan sebut harga yang telah di faks kan kepadanya diteliti. Tuan Hashim mencadangkan agar mereka mencari beberapa alternatif untuk pembekal bahan-bahan binaan kepada mereka. Dengan kegawatan ekonomi yang sedang melanda diseluruh dunia, krisis kenaikan harga menjadi bualan.

Bukan saja bahan mentah harian sahaja yang terlibat, malah didalam sektor pembinaan juga turut terkena tempiasnya. Ini semua termasuklah dengan kos pengangkutan serta kos-kos yang lain. Pihak syarikat terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan banyak lagi projek-projek perumahan yang terpaksa mereka jalankan.

Pintu Farisya di ketuk.
‘Siapa pula yang ketuk pintu bilik aku awal-awal ni… ish…jangan-jangan dia tak… macam mana ni… takkan tak faham lagi…’
"Masuk,"
Hamiza memulas tombol pintu bilik ketuanya. Melangkah ke meja sambil memerhati keadaan sekeliling. Sejak menjadi setiausaha kepada Farisya, tidak pernah sekalipun Farisya memintanya untuk mengemas bilik atau fail mahupun menyediakan minuman. Semuanya dilakukan oleh ketuanya itu sendiri.

"Maaf puan, ganggu puan pagi-pagi. En.Aswad suruh sampaikan ni pada puan," lembut saja Hamiza berbicara. Mata Farisya terarah kepada bungkusan di tangan Hamiza. Senyuman dibibir terasa kelat. Tidak pasti apa yang di fikirkan gadis dihadapannya. Hamiza meletakkan bungkusan itu diatas meja Farisya.
"Bila kamu jumpa dia?" Hamiza tersenyum.
"Tadi abang datang meja saya," jawab Hamiza. Farisya tersentak. Merenung terus ke dalam anak mata Hamiza.

"Abang!" Hamiza menutup mulut.
"Eh tak puan. Tadi En.Aswad datang ke meja saya. Dia cakap suruh sampaikan bungkusan ni pada puan. Tersasul pulak pagi-pagi ni puan," Hamiza cuba menutup kesilapannya. Hampir saja rahsianya terbongkar. Mana mungkin Farisya dapat mengecamnya.
"Betul ke ni? But for the next time, pesan pada dia yang saya tak mahu terhutang budi dengan siapa-siapa pun," Hamiza mengangguk. Jelas riak wajahnya menyembunyikan tawa didalam hati.

"Kenapa? Puan nak buang ke?" Hamiza berdoa agar bungkusan itu tidak di buang.
"Ish kamu ni. Takkan saya nak buang pula. Tak pasal-pasal saya dapat dosa free pagi-pagi ni. Apa kata kamu je yang ambil," cadangan ketuanya menjerat Hamiza. Perutnya masih lagi kekenyangan. Baru saja dirinya bersarapan bersama Aswad.
"Er…saya sebenarnya dah kenyang la puan. Lagipun tu kan rezeki puan. Ambil je la," pujuk Hamiza agar Farisya menerima pemberian Aswad.
"Kamu ni macam ada apa-apa je. Beria benar kamu suruh saya ambil," soal Farisya kehairanan. Selalunya Hamiza tidak pernah menolak pemberiannya.
"Eh tak la puan. Mana ada. Saya cuma cakap je. Tak baik kalau puan tolak rezeki. Kalau puan tak nak, saya boleh tolong pulangkan balik," tangan Hamiza sudah pun mencapai kembali bungkusan yang diletakkan di atas meja Farisya sebentar tadi. Sempat melirik ke arah ketuanya yan masih kelihatan ragu-ragu.

"Eh …jangan! Nanti apa pula anggapan dia. Tak pe la. Awak letak je dekat situ. Tapi ingat pesanan yang suruh saya sampaikan," Hamiza tersenyum. Lakonanya menjadi.
"Baik puan. Tapikan kenapa puan tak nak sampaikan pesanan tu sendiri," Farisya merenung Hamiza. Banyak pula soalan yang terlontar dari bibirnya.
"Ish kamu ni. Banyak pula soalan kamu pagi ni ye," Hamiza tidak jadi untuk terus bertanya. Melihat renungan mata Farisya saja sudah cukup membuat hatinya gentar.

Hatinya Farisya berbelah bagi. Andai diterima, apa persepsi orang sekeliling terhadapnya. Dan seandainya dibuang, tak ke membazir namanya. Sedangkan rakyat-rakyat di negara Afrika sedang kebuluran. Nampaknya, terpaksalah dirinya menerima untuk kali ini sahaja.

Hamiza melangkah keluar. Keluar bersama senyuman yang panjang. Terus saja mengambil tempat duduknya. Ganggang di angkat. Laju saja jemarinya mendail.

"Abang, All done," Hamiza masih lagi tersenyum.
"Pandai pun adik abang. Dia masih tak cam adik ke?"
"Tak kot. Tapi kan. Tadi adik dah tersasul la. Nasib baik tak pecah rahsia. Adik tengok muka dia semacam je bang. Kelakar pun ada juga." Aswad tersenyum. Dirinya dapat membayangkan wajah Farisya ketika menerima bungkusan darinya.
"Nakal betul adik abang ni. Ni mesti adik ada tambah apa-apa tak?" faham benar dengan perangai Hamiza. Sebelum ini pun, sudah beberapa teman rapatnya dipermainkan.

"Mana ada. Adik cuma pesan apa yang abang suruh. Itu je. Lagi pun kak Hani tak sama macam teman-teman wanita abang yang lain. Don’t worry ok," Aswad menggeleng.
"Itu dulu la. Sekarang abang cuma nak berkawan je dengan dia. Jangan salah faham pula. Lagipun tak baik kalau kita cuba nak runtuhkan masjid orang," sempat juga Aswad menasihati Hamiza. Cuba mengingati Hamiza yang Farisya bukan lagi menjadi miliknya.
"Adik tahu la. Adik pun tak sampai hati nak tengok kak Hani sedih. Sebab adik dah sayang sangat dengan kak Hani. Tapi kalau boleh la kan, adik nak sangat kak Hani jadi kakak ipar adik. Mesti best kan," Hamiza menanti jawapan dari abangnya. Talian menjadi senyap. Aswad terkedu. Adakah dirinya masih berkesempatan dirinya untuk memiliki kasih Farisya.

"Abang!!" jerkahan Hamiza di talian mengejutkan Aswad. Jauh benar dirinya mengelamun.
"Hemmm…dah la. Abang nak buat sambung kerja. Lagipun kan abang masih baru lagi. Nanti orang kata abang curi tulang pulak," Hamiza mencebik. Jawapan yang dinanti tidak kedengaran.
"Ye la. Adik pun nak buat kerja la ni. Nanti bos adik marah pulak," jawab Hamiza sebelum mematikan talian. Tangannya sudah pun memainkan peranan namun bibirnya masih galak tersenyum.

Farisya memulakan tugas hariannya. Papan kekunci komputer tidak lari dari jari jemarinya. Sesekali butang-butang di mesin kira di tenyeh. Mencari harga yang sesuai untuk ditawarkan kepada pembekal. Seandainya nasib mereka baik, kemungkinan mereka akan mendapat harga yang lebih rendah. Farisya mencari beberapa nama pembekal dari talian internet. Tidak kira sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Asalkan menepati ciri-ciri yang telah di tetapkan.

Farisya begitu tekun menyiapkan kertas kerja yang akan diusulkan kepada Tuan Syed. Walaupun Tuan Syed berkawan baik dengan bapa mertuanya, itu tidak menjadikan Farisya harus menerima layanan istimewa. Sudah beberapa kali kertas kerjanya di kritik. Sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk terus berusaha. Tuan Syed juga banyak membantunya dari segi menangani karenah pembekal yang sering menaikkan harga barang-barang mereka. Tidak seperti En.Hamidi dan Tuan Hashim. Selalunya membiarkan dirinya terkontang kanting mencari maklumat-maklumat yang berkaitan.

Pernah juga dirinya ditertawakan ketika membentangan sesuatu usul di mesyuarat. Pengalaman yang tidak pernah dan tak akan Farisya lupakan. Entah kenapa dirinya terlalu percayakan maklumat yang di berikan Tuan Hashim. Sudahnya, dirinya tersalah memberi maklumat ketika membuat perbentangan. Bukan kepalang malunya. Mujur Tuan Syed pandai mengawal situasi.

Sedang asyik matanya meniti skrin komputer, talifon bimbitnya berbunyi. Sempat juga dirinya mengerling nama yang terpapar. Belum pun sempat menjawab bibirnya sudah mengukir senyuman.
"Hello sayang," kedengaran suara Haziq di hujung talian begitu manja sekali.
"Hai. Abang tak busy ke? Sempat pula nak kacau-kacau Isya," andai Haziq di hadapannya, sudah pasti wajahnya merona kemerahan.
"Tak sangat. Baru je habis discuss dengan papa. Rindu la nak dengar suara sayang. Tak keluar lunch lagi ke?" Farisya melirik jam di tangan. Jarum pendek sudah melangkau ke angka satu. Kerana terlalu sibuk, dirinya tidak sedar akan masa yang begitu pantas berlalu. Bungkusan pemberian Aswad di pandang sepi. Tidak sedar perutnya sudah mula berkeroncong minta di isi.

"Isya dah pesan pada Hamiza. Ingat nak duduk je dalam ofis. Malas nak keluar."
"Ye ke. Abang baru je ingat nak jemput sayang lunch dengan abang. Petang ni abang ada meeting dengan klien dekat area tempat kerja sayang. Sempat juga kalau abang singgah ke sana dulu," senyumnya mati. Farisya mengeluh perlahan. Terasa dirinya amat bersalah kerana sudah kerap kali berbohong. Bukan sengaja untuk dirinya berbohong. Andai berterus terang, mampukah Haziq menerimanya.

"Kenapa tak cakap awal-awal. Kalau tidak Isya cancel je order dengan Hamiza," nada suara Farisya seakan merajuk. Cuba menceriakan suasana.
"It’s ok my dear. Kalau macam tu abang lunch dengan papa je la. Lagipun dah lama abang tak lunch dengan papa. Zack pula out station," terang Haziq sambil bersandar di kerusi. Membayangkan Farisya berada di hadapannya.

"Banyak lagi ke kerja tu?" Farisya menjeling skrin komputer. Melihat hasil kerjanya yang hampir siap.
"Tak juga. Tinggal sikit je lagi. Lepas tu Isya kena summit dengan Tuan Syed dulu sebelum bentangkan di mesyuarat," Haziq tersenyum. Tidak pernah mendengar walau sekelumit pun rungutan dari Farisya. Hatinya cukup waja untuk menimba ilmu. Seakan sedar ilmu di dada masih cetek untuk mendabik. Walaupun mendabik adalah bukan dari prinsip hidupnya.

"Kalau macam tu, abang tak nak la kacau sayang. Jangan kerja teruk-teruk sangat. Nanti sayang abang ni jatuh sakit pulak. Siapa yang susah…abang juga," pesan Haziq.
"Ye la. Isya tahu la macam mana nak jaga diri. Kalau tak pun Isya call je la abang. Habis cerita," Farisya tertawa nakal. Haziq senang mendengarnya.
"Ok la sayang. Abang nak call papa kejap. Nanti kena tinggal pulak."
"Eh abang, jangan lupa kirim salam sayang Isya untuk mama dan papa ye."
"Insyaallah… abang punya tak de ke?" gurau Haziq.
"Abang pun nak juga ke?," sengaja ingin menduga.
"Dah tu. Jangan la kedekut sayang," rajuk Haziq menggeletek hati Farisya nan satu.
"Ye la…mmuuuaahhh!!..bye," pantas Farisya mematikan talian. Andai di tunggu, pasti Haziq akan terus menyakatnya.

Farisya membuka bungkusan pemberian Aswad. Kelihatan nasi lemak sambal sotong masih lagi elok. Hati Farisya tersentuh. Dijamah nasi itu dengan perlahan. Rupa-rupanya, Aswad masih lagi mengingati akan makanan kegemarannya. Itulah yang menjadi sajiannya ketika keluar bersama Aswad. Memang jarang dirinya untuk memilih menu yang lain seandainya restoran berkenaan menyediakan sajian kegemarannya.

Hanya separuh yang mampu terisi di perutnya. Selebihnya menjadi habuan tong sampah. Farisya melepaskan lelah. Tidak sedar dirinya berada agak lama di hadapan skrin komputer. Matanya cuba di lelapkan walau sesaat agar segar semula apabila terjaga nanti. Baru saja kepalanya disandarkan, matanya sudah memberat. Dalam keadaan sekejap, Farisya sudahpun terlena. Lenanya diulit kenangan bersama Haziq. Terlukis segaris kebahagian terpancar di wajahnya.

2 ulasan:

  1. bgus2...menarik...tp napela si aswad tu g goda si isya...byk lg pompuan lain...nie ending msti aswad ngan tiara kawin...

    BalasPadam
  2. aswad rupanya ....baguslah tu

    BalasPadam

TINGGALKAN ULASAN DAN KOMEN, PADA SETIAP KARYA YANG ANDA BACA Penulis memerlukan ulasan dan komen, bagi memperbaiki penulisan dan memperbetulkan kesilapan. Komen dan ulasan anda akan memberi satu semangat kepada penulis, untuk terus menulis karya dan seterusnya menghasilkan karya yang menarik. Kerjasama & sokongan daripada pembaca amat kami hargai. Sebab itulah kami menyediakan HADIAH, sebagai penghargaan kepada penulis dan juga kepada pembaca yang aktif memberi komen & ulasan