Jumaat, Oktober 16, 2009

Novel : Kenangan Mengusik Jiwa 13

Nama Pena : Ridhwan Zainudin

HASLIZA segera menelefon Farhan Hasri namun telefon lelaki itu tidak berjawab. Hatinya diasak bimbang setelah menerima mesej dari Hafiz Hakimi. Lelaki itu sudah nekad. Apakah puncanya sehingga sepupunya itu tiba-tiba mengubah rancangan yang telah dipersetujui?

"Mana pula Farhan ni? Telefon pejabat, setiausahanya kata dia cuti. Telefon rumah, emaknya kata sejak pagi lagi dia sudah keluar. Telefon bimbit tidak berjawab. Ke mana agaknya lelaki itu pergi?" Hasliza bermonolog sendirian.

Lantas, dia mengambil kunci kereta lalu memandu menuju ke rumah sepupunya. Sepuluh minit perjalanan, dia tiba di hadapan rumah Hafiz Hakimi. Salam diberi namun tidak bersahut. Dia membuka pintu pagar yang tidak berkunci. Kemudian mengetuk pintu kayu bercat coklat itu. Tetap tiada jawapan. Hasliza memulas tombol pintu yang juga tidak berkunci. Perlahan-lahan dia menapak masuk ke dalam rumah. Terperanjat Hasliza melihat keadaan ruang tamu yang berselerak seolah-olah dimasuki pencuri.

"Liza?" Hafiz Hakimi terkejut dengan kehadiran sepupunya yang tiba-tiba itu.

"Apa semua ni Kimi?"

Hafiz Hakimi tersengih. Dia segera duduk di atas sofa. Remote-control di tangan ditekan lalu suara dari corong radio kedengaran. Hasliza juga duduk di sofa. Wajah Hafiz Hakimi direnung inginkan penjelasan.

"Dah sampai masanya kita jalankan rancangan kita tu," ujar Hafiz Hakimi.

"Kau benar-benar nekad?

"Semestinya. Hanya dengan cara ni Rosalina boleh jadi milik aku,"

Hasliza hanya diam. Hafiz Hakimi sudah bulat dengan keputusannya. Dia cuba untuk menghalang namun apalah dayanya sebagai seorang perempuan yang tewas pada perasaan. Apa yang dia harapkan kini hanyalah kisah duka, luka dan derita ini menemui penamatnya...



* * * * *



"MAK?" Rosalina terkejut apabila melihat wajah emaknya menyapa pandangan mata ketika dia terjaga dari tidur.

"Kamu dah sedar, alhamdulillah..."

"Macam mana mak boleh ada kat sini?"

"Farhan yang bawa mak ke sini,"

Rosalina pantas mengalihkan pandangan, meliar mencari kelibat lelaki itu namun tidak ketemu.

"Dia pulang ke rumah. Ada kerja katanya. Esok dia datang semula," beritahu Puan Radziah tatkala melihat anak gadisnya yang kegelisahan itu.

Farhan Hasri dah balik? Pasti lelaki itu kepenatan. Perjalanan dari Port Dickson ke Tampin bukanlah dekat. Mengambil masa lebih kurang dua jam. Rosalina dicengkam kehairanan sebenarnya. Dari mana Farhan Hasri tahu dia berada di sini?

"Bangunlah, pergi bersihkan diri. Kejap lagi tolong mak di dapur," sambung Puan Radziah lalu bangun dari katil dan kemudian melangkah pergi.

Rosalina memerhati sekeliling. Dia masih diulit cemas, benar-benar tidak menyangka yang Hafiz Hakimi sanggup bertindak liar begitu. Rosalina menggelengkan kepala dengan harapan peristiwa hitam itu pergi dari fikirannya. Dia bingkas bangun, mencapai tuala di dalam almari lalu bergerak ke bilik mandi. Pili air dibuka. Tujahan air pancur yang menimpa diri terasa begitu mendamaikan. Tubuhnya terasa segar semula.

Hampir sepuluh minit membersihkan diri, Rosalina keluar dari bilik mandi. Ketika menyarung T-Shirt lengan panjang dengan gambar karakter kartun popular Garfield di tengahnya, telefon bimbit Rosalina berbunyi. Sudah agak lama dia tidak mendengar telefonnya berdering. Sepanjang dia bersembunyi, baru semalam dia mengaktifkan semula telefon bimbitnya. Rosalina pantas mencapai telefon bimbit yang terletak di atas katil. Panggilan dari Hasliza.

"Hello, Liza..."

"Ros!!! Ya Allah! Kau ke mana? Susah benar nak hubungi kau," Hasliza terus menerjah Rosalina dengan pertanyaan.

"Aku akan balik tak lama lagi. Farhan dan jumpa aku,"

"What? Dia dah jumpa kau? Patutlah..."

"Patutlah apa?"

"Ah, tak ada apa. Ros, dengar baik-baik apa yang aku nak cakap ni," ujar Hasliza sekaligus menerbitkan debar dalam hati Rosalina.

"Apa dia?"

"Kimi dalam perjalanan ke balai polis sekarang. Dia nak maklumkan tentang kes rasuah Farhan," beritahu Hasliza.

Hampir terlepas telefon bimbit dari tangan Rosalina. Hafiz Hakimi memang sudah melampau! Bukankah dia telah berjanji tidak akan membuat laporan polis tentang kes Farhan Hasri? Eh, tunggu sekejap! Hasliza tahu tentang perkara ni? Ah, tentulah kerana dia dan Hafiz Hakimi sepupu. Pasti lelaki itu ada memberitahu Hasliza. Tapi, kenapa Hasliza tidak menghalang? Bukankah gadis itu pernah menyayangi Farhan Hasri? Tegarkah dia melihat orang yang disayangi berada dalam kesusahan?

"Ros! Ros! Kau dengar tak ni?"

"Maaf, aku dengar. Kenapa kau tak telefon Farhan terus?"

"Aku dah telefon tapi tak berjawab. Aku on the way nak ke balai polis ni. Jangan lupa hubungi Farhan. Minta dia lari, sembunyi! Aku cuba halang Kimi kalau sempat," ujar Hasliza lalu menamatkan panggilan.

Rosalina segera mendail nombor telefon Farhan Hasri yang sememangnya sudah dihafal. Beberapa ketika menunggu, panggilan tidak disambung. Kemana pula lelaki itu pergi? Segera Rosalina menyarung seluar panjang dan membelek dirinya ala kadar. Tudung yang tersangkut di belakang pintu dicapai.

"Mak! Ros nak keluar ke bandar sekejap ya!" teriak Rosalina dari atas rumah.

Sengaja dia berkata hendak ke bandar kerana tidak mahu emaknya risau.

"Baik. Hati-hati memandu tu," balas Puan Radziah.

Rosalina menuruni anak tangga dengan pantas. Sampai ke kereta, dia menepuk dahi. Kunci kereta berada dalam tas tangannya dan tas tangannya kini berada di dalam bilik. Bagaimana dia boleh terlupa? Itulah, kalau dah kelam-kabut, ada sahaja yang lupa. Laju langkah Rosalina menuju ke dalam rumah semula. Seketika kemudian dia keluar dengan tas tangan berwarna coklat cair yang dibeli sewaktu menghadiri persidangan di Singapura beberapa bulan yang lepas. Pintu kereta dibuka dan enjin kereta dihidupkan. Kereta Waja rona silver metallic itu segera bergerak laju meninggalkan perkarangan rumah. Dalam hati Rosalina berdoa semoga rancangan Hafiz Hakimi tidak menjadi.



* * * * *



KEDUA-DUA telapak tangannya diraupkan ke muka. Farhan Hasri baru sahaja selesai menunaikan Solat Asar petang itu. Dia melirik jam di dinding. Sudah pukul 6.30 minit petang. Sejadah dilipat lalu diletakkan di tepi katil. Farhan Hasri merebahkan tubuhnya ke atas tilam empuk. Jelas terasa penat berulang-alik dari Port Dickson ke Tampin. Farhan Hasri kembali menyelak lembaran peristiwa yang berlaku tengah hari tadi. Dia sampai di rumah datuk dan nenek Rosalina pada pukul 11.00 pagi. Sengaja dia memakirkan kereta agak jauh dari halaman rumah tersebut. Sengaja ingin meninjau keadaan terlebih dahulu. Salam diberi namun tiada siapa yang menjawab. Rosalina keluar barangkali namun kereta Waja milik gadis itu elok diparkir di bawah pohon rambutan yang rendang. Bila tiga kali salam yang diberi tidak dijawab, Farhan Hasri beralih ke belakang rumah. Mungkin gadis itu berada di sana dan tidak dengar panggilannya tadi. Ternyata dia kecewa. Usahkan kelibat, bayang-bayang gadis itu pun tidak kelihatan.

Baru sahaja dia hendak melangkah semula ke depan rumah, dia ternampak sebuah kereta Gen-2 sedang bergerak masuk ke halaman. Dia terkejut melihat Rosalina keluar dari kereta tersebut diekori dengan Hafiz Hakimi. Dalam hatinya mula diasak curiga. Apakah benar Rosalina sudah melupakan dirinya dan beralih arah pada Hafiz Hakimi, sepupu Hasliza? Farhan Hasri memerhati gerak-geri kedua-duanya sehinggalah Hafiz Hakimi mula bertindak di luar kawalan. Segera dia keluar dari persembunyian dan menyelamatkan kekasih hati. Hafiz Hakimi terus beredar setelah melihat Rosalina pengsan dalam pelukannya.

Walau apa pun, Farhan Hasri lega kerana Rosalina tidak apa-apa. Menatap wajah yang terkulai layu dalam dakapannya sudah cukup melarutkan rindu yang membuak-buak dalam hati.

Baru sahaja Farhan Hasri hendak terlelap, telefon bimbitnya bergegar. Dia terlupa untuk menukar mode telefonnya dari silent kepada general. Nama Rosalina tertera di skrin lalu pantas Farhan Hasri menjawabnya.

"Hello,"

"Hasri! Awak ke mana? Banyak kali saya call tapi awak tak jawab," laju Rosalina menutur kata.

"Maaf, saya silentkan phone. Solat tadi,"

"Hmm... tak apalah. Ni, awak! Baik awak lari sekarang! Lari jauh-jauh!" desak Rosalina.

"Hah? Apa yang awak merepek ni?"

Perbualan mereka terganggu apabila Farhan Hasri terdengar bunyi loceng pintu. Segera dia menuruni anak tangga untuk melihat tetamu yang tiba.

"Lina, sekejap ya. Ada orang datang," ujar Farhan Hasri.

"Hasri! Hasri!" Rosalina cuba menegah namun tidak diendahkan oleh lelaki itu.

Farhan Hasri membuka pintu. Di pintu pagar, ada dua orang berpakaian seragam serbaCbiru sedang menunggu. Pantas Farhan Hasri melangkah ke sana.

"Ya, encik. Ada apa yang saya boleh bantu?"

"Encik ni, Farhan Hasri bin Hassan?" tanya salah seorang pegawai polis yang berkumis nipis itu.

"Ya, saya," jawab Farhan Hasri.

"Awak harus ikut kami ke balai sekarang kerana disyaki terlibat dengan rasuah," ujar pegawai polis itu lagi.

"Hah?"

Rosalina yang mendengar dari talian sebelah sana menekup mulut dengan tangan kirinya. Mujur dia masih dapat mengawal stereng kereta itu. Dia tidak sempat. Dia telah terlewat. Ya Allah, bala apakah ini?

1 ulasan:

TINGGALKAN ULASAN DAN KOMEN, PADA SETIAP KARYA YANG ANDA BACA Penulis memerlukan ulasan dan komen, bagi memperbaiki penulisan dan memperbetulkan kesilapan. Komen dan ulasan anda akan memberi satu semangat kepada penulis, untuk terus menulis karya dan seterusnya menghasilkan karya yang menarik. Kerjasama & sokongan daripada pembaca amat kami hargai. Sebab itulah kami menyediakan HADIAH, sebagai penghargaan kepada penulis dan juga kepada pembaca yang aktif memberi komen & ulasan