Nama Pena : Dolah
Syafiqah bangun apabila azan Subuh berkumandang dari surau yang hanya selang beberapa buah rumah dari banglo milik Dato’ Majid itu. Alunan suara muazin yang bergema memenuhi setiap ruang di segenap pelusuk alam. Laungan azan memecah keheningan subuh. Syahdu terbit di hati apabila bait-bait azan lembut menusuk kalbunya. Dadanya terasa begitu lapang, seolah-olah terlepas segala bebanan yang ditanggung oleh dirinya, membawa dirinya untuk merenung kembali betapa rapuhnya jiwanya dan dirinya sebagai insan yang kerdil. Perlahan-lahan dia menuju ke bilik air untuk membersihkan diri seterusnya membasahi anggota-anggota wudu’nya dengan tertib dan bersedia menghadap Maha Pencipta.
Setelah selesai mengerjakan solat Subuh, Syafiqah mengenakan seluar panjang berwarna hitam dan kemeja biru tua tanpa corak. Dia duduk di hadapan cermin meja solek, kulit wajahnya yang putih dan bersih itu diamatinya. Solekan ala kadar saja dikenakan, kalau berlebih-lebih nanti, orang kata macam nak pergi berkahwin pula. Sudah menjadi kebiasaannya turun bekerja seawal itu setiap hari. Bukan kerana dipaksa, tapi atas kerelaan hatinya sendiri. Dia gembira menguruskan butik miliknya itu.
Sebelum keluar dia pergi ke dapur untuk mengenakan secawan Nescafe.
"Assalamualaikum Mak Siti." Sapa Syafiqah.
"Waalaikumsalam. Awal bangun hari ni?" Tanya Mak Siti kepada anak majikannya itu.
"Biasalah, setiap haripun Iqa bangun awal. Mak Siti buat apa tu? Oo...karipap rupanya." Kata Iqa. Syafiqah berdiri di sebelah Mak Siti yang sibuk membuat inti karipap.
"Yelah. Iqa tengok je pun dah tau ni karipap. Iqa tak nak sarapan sekali ke dengan mak ayah?" Tanya Mak Siti sambil melihat tangan Syafiqah membancuh Nescafe 3 in 1.
"Tak apa la Mak Siti, Iqa sarapan kat luar je nanti. Lagipun Iqa dah janji dengan Zarina." Jawab Syafiqah sambil menghirup Nescafe yang siap dibancuh.
Mak Siti hanya menggeleng-gelengkan kepalanya selepas mendengar jawapan Syafiqah. Dia memahami perasaan anak gadis ini. Syafiqah telah membesar di hadapan Mak Siti. Sepanjang 30 tahun dia berkhidmat dengan Dato’ Majid dan Datin Khalidah, dia dan Nek Jah la yang menjaga Syafiqah sejak kecil lagi. Dia sudahpun menganggap Syafiqah sebagai anak sendiri. Dia masak benar dengan perangai Syafiqah. Rajuknya pada Dato" Majid dan Datin Khalidah masih belum reda lagi. Mak Siti mengeluh berat.
"Kalau begitu Mak Siti tak nak la paksa Iqa. Lagipun Iqa kan dah berjanji dengan kawan Iqa. Cuma, Mak Siti sedih tengok mak ayah Iqa tu. Sekali sekala Iqa duduk la makan semeja dengan mak ayah Iqa tu. Tak kisah la masa makan tengahari ke, makan malam atau masa sarapan. Mak Siti rasa mak ayah Iqa tentu senang hati kalau Iqa buat macam tu." Ujar Mak Siti.
Syafiqah hanya mendiamkan diri. Dia memasang telinga sahaja, membiarkan Mak Siti meluahkan isi hatinya. Dia mengaku dirinya sememangnya jarang-jarang makan bersama dengan ibu dan ayahnya. Apatah lagi sejak dia sudah membina kerjaynya sendiri. Masalahnya hatinya masih lagi belum tenang sepenuhnya.
"Ibu dan ayah tidak pernah membenci anaknya, tetapi anak-anaklah yang menyimpan perasaan itu terhadap ibu dan ayah. Ibu dan ayah siapalah yang tidak sayang dengan anak. Cuma perbezaan antara ibu bapa adalah pada penyampaian kasih sayang pada anak-anak. Iqa sudahpun maafkan ibu dan ayah." Bisik hati Syafiqah setelah merasakan perubahan yang berlaku pada ibu dan ayahnya semenjak dia bekerja di butik miliknya sendiri. Ibu dan ayahnya lebih banyak meluangkan masa di rumah.
"Sedih? Kenapa? Tau pulak mak dan ayah tu bersedih ye. Susah-susah je diorang nak bersedih Mak Siti." Kata Syafiqah pura-pura kehairanan. Nescafe di tangannya dihirup beberapa kali.
"Tak payahlah Mak Siti risau pasal mak dan ayah tu. Mak Siti, Iqa pergi dulu ye. Karipap tu, Mak Siti simpankan untuk Iqa petang nanti ye. Rugi besar Iqa kalau tak dapat makan karipap Mak Siti ni." Kata Syafiqah membodek. Syafiqah mencapai fail-failnya lalu beredar meniggalkan Mak Siti.
"Bawa kereta tu baik-baik Iqa." Sempat Mak Siti menjerit halus berpesan kepada Syafiqah sebelum Syafiqah pergi jauh.
"Ok, assalamualaikum." Kata Syafiqah pendek.
Mak Siti hanya tersenyum tawar. Sedih melihat Syafiqah begitu.
Jalan raya di sekitar agak lengang. Belum banyak lagi kenderaan memenuhi jalan –jalan di sekitar KL. Perjalanan Yusof lancar, tidak perlu terburu-buru untuk sampai ke butiknya. Myvi hitam miliknya sudah pun berhenti di hadapan . Dia keluar dari keretanya. Dia berdiri dan melihat dengan bangga papan tanda butiknya. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan perlahan-lahan dia melepaskannya. Hidupnya bermula setiap hari di butik ini. Butik ini adalah hasil usahanya sendiri. Meskipun banyak cabaran yang menduganya, namun syukurlah segalanya berjalan dengan baik.
Mula-mula hasratnya ditentang sendiri oleh ayahnya Dato’ Majid. Mana tidaknya Dato’ Majid bersusah payah menghantar Iqa belajar ke Universiti Pourtsmouth dalam bidang kejuruteraan. Namun, Iqa telah menghampakan Dato’ Majid. Secara senyap-senyap Iqa menukar bidang kejuruteraan sivil yang dikehendaki ayahnya kepada bidang fesyen.
Dato’ Majid hanya mengetahui perkara sebenar setelah Iqa kembali dari UK. Dato’
"Kenapa Iqa tukar kos yang ayah suruh kau ambil dulu tu ha?" Tinggi melangit suara Dato’ Majid memarahi anaknya. Dato’ Majid mahu penjelasan yang munasabah daripada anaknya.
"Sebab Iqa tak suka dengan kos itu. Iqa tak suka, ayah tau tak." Jawab Iqa melepaskan perasaan yang sudah lama ingin diluahkannya. Matanya sudah terasa basah. Namun, dia tekad untuk menahan diri daripada menangis di hadapan ayahnya itu. Dia tidak mahu kalah dengan amarah ayahnya.
"Kalau kau tak suka kenapa tak terus terang dengan ayah. Dah tu pandai-pandai tukar kos tanpa pengetahuan ayah. Jadi, selama ni kau tipu mak dan ayahlah!"
Iqa hanya mendiamkan diri, masih tercari-cari jawapan untuk membidas kata-kata ayahnya itu.
"Dah tu, kenapa Iqa setuju masa ayah suruh Iqa ambik kos tu. Kalau tak suka, kenapa tak bincang baik-baik dengan ayah. Kau sengaja nak sakitkan hati ayahkan. Kau suka la tengok ayah marah sekarangkan." Sambung Dato’ Majid. Marahnya masih lagi membara. Dato’ Majid menanti jawapan Iqa.
"Tak pernah pun Iqa setuju.Iqa tak pernah setuju! Iqa tak kata apa-apa masa tu, tak bererti Iqa setuju. Ayah fikirlah sendiri, kalaupun Iqa membantah masa tu, adakah masa untuk ayah berbincang dengan Iqa. Sepanjang masa ayah sibuk dengan kerja. Di pejabat ayah bekerja, di rumah pun ayah menghadap kerja ayah.. Kerja! Kerja! Kerja! Dari kecil lagi Iqa tengok hidup ayah hanya sayangkan kerja sahaja. Dan diri Iqa bagaikan kertas putih yang tidak bermakna jika dibandingkan dengan kerja ayah. Tak pernah ayah luangkan masa untuk bersama dengan Iqa walau sekejap. Sedangkan makan malam pun ayah tak pernah temankan Iqa, bagaimana lagi harus Iqa berbincang dengan ayah. Mak pun sama dengan ayah." Panjang lebar hujah Iqa bagi membela dirinya. Air matanya sudah tidak tertahan lagi. Buat kali pertamanya Iqa menangis di hadapan ayah dan ibunya. Iqa terus berlari masuk ke dalam biliknya. Tidak mahu lagi dia berhadapan dengan ayah dan ibunya. Semakin dalam luka di hatinya jika dia terus mendengar kata-kata ayahnya.
Dato’ Majid tergamam melihat anaknya menangis, Datin Khalidah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Nek Jah hanya menjadi pemerhati. Tidak mahu mengeruhkan lagi suasana. Kata-kata Iqa benar-benar membuat mereka hilang suara. Wujud kebenaran disebalik luahan hati Iqa. Hati mereka cuba untuk menerima kebenaran yang telah menyebabkan anak mereka berasa begitu tersish dan terasing dari ibu dan ayahnya sendiri.
Dato’ Majid menyesali tindakannya itu lalu menawarkan perbelanjaan penuh untuk Iqa membuka butiknya sendiri. Iqa juga ada terfikir untuk memulakan perniagaannya sendiri. Malah, cadangan Dato’ Majid bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tetapi, Iqa menolak keras. Iqa hanya mahu mendapatkan pinjaman kewangan daripada Dato’ Majid. Dia mahu merasa sendiri penat lelah bekerja. Pada mulanya, Dato’ Majid tidak sampai hati membiarkan anaknya berpenat lelah. Tetapi, kesungguhan Iqa dan tekadnya menundukkan Dato’ Majid.
"Oi, Iqa!" Sergah Zarina.
Tersentak Iqa dari lamunan.
" Wei,Zarina! kau ni dah tak reti bagi salam ke. Dah la masuk senyap-senyap. Main sergah-sergah pulak tu. Jahat la kau Ina." Kata Syafiqah manja sambil memuncungkan mulutnya.
"Aku tak bagi salam? Ke kau yang tak dengar salam aku ni ha? Berpuluh-puluh salam aku bagi dari tadi tau. Kau je yang tak perasan." Sindir Zarina
"Hehe...ye ke, ala...sorry la." Kata Syafiqah memujuk Zarina.
"Aku tengok jauh kau termenung tadi. Apa yang kau menungkan? Dah sampai kat mana kau termenung? Bagi tau la aku apa yang kau tenung tadi." Sindir Zarina lagi.
"Ish, ish...kot ya pun kau dapat ijazah bahasa dan sastera, tak perlu la kau show off berhabis kat aku dengan ayat kau tu. Kau ni memang nak kena makan siku aku ni. Haha...jangan kau ambik hati ye. Tak ada apa-apa lah Ina, saja aku imbas balik hidup aku." Jelas Syafiqah.
Zarina adalah teman baik Iqa sejak dari sekolah menengah lagi. Mereka terpisah buat beberapa tahun memandangkan Iqa menyambung pelajaran di luar Negara. Sekarang Ina bekerja dengan Iqa di Butik Intan gara-gara belum mendapat pekerjaan sesuai dengan ijazah yang dimilikinya dari Universiti Malaya. Iqa sering meluangkan masa bersamanya semasa berada di luar rumah dan berkongsi suka duka dengan Ina. Ina jugalah yang banyak memberi sokongan dan dorongan ketika Iqa bersedih.
"Kau apa khabar? Dah ok ke perut kau tu? Sampai mintak tiga hari MC. Cuba kau cite sikit kat aku, kau telan apa sampai perut kau pun hilang imuniti." Sindir Syafiqah Gembira hatinya dapat membalas sindiran Zarina tadi.
"Part sensitif ni la yang boleh buat aku emosi dengan kau tiga hari tiga malam tau. Kau ni sengaja nak kutuk aku ye. Mentang-mentang selera aku sebesar banglo rumah kau. Nasib baik aku prove kau sahabat aku, Kalau tak dah lama aku makan hati dengan kau. Kecik hati kita tau." Kata Zarina merajuk. Dia tahu, Syafiqah sekadar mahu bergurau dengannya. Cuma dia suka-suka je buat muka merajuk, minta dipujuk la tu.
"Ha’ah, dah tarik muka monyok, mintak aku pujuk la tu. Alala...Ina, aku minta maaf ye Ina, ala, macam kau tak biasa dengan mulut kawan baik kau ni. Plus aku minta maaf gak sebab tak dapat jenguk kau hari tu ea." Pujuk Syafiqah sambil memeluk kawan baiknya itu.
Zarina tersenyum lebar. Gembira hatinya bila dipujuk begitu.
part 2 ngn 3 sama je la,knape bleh jd cmtu.
BalasPadammn lg smbungnnya.cerita mcm best.
jgn biar trgntung k.
cete best !!!
BalasPadamtapi dkt sama ngan part 2&3 la,
knapa stop lama sangat,
cpt la sambung k .^_^!
baguslah
BalasPadambaguslah.............................
BalasPadam