Isnin, Mei 12, 2008

Cerpen : Cintaku padamu

Adrianna
raifiqhan@gmail.com

Aku masih ingat ketika itu angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dan pelajar-pelajar baru sibuk dengan urusan pendaftaran mereka di Dewan Utama, tidak terkecuali diriku sendiri. Sedang aku mencari-cari kaunter pendaftaran, aku terlanggar seseorang, menyebabkan borang-borang yang kupegang terlepas dari tanganku. "Aduh, sakitnya," kataku sambil mengurut-urut tanganku. Aku terus mengutip borang-borangku yang telah jatuh itu tadi sambil mencari orang yang aku langgar tadi. Entah ke mana hilangnya, sehinggakan aku tidak sempat memohon maaf. 'Ahhh, biarlah,' getus hatiku. Ternyata hari pertama di universiti amatlah memenatkan. Disebabkan keluargaku jauh di Pulau Pinang, aku terpaksa menguruskan semua urusan pendaftaranku seorang diri. Aku tidak kisah, kerana aku telah biasa begini sejak di sekolah menengah lagi. Adik beradikku yang ramai, membuatkan aku berdikari. Sekurang-kurangnya aku mampu meringankan bebanan kedua-dua ibu bapaku walaupun hanya sedikit.

Kenaifan aku perihal bangunan di universiti ini memaksa diriku menebalkan muka untuk bertanya. Aku memerhati sekelilingku, dan sejurus itu aku ternampak seorang lelaki muda yang memakai tag nama "Komiti" tidak jauh daripada tempat aku berdiri. 'Pelajar di sini agaknya,'bisikku. Lelaki itu berdiri di situ sambil menghulurkan kepingan-kepingan brosur kepada orang yang lalu lalang. Peluhnya jelas membasahi baju kemeja coklat yang dipakainya. Aku menghampirinya, perlahan. "Assalamualaikum, errr…saudara boleh tunjukkan di mana kediaman pelajar perempuan?" tanyaku sambil tersenyum, cuba menyembunyikan kegugupanku. "Waalaikumussalam, saudari jalan terus, kemudian akan bertemu satu simpang, ambil simpang ke kanan," balasnya ramah. Raut wajahnya yang tenang, membuatkan aku berasa selesa. "Terima kasih ya." Aku membalasnya perlahan. Barang-barangku sangat banyak, namun aku bertuah kerana ayah telah menghadiahkan aku sebuah kereta Kelisa sebagai hadiah atas kecemerlanganku dalam peperiksaan STPM yang lepas. Ayah benar-benar gembira atas kejayaanku yang cemerlang itu dan dia begitu yakin aku akan diterima untuk belajar di institut pengajian tinggi awam nanti. Alhamdulillah, impian ayah termakbul. Aku berjaya menjejakkan kaki di Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) dalam jurusan seni bina pada hari ini.

Setibanya di bilik, aku berkenalan dengan rakan sebilikku, Mariah. Seorang gadis yang cantik, memliliki tubuh yang tinggi lampai dan berkulit kuning langsat. Kacukan Cina katanya. Bagiku kacukan atau tidak, ianya tidak membezakan taraf seseorang, tetapi yang paling penting adalah hati. Hatilah yang membentuk seseorang, bukanlah warna kulit atau keturunannya. Mariah turut membantuku mengemas barang-barangku. Aku bersyukur kerana mempunyai rakan sebilik seperti Mariah kerana aku yakin, dia seorang yang berhati mulia. Dia terus memelukku setibanya aku di bilik kami sambil menyatakan kegembiraannya bertemu aku. Perkara itu membuatku tersenyum sendiri, sambil memikirkan bagaimana kehidupan aku di sini pada hari-hari yang mendatang. Pastinya indah!

Aku melangkah dengan pantas ke dewan kuliah kerana tidak mahu terlambat. Nasibku baik kerana Mariah menunjukkan arah kepadaku. Kasihan Mariah kerana terpaksa bergegas ke bangunan lain, kerana dia turut mempunyai kuliah pada waktu yang sama. Aku memohon maaf padanya berkali-kali, namun dia hanya tersenyum sambil membalas,"Tak apa, benda kecil sahaja." Jawapannnya membuatkan aku benar-benar berasa bertuah dapat berkenalan dengan gadis sepertinya di sini.

Aku melangkah masuk ke dalam dewan kuliah. Suasana asing menggamit diriku. Diriku terasa begitu kecil. Pelajar-pelajar di dalam dewan kuliah itu pula hanya memandangku sambil tersenyum. Aku membalas senyuman mereka sambil mengambil tempatku di barisan yang paling hadapan, dan tidak lama kemudian, seorang pelajar lelaki mengambil tempat di sebelahku. Dia memandang ke arahku sambil tersenyum. "Assalamualaikum. Pelajar baru ya?" Dia bertanya. "Aah, pelajar baru," jawabku perlahan. "Saya Irfan, awak?" tanyanya pula. "Saya Nurul Amirah," balasku sambil memandangnya sekilas. "Harap kita boleh jadi kawan nanti, sebab saya pun pelajar baru," katanya lagi, sambil mengukir senyuman. Aku tersentak mendengar jawapannya. "Betulke? Saya ingatkan awak pelajar lama di sini," balasku sambil tersenyum girang seolah-olah telah lama berkenalan dengannya. Namun, entah bagaimana, aku seperti teringat akan sesuatu. Seperti aku pernah terlihat wajahnya sebelum ini. 'Eh, bukankah dia lelaki yang aku tegur pada hari pendaftaran yang lalu?' "Awak tipu! Awak kan student kat sini, yang jadi komiti pada hari pendaftaran hari tu? Ingat saya tak tahu ke?" Aku bersuara tegas. 'Cuba menipu aku ya? Kau ingat aku ni pelupa ke?' getus hatiku, geram. Dia tergelak kecil, pada masa yang sama terserlah kedua-dua lesung pipitnya. "Hahaha… maafkan saya. Saya saje je nak menduga awak, ingatkan awak dah lupa," jelasnya, sambil memandang ke arahku sambil tersenyum. Senyumannya begitu manis dan mampu menawan hati sesiapapun yang memandangnya. Sejak dari saat itu, kami menjadi semakin rapat. Semakin hari aku mengenali dia, semakin terserlah keistimewaannya. Irfan ialah salah seorang daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar, dan merupakan pelajar yang tidak pernah terlepas daripada mendapat anugerah dekan pada setiap semester. Saiz badannya yang tinggi lampai, kulitnya yang cerah, diserikan lagi dengan senyuman yang manis, sudah cukup untuk membuatkan gadis-gadis yang menuntut di Uitm ini terpegun melihatnya. Kadangkala aku berasa rendah diri apabila sentiasa berada disisinya kerana jika dibandingkan dengan diriku, dia jauh lebih hebat, dan popular. Aku berasa tidak layak langsung berkawan dengannya. Apatah lagi bercinta. Kini tersebar gosip kononnya aku adalah teman wanita Irfan. Kami hanyalah kawan baik! Itu sahaja yang mampu aku lafazkan. Dalam hatiku masih tidak punya sesiapa lagi. Namun siapakah yang akan percaya kata-kataku? Apabila aku utarakan perkara ini kepada Irfan, dia hanya berkata, "Buat apa nak dengar kata-kata orang, biarkan sahaja." Kadangkala aku bingung dengan sikapnya itu yang seolah-olah mengiyakan kata-kata orang ramai. Ataupun aku yang terlalu berfikir tentang gosip tersebut? Entahla. Tetapi aku percaya, lama-kelamaan gosip mengenai aku dan Irfan akan hilang jua.


Tanpa disedari, sudah satu semester telah berlalu. Alhamdulillah, aku mendapat keputusan yang cemerlang, begitu juga dengan Irfan. Dialah banyak membantuku dari segi pelajaran. Aku benar-benar bersyukur kerana takdir telah membuatku mengenal Irfan.

Sedang aku menikmati makanan bersama Irfan di café siswa, aku ternampak Mariah, lalu aku terus memanggilnya.
"Kebetulan kita berjumpa, selalunya memang jarang kita terserempak. Kalau tak kat bilik, memang tak adanya nak jumpa kau."
"Alah, fakulti kita kan lain-lain. Eh, ni aku kenalkan, Irfan. Dialah yang aku selalu ceritakan pada kau."

Irfan memandang Mariah sambil tersenyum. "Inilah Mariah yang Amira selalu ceritakan itu? Salam perkenalan," kata Irfan. Mariah membalas kata-katanya dengan senyuman. Aku mengajak Mariah untuk makan bersama, tetapi dia menolak dengan baik. Katanya telah berjanji dengan rakan sekuliahnya. Aku hanya mengangguk.

Sesudah makan, aku dan Irfan bergerak ke kuliah seterusnya, subjek Pengajian Bebas. Sampai sahaja di dewan kuliah, kelihatan pensyarah yang bakal mengajar kami telah pun berada di dalam. Aku memandang pensyarahku itu. Tidak begitu tinggi orangnya, kulitnya kumal, tidaklah terlalu gelap, lagaknya seperti seorang penuntut di universiti ini. 'Masih muda agaknya,' fikirku. Seperti biasa aku dan Irfan mengambil tempat di barisan hadapan sekali. Aku melihat jam, lagi 10 minit, kuliah bermula. Kami sememangnya selalu awal! "Apa khabar sir? Lama tak jumpa." Tiba-tiba Irfan bersuara. Aku mula berasa hairan, kenalkah Irfan dengan lelaki itu?. "Baik-baik sahaja. Ehem, ehem, selalu nampak kamu berdua? Ada apa-apa ke ni?" Balas lelaki itu, selamba. Irfan tergelak kecil. Selamba sahaja lelaki itu berkata begitu, seolah-olah mereka sudah berkawan lama. Aku hanya diam membisu. Mendengar sahaja apa yang mereka katakan.
"Taklah sir. Ni kawan saya, namanya Nurul Amirah. Amirah, ini kenalkan, senior saya di sini dahulu, namanya Muhammad Izham. Sekarang ini, dia yang akan mengajar kita di kelas ini,"kata Irfan, sambil memperkenalkan aku dengan lelaki yang berdiri di hadapan kami. Aku hanya senyum dan menunduk malu. Aku canggung untuk berbual mesra dengan Encik Izham seperti Irfan. Situasi aku berbeza dengan Irfan, yang telah lama mengenali Encik Izham, sedangkan bagiku inilah kali pertama aku bertemu dengan pensyarahku ini. Setelah hampir 10 minit berlalu, Encik Izham memulakan sesi pengajarannya. Beliau memberi penerangan yang serba lengkap, dan bercakap dengan suara yang jelas. Secara tidak langsung, dia telah membuatkan aku mula berminat terhadap subjek ini.

Petang itu, aku menikmati makan malam di café siswa bersama Irfan dan Mariah. Baru sahaja aku mahu menyuap makanan ke dalam mulutku, tiba-tiba aku terdengar suara yang amat aku kenali tetapi masakan dia boleh ada di situ pada waktu ini? Tak mungkin. "Boleh saya duduk di sini?" Tanya suara itu. Aku menoleh ke arahnya. 'Encik Izham?'. Aku terkejut. Seolah-olah mengerti apa yang ada difikiranku, dia bersuara, "Saya ada kerja sikit tadi. Alang-alang ada di kampus, saya pun bercadang mahu makan malam di sini sahaja." "Silakan duduk sir," tanpa berlengah lagi, Irfan mempelawa. Encik Izham mengambil tempat di sebelahku, selamba. 'Suka hati dia je nak duduk sebelah aku' getus hatiku. Geram juga atas sikapnya yang terlalu 'selamba' denganku. 'Aku bukannya Irfan!' getus hatiku lagi. Aku pun tidak tahu mengapa, aku sering berasa tidak selesa apabila dia bersikap begitu terhadap aku. Bagiku, jurang antara pelajar dan pensyarah perlu ada, apatah lagi dia masih muda. Silap-silap haribulan, aku akan tertarik kepadanya! Aku tak mahu! Sepanjang dia berada di situ bersama kami, aku diam membisu. Tidak banyak yang aku perkatakan, sesekali sahaja aku menyampuk. Encik Izham juga sejak akhir-akhir ini telah mula menyakatku. Aku hanya mampu berusaha mengelakkan diriku daripadanya. Macam aku tidak tahu, semuanya hanya permainan psikologi, yang hanya bertujuan untuk mengetahui kelemahan seseorang, apatah lagi melihat reaksi seorang perempuan yang sememangnya lemah dalam mengawal emosi!

"Irfan, boleh tak saya tanya sesuatu?" Aku bertanya kepada Irfan ketika kami dalam perjalanan pulang daripada dewan kuliah. "Tanyalah," balasnya ringkas. "Awak perasan tak Encik Izham tu, perangainya semacam? Maksud saya, err… dengan saya? Contohnya, macam tadi, masa saya tengah menyiapkan nota sebelum kelas bermula, dia duduk sebelah saya, dan memerhati apa yang saya sedang lakukan," kataku sambil situasi tadi mula terbayang dalam fikiranku. Aku benar-benar canggung dengan tindakannya! "Dia suka kat awak kot," balas Irfan, ringkas. Semudah itu Irfan menyuarakan pendapatnya? Tak mungkin! Encik Izham itu pasti sudah mempunyai buah hati. Cuma aku berasa hairan akan tindak tanduknya yang pelik itu.

Malam itu, aku mengajak Mariah mengambil angin di Taman Cahaya. Alasanku, aku mahu menenangkan fikiran. Aku pun tidak tahu, mengapa sejak kebelakangan ini, nama Muhammad Izham sentiasa berlegar-legar di fikiranku.
"Amirah, maafkan aku sekiranya aku bertanya, kenapa kau asyik termenung sejak kebelakangan ini?"
"Tak mengapa Mariah. Entahla, mungkin aku rasa tertekan dengan tindak tanduk Encik Izham tu."
"Jangan-jangan, kau sebenarnya sukakan dia?"
"Aku… sukakan dia? Tak mungkin. Dia hanya pensyarah aku."
"Cinta itu buta, Amirah. Kau mungkin tak sedar, yang sebenarnya kau sukakan dia. Aku lihat, sejak akhir-akhir ini, nama Encik Izham sentiasa di bibir kau,"
"Aku hanya tidak suka akan caranya. Itulah sebabnya aku sentiasa mengadu tentang sikapnya yang tidak menyenangkan aku itu."
"Benarkah begitu? Ataupun kau hanya mahu memujuk hati kau supaya melupakan perasaan kau padanya?"

Aku terdiam. Mataku terasa basah. Tidakku sedari air mataku mula menitis. 'Kenapa aku menangis? Ya, aku sebenarnya sukakan dia, semakin dia mengusikku, semakin aku jatuh hati kepadanya. Mengapa aku perlu berasa begini, sedangkan dia hanya mahu bermain psikologi denganku?' Mariah memelukku erat, cuba menenangkanku. "Amirah, aku hanya mahu memberitahu kau perkara yang sebenar. Mengapa kau menidakkan perasaan kau? Mencintai seseorang adalah perkara yang indah. Mengapa kau cuba tanamkan rasa benci padanya?" Mariah bertanya padaku ketika meleraikan pelukannya, setelah aku berhenti menangis. "Aku tahu sebenarnya dia sudah pun mempunyai calon isteri. Dia telah berpunya. Masakan aku akan bahagia bersamanya, sekiranya dia telah pun mempunyai orang yang dia cintai?" balasku, lemah. "Kau yakin dia telah berpunya?" Soal Mariah lagi. "Aku dengar daripada senior-seniorku yang rapat dengannya," jawabku. Mendengar akan penjelasanku, Mariah mengeluh perlahan. "Selagi kau belum pasti, jangan terus buat keputusan,"Mariah tersenyum. Mariah mengajakku ke gerai berhampiran, untuk membeli minuman, setelah itu, kami pun bertolak ke kediaman siswi. 'Maaf Mariah, aku sudah membuat keputusan. Aku akan hapuskan perasaanku padanya.'hatiku berbisik sendiri.

Sejak dari malam itu, aku cuba menjauhkan diri daripada bertemu atau memandang wajah Encik Izham. Ketika kuliah bersamanya, aku langsung tidak memandang wajahnya. Bagiku, dengan cara itu mampu membantu aku melupakannya. Barangkali Encik Izham sendiri pelik dengan caraku itu. Biarlah dia mahu fikir apapun, yang penting kini, aku tidak mahu dia wujud dalam hidupku langsung! Pada suatu petang, aku bercadang untuk membaca sebuah buku tentang motivasi hidup di tepi tasik berhampiran dengan Dewan Utama. Tiba-tiba aku terdengar suara yang menyergahku dari belakang. "Ya, Allah!" Aku bersuara separuh menjerit. Irfan tergelak besar melihat telatahku. Lalu tanpa segan silu, dia terus mengambil tempat di sebelahku.
"Amirah, awak kat sini rupanya, puas saya mencari awak."
"Saja, nak menenangkan fikiran."
"Saya nak bagi tahu awak sesuatu..err..sesuatu yang penting! Sebenarnya dah lama saya simpan benda ni. Saya benar-benar mahu awak tahu"
Aku terdiam mendengar kata-kata Irfan. Kenapa pelik bunyinya? Dia merenung aku, matanya tenang sahaja.
"Apa dia? Cakaplah."


Sejak hari itu, aku dan Irfan menjadi tidak rapat seperti dahulu. Kelihatannya dia sibuk dengan halnya, begitu juga aku. Sekiranya aku tidak sibuk, aku akan mencari kerja untuk menyibukkan diri. Aku cuba memahami situasi Irfan, oleh itu aku tidak mahu terlalu mengganggunya. Mungkin juga aku terkejut dengan apa yang disampaikan olehnya pada hari bersama. Irfan kini jarang di perpustakaan, menyebabkan aku kini bersendirian mengulang kaji pelajaran. Aku tidak kisah, asalkan dia gembira dengan begitu. Aku yakin kami masih bersahabat baik. Cuma mungkin situasi masing-masing menjarakkan kami. Aku dan Irfan hanya bertemu di dewan kuliah dan tutorial, jarang lagi meluangkan waktu mengulangkaji bersama-sama.

Hari ini, merupakan kuliah terakhir bagi subjek Pengajian Bebas. Seperti biasa, aku tidak memandang Encik Izham. Walaupun jauh di sudut hatiku, aku berasa sebak, namun aku gagahi juga perasaanku itu. Aku harap, hari ini merupakan hari terakhir bagiku melihat wajahnya. Di akhir kelas, ketika aku berjalan keluar, aku dengar namaku dipanggil olehnya. Aku berpura-pura tidak mendengar namaku dipanggil, lalu aku terus berjalan ke luar tanpa mengendahkannya. Hatiku pilu, terasa ingin menangis, namun apa dayaku, dia telah berpunya. Cintaku padanya akan menjadi sia-sia sahaja pada penghujungnya. Sedikit sebanyak aku berasa kesal atas layanannya terhadapku, kerana dari situ juga secara tidak langsung membuat hatiku tertarik kepadanya. 'Ahh.. tak mengapa, ini semua takdir Tuhan yang menyebabkan aku jatuh cinta padanya' getus hatiku, perlahan.

Sampai sahaja di bilikku, aku terlihat sepucuk surat bersampul coklat di atas mejaku. Pasti Mariah telah mengambilnya untukku. 'Terima kasih Mariah,' bisik hatiku sambil memandang Mariah yang terlena di atas katilnya. Aku membuka surat itu dan membaca isi kandungannya. Sebaik sahaja aku selesai membacanya, aku menjerit keriangan, mujurlah Mariah tidak terbangun. "Alhamdulillah, aku berjaya ke sana!" Aku bermonolog sendirian. Berdasarkan kandungan surat itu, aku berjaya diterima untuk menyambung semester depan di luar negara sehingga tamat pengajian di bawah program berkembar yang diadakan oleh pihak UITM dengan Melbourne University di Ausralia. Mengikut tarikh yang ditetapkan, aku akan ke sana tiga bulan lagi! Syukur, alhamdulillah. Selepas peperiksaan akhir semester ini, sudah tentunya aku akan mula sibuk menguruskan dokumen dan barang-barang keperluan yang perlu di bawa ke sana nanti.

Sebaik sahaja aku memberitahu kepada Irfan dan Mariah tentang pemergianku ke bumi Australia itu, Mariah terus menangis, manakala Irfan hanya mampu tersenyum menahan kesedihan. Namun mereka tetap memberitahuku, mereka gembira bagi pihakku. Kata Mariah, mungkin aku dapat mulakan perjalanan hidup yang baru di sana. Irfan juga begitu. Dia memohon maaf padaku sekiranya aku berkecil hati kerana lewat memberitahuku tentang perihal hubungannya dengan Mariah. Aku hanya tersenyum dan menjawab, "Tidak apa-apa." Sebenarnya aku sudah mulai perasan, Irfan menaruh hati pada Mariah sejak mereka berjumpa kali pertama di café siswa. Aku tidak mahu bertanya, kerana bimbang akan mengecilkan hatinya nanti. Oleh itu, aku hanya menunggu saat Irfan akan berterus terang denganku. Akhirnya, beberapa hari setelah Irfan menyatakan isi hatinya pada Mariah, dan Mariah juga mengaku bahawa hatinya telah dicuri Irfan, kawan baikku itu, memberitahuku tentang hubungan mereka. Irfan berasa bersalah kerana lewat memberitahuku. Aku berkali-kali menjelaskan bahawa aku tidak berkecil hati namun Irfan berulang kali menyatakan kemaafannya. Begitu juga dengan Mariah. Dia menangis apabila menjelaskan hubungannya dengan Irfan pada malam Irfan bertemu denganku di tepi tasik. Aku memberi penjelasan, dia tidak perlu rasa bersalah, kerana bukan Irfan yang berada di hatiku. Pada waktu itu, Mariah hanya membalas kata-kataku dengan senyuman. Namun, tidak dinafikan, sejak mereka berhubungan, aku dan Irfan tidak lagi serapat dahulu. Aku faham akan situasinya, yang telah mempunyai kekasih hati. Tetapi aku percaya, walau apapun berlaku, Irfan tetap rakan baikku.


Sementara menunggu kesediaan pesawat yang akan menghantarku ke bumi Ausralia dalam masa sejam lagi, aku berbual-bual dengan Irfan dan Mariah. Seluruh keluargaku turut menghantarku di lapangan terbang KLIA. Irfan dan Mariah telah pun tali pertunangan tiga hari yang lepas. Jika diikutkan, tarikh pertunangan mereka empat bulan lagi, namun mereka mempercepatkan majlis pertunangan mereka, kerana ingin aku hadir dalam majlis pertunangan mereka. Mereka benar-benar membuat hatiku tersentuh. Sesungguhnya, bukan sahaja cinta kekasih sahaja bermakna, tetapi cinta sahabat juga sangat berharga!

20 minit lagi pesawat akan berlepas. Setelah aku memeluk ibu bapaku dan adik-adikku, aku memeluk Mariah. Ibuku berpesan sambil air mata berlinangan di pipinya, "Jagalah diri baik-baik di sana. Jangan lupa ibadah dan zikir. Kami doakan Amirah sihat sejahtera sentiasa." Aku turut menitiskan air mata apabila mendengar kata-katanya itu. Mariah tidak mampu berkata apa-apa, dan Irfan cuba menenangkan Mariah, walaupun aku tahu Irfan juga menahan sebak. Aku menarik troli berisi beg pakaianku sambil cuba tersenyum. Aku tidak mahu pemergianku ditangisi air mata sebaliknya biarlah pemergianku diiringi dengan senyuman oleh orang-orang yang aku sayang. Ibu, ayah, adik-adik, Irfan dan Mariah. Sedang aku melangkah menuju ke kaunter imegresen, tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu suara yang amat aku rindui, yang amat aku kasihi..
"Amirah!!"
Aku menoleh. Aku tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Muhammad Izham! Apa yang dia lakukan di sini? Aku terpana seketika. Air mataku tidak tertahan-tahan lagi lalu terus berlinang di pipiku. Aku benar-benar rindukan lelaki itu, aku benar-benar rindukan suaranya, senyumannya, usikannya. Sememangnya, walau aku cuba untuk melupakannya, namanya masih terpahat dalam hatiku! "Apa yang sir buat kat sini?" Tanyaku, cuba untuk menyembunyikan perasaanku.
"Amirah.. maafkan saya kerana buat awak tak selesa selama ini. Sebebnarnya saya sukakan awak! Sejak hari pertama awak di kampus, saya tertarik untuk mengenali awak. Betapa berdikarinya awak ketika itu, tanpa ditemani sesiapa awak mendaftar sendirian. Saya hanya mampu memerhatikan awak dari jauh. Manalah tahu, selepas itu awak terlanggar saya, dan ketika itu pulas aya sedang memegang secawan kopi. Disebabkan awak terlanggar tangan saya, kopi itu tertumpah atas baju saya. Saya tak mahu awak rasa bersalah, lalu saya terus berlalu pergi.Kemudian, awak dah tak ada kat situ."
"Sir tipu, sir tak pernah sukakan saya. Sir dah ada buah hati!"
"Mana ada, sebenarnya buah hati saya, adalah awak. Takkan saya nak bagi tahu nama awak pada kawan-kawan saya, sebab awakkan pelajar saya? Saya nak tunggu awak habis semester ni. Manalah tahu awak dah nak pergi ke Australia."
Lidahku kelu. Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Ketika itu, aku hanya mampu rasakan air mataku mengalir deras.
"Mujurlah Mariah memberitahu saya segalanya semalam. Saya tak tahu, disebabkan sikap saya itu, awak tersiksa. Selama ini saya ingatkan Irfan mempunya hubungan dengan awak. Saya benar-benar minta maaf Amirah. Sebenarnya, sejak awak tidak lagi memandang wajah saya ketika saya mengajar, saya rasa gelisah. Hidup saya seolah-olah kosong ketika awak mula menjauhkan diri daripada saya. Ingin sahaja saya katakan pada saat itu, yang saya benar-benar sayangkan awak, namun saya tidak mampu, kerana situasi saya sebagai pensyarah awak, dan awak pula pelajar saya. Pada hari terakhir, saya ingin bercakap dengan awak, namun awak tidak mengendahkan saya langsung."
Aku terus menangis dan hanya mampu merenungnya. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Aku tidak menyangka keperitan yang ku alami selama hampir 10 bulan ini akan berakhir begini. Muhammad Izham, lelaki yang aku puja selama ini berada di depan mataku. Kulihat matanya berkaca-kaca. Jika bukan disebabkan dia bukan mahramku, mahu sahaja aku memeluknya dengan erat.
"Amirah, awak masih sayangkan saya?"
Aku terdiam. Aku malu untuk berkata-kata.
"Awak sayangkan saya?" Dia bertanya lagi. Kali ini dengan nada yang perlahan diiringi dengan senyuman. Aku hanya membalas senyumannya. Aku harap dia mengerti.
Tiba-tiba dia menghulurkan satu kotak kecil yang berwarna merah kepadaku.
"Ambillah cincin ini. Esok saya akan hantar rombongan meminang."
Aku terkejut dengan kata-katanya.
"Suka hati sir je nak wat macam tu pada saya. Bukannya saya ada kat sini pun nanti!" Entah dari mana datangnya keberanian aku untuk bersuara, aku pun tidak tahu.
"Mana ada suka hati. Awak dah pun mengaku awak sayangkan saya. Saya pun hantarlah rombongan meminang. Lagipun saya hanya berurusan dengan ibu bapa awak, bukannya awak. Tugas awak dah selesai pun." Aku terkedu dengan jawapannya. Melihat wajahku seakan muram, Encik Izham menghampiriku lalu merenungku. Aku dapat lihat kesayuan di matanya.
"Saya sayangkan awak. Kalau boleh saya tak nak berpisah dengan awak. Saya minta maaf, Amirah. Saya benar-benar minta maaf, kerana buat awak terluka. Saya janji, saya akan bahagiakan awak. Saya akan lindungi awak lebih daripada nyawa saya sendiri."
Matanya mula berair. Secara tiba-tiba aku bersuara,"Saya sayangkan sir jugak."

----------------------------------

Pemergianku ke bumi Australia, membawa seribu kenangan indah. Aku mendapat tahu, Encik Izham telah menemui kedua-dua orang tuaku sebelum menemui aku dan kedua-dua ibu bapaku merestui cintanya padaku. Seperti bermimpi sahaja aku telah menjadi tunang kepada lelaki yang benar-benar aku cintai. Tanpa aku sedari, ketika aku membelek-belek cincin yang bertatahkan berlian yang dihadiahkan Encik Izham, telefon bimbitku berdering. Kulihat nama tunangku itu terpapar di skrin telefonku. 'Panjang umur!'
"Sayang, tengah buat apa tu?"
"Tak ada apa-apa."
"Rindukan abang yer? Tu ha, asyik belek je cincin yang abang bagi tu?"
Aku terkejut. Mana dia tahu aku sedang membelek-belek cincin yang diberikan olehnya?
"Mana abang tahu ni?"
"Pandangla abang kat bawah balkoni nie"
Aku bangun daripada kerusiku di tepi balkoni rumah sewaku. Terlihat seorang jejaka manis sedang memegang sejambak bunag mawar merah.
Aku tersenyum, lalu berlari anak menuruni tangga, menuju ke arahnya

10 ulasan:

  1. bab akhirnye sungguh teruja lah...romantic...

    BalasPadam
  2. ok...menerik..teruskan usaha...pomantisnya...chaiyook!!!!

    BalasPadam
  3. terima kasih. saya akan berusaha lagi!

    BalasPadam
  4. best! :)

    BalasPadam
  5. bestnye...sweet!!

    BalasPadam
  6. awesome......
    so sweet.....
    i love it....

    BalasPadam
  7. Tanpa Nama2/6/08 5:27 PTG

    wah.. so sweet..

    BalasPadam
  8. hero kate: citer nie best~~ berusaha lagi~~gambate ne~~

    BalasPadam
  9. haha..lecturer tu betuah la

    BalasPadam
  10. sweet..tp kreng stju bla amira ska dkat lecture dy..klw dgn irfan ok lar jgak...

    BalasPadam

TINGGALKAN ULASAN DAN KOMEN, PADA SETIAP KARYA YANG ANDA BACA Penulis memerlukan ulasan dan komen, bagi memperbaiki penulisan dan memperbetulkan kesilapan. Komen dan ulasan anda akan memberi satu semangat kepada penulis, untuk terus menulis karya dan seterusnya menghasilkan karya yang menarik. Kerjasama & sokongan daripada pembaca amat kami hargai. Sebab itulah kami menyediakan HADIAH, sebagai penghargaan kepada penulis dan juga kepada pembaca yang aktif memberi komen & ulasan